Heading

  
  • Heading

                  
  • Heading

Umum

Heading

Heading

 

Pendaftaran pemilih baharu
Mulai 15 Disember 2021, pendaftaran pemilih baharu adalah secara automatik. Berdasarkan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan, kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih baharu adalah:

(a) Warganegara Malaysia;

(b) Berumur 18 tahun dan ke atas;

(c) Bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya (mempunyai alamat kediaman yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara); dan

(d) Tidak hilang kelayakan berdasarkan Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Takrifan hilang kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih berdasarkan Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah:

(a) pada tarikh kelayakan, ditahan sebagai orang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan; atau

(b) sebelum tarikh kelayakan dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas bulan dan pada tarkh kelayakan itu dia masih kena menjalani apa-apa hukuman bagi kesalahan itu.

SPR mendaftarkan warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak hilang kelayakan ini berdasarkan pengesahan kewarganegaraan dan maklumat peribadi yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara termasuklah maklumat alamat mastautin. Penetapan bahagian pilihan raya bagi seseorang pemilih adalah berdasarkan kepada alamat mastautin terkini di Jabatan Pendaftaran Negara.

Warganegara yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik akan diperaku dalam daftar pemilih tambahan setiap bulan sebelum layak untuk mengundi dalam suatu pilihan raya umum atau kecil.

Pertukaran Bahagian Pilihan Raya
Seseorang pemilih yang telah berpindah tempat mastautin dan berhasrat menukar bahagian pilihan rayanya boleh memohon pertukaran bahagian pilihan raya. Pemilih hendaklah terlebih dahulu mengemaskini alamat mastatutin mereka di Jabatan Pendaftaran Negara.

Permohonan pertukaran bahagian pilihan raya boleh dikemukakan melalui saluran berikut:

  1. Secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my;
  2. Ibu Pejabat SPR;
  3. Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara;
  4. Pejabat Pos di seluruh negara; dan
  5. Program Outreach SPR.

Semua permohonan pertukaran bahagian pilihan raya yang diterima melalui Borang A akan diproses dan disemak sebelum pemilih diperaku untuk melayakkannya mengundi dalam bahagian pilihan raya yang baru dalam suatu pilihan raya umum atau kecil.

Pertukaran Status / Kategori Pengundi

Seseorang pemilih yang telah didaftarkan sebagai pemilih di bawah kategori pengundi biasa boleh memohon menukar status / kategori pengundi kepada pengundi tidak hadir sekiranya pemilih termasuk dalam salah satu daripada kategori berikut:

  1. Anggota tentera yang berkhidmat secara tetap;
  2. Pasangan kepada anggota tentera yang berkhidmat secara tetap;
  3. Anggota polis selain anggota Pasukan Polis Sukarelawan Simpanan;
  4. Pasangan kepada polis Pasukan Gerakan Am;
  5. Penjawat awam yang berkhidmat di luar negara;
  6. Pasangan kepada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara;
  7. Pelajar yang belajar di luar negara secara sepenuh masa; atau
  8. Pasangan kepada pelajar yang belajar di luar negara secara sepenuh masa.

Mana-mana orang daripada 8 kategori di atas yang telah menamatkan perkhidmatan atau telah kembali ke Malaysia hendaklah memohon semula pertukaran status / kategori pengundi untuk didaftarkan di bawah kategori pengundi biasa.

Permohonan pertukaran status / kategori pengundi boleh dikemukakan melalui saluran berikut:

  1. Secara dalam talian di https://myspr.spr.gov.my;
  2. Ibu Pejabat SPR;
  3. Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara;
  4. Pejabat Pos di seluruh negara; atau
  5. Program Outreach SPR.

Semua permohonan pertukaran status / kategori pengundi akan diterima melalui Borang A akan diproses dan disemak sebelum pemilih diperaku untuk melayakkannya mengundi sama ada sebagai pengundi biasa atau pengundi awal / pos dalam suatu pilihan raya umum atau kecil.

Pemerakuan dan Pewartaan Daftar Pemilih Tambahan

SPR memperaku dan mewartakan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) setiap bulan. DPT ini mengandungi-

  1. Nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik;
  2. Nama pemilih yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya; dan
  3. Nama pemilih yang memohon pertukaran status / kategori pengundi.

Notis pemerakuan DPT ini diwartakan melalui Warta Kerajaan dan boleh dicapai di Portal Jabatan Peguam Negara iaitu https://lom.agc.gov.my/

Semakan Daftar Pemilih Tambahan

Daftar Pemilih Tambahan (DPT) yang telah diperaku dan diwartakan ini terbuka untuk semakan selama 30 hari mulai dari tarikh pewartaan notis pemerakuan DPT. Semakan ini boleh dibuat melalui 4 kaedah berikut:

  1. Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my; atau https://mysprsemak.spr.gov.my;
  2. Aplikasi mudah alih MySPR Semak;
  3. Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; atau
  4. Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Dalam tempoh semakan ini, mana-mana pihak yang layak boleh mengemukakan TUNTUTAN atau BANTAHAN melalui kaedah yang ditetapkan oleh SPR.

Tuntutan

Dalam tempoh semakan ini, warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas, pemilih yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya dan pertukaran status / kategori pengundi yang mendapati namanya tiada dalam DPT yang terbuka untuk semakan boleh mengemukakan TUNTUTAN. Tiada bayaran fi dikenakan bagi tuntutan.

Selain itu, mana-mana pemilih yang namanya ada dalam DPT yang terbuka untuk semakan mendapati terdapat kesilapan maklumat atau kesilapan bahagian pilihan raya juga boleh mengemukakan TUNTUTAN.

TUNTUTAN boleh dikemukakan melalui Borang C boleh dikemukakan melalui kaedah berikut:

  1. Secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; atau
  2. Hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja.

Bantahan

Dalam tempoh semakan ini juga, mana-mana pemilih berdaftar di suatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat BANTAHAN ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya.

Kelayakan Pembantah:

  1. Pemilih berdaftar dalam bahagian pilihan raya;
  2. Membantah sehingga maksimum 20 orang pemilih dalam bahagian pilihan raya yang sama;
  3. Membayar fi sebanyak RM10 bagi setiap orang yang dibantah (OKB); dan
  4. Hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja untuk mengemukakan Borang D serta bayaran fi.

Pembetulan Maklumat Pemilih

Seseorang pemilih yang menyemak dan mendapati kesilapan maklumat peribadinya, boleh memohon untuk pembetulan kepada SPR. Pembetulan maklumat peribadi meliputi maklumat seperti berikut:

  1. Nombor kad pengenalan 12 angka;
  2. Nombor perkhidmatan tentera/polis;
  3. Nombor kad pengenalan lama;
  4. Nama;
  5. Tarikh Lahir;
  6. Jantina; dan
  7. Agama 

Di samping itu, pemilih yang mendapati namanya didaftarkan dalam bahagian pilihan raya yang salah juga boleh memohon pembetulan bahagian pilihan raya dengan SPR.

Permohonan pembetulan maklumat pemilih ini boleh dikemukakan melalui kaedah berikut:

  1. Mengemukakan TUNTUTAN sekiranya masih dalam tempoh semakan DPT;
  2. Aduan bertulis secara e-mel atau surat;
  3. Aduan di Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my/ms/aduan-pertanyaan; atau
  4. Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Pemotongan Nama Pemilih SPR juga dari semasa ke semasa memotong nama pemilih yang hilang kelayakan iaitu:

  1. Disahkan telah meninggal dunia; dan
  2. Disahkan telah hilang taraf kewarganegaraan.

Tindakan memotong nama pemilih ini adalah berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

 

 

Punca Kuasa

SPR melaksanakan fungsi pendaftaran pemilih dan penyemakan daftar pemilih berdasarkan kepada 3 punca kuasa berikut:

  1. Perkara 113 dan 119 Perlembagaan Persekutuan;
  2. Akta Pilihan Raya 1958; dan
  3. Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Kategori Pemilih

Kategori pemilih terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Pengundi biasa; dan
  2. Pengundi tidak hadir.

Kategori Pengundi tidak hadir terdiri daripada:

  1. Anggota tentera yang berkhidmat secara tetap;
  2. Pasangan kepada anggota tentera yang berkhidmat secara tetap;
  3. Anggota polis selain anggota Pasukan Polis Sukarelawan Simpanan;
  4. Pasangan kepada polis Pasukan Gerakan Am;
  5. Penjawat awam yang berkhidmat di luar negara;
  6. Pasangan kepada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara;
  7. Pelajar di luar negara secara sepenuh masa; dan
  8. Pasangan kepada pelajar di luar negara secara sepenuh masa.

Penjualan Daftar Pemilih Induk dan Daftar Pemilih Tambahan

SPR menyediakan Daftar Pemilih Induk (DPI) dan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) untuk dijual kepada mana-mana pihak yang diluluskan oleh SPR. DPI dan DPT ini boleh dibeli daripada SPR dalam format berikut:

  1. Buku; dan
  2. Cakera padat (CD) – format Portable Document Format (pdf) atau Microsoft Access (mdb).

Kadar harga jualan bagi DPI dan DPT adalah berdasarkan kepada jumlah pemilih dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Selain itu, SPR juga menyediakan Statistik Daftar Pemilih terkini setiap bulan dalam format Portable Document Format (pdf) mengikut negeri dan bahagian pilihan raya seperti berikut:

  1. Statistik Daftar Pemilih Mengikut Kategori Pengundi dan Bahagian Pilihan Raya;
  2. Statistik Daftar Pemilih Mengikut Jantina dan Bahagian Pilihan Raya; dan
  3. Statistik Daftar Pemilih Mengikut Kumpulan Umur dan Bahagian Pilihan Raya.

Mana-mana pihak yang berhasrat mendapatkan DPI, DPT dan Statistik Daftar Pemilih boleh mengemukakan permohonan bertulis secara e-mel atau surat kepada:

  1. Setiausaha SPR; atau
  2. Pengarah Pilihan Raya Negeri.