Heading

  
  • Heading

                  
  • Heading

Umum

Heading

Heading

Sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh undi paling banyak kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan 'First-Past-The-Post-System'. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

ELEMEN - ELEMEN PENTING PILIHAN RAYA

Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:

  1. Bahagian Pilihan Raya   
  2. Pemilih
  3. Calon
  4. Proses Pilihan Raya

 

JENIS - JENIS PILIHAN RAYA

Terdapat dua jenis pilihan raya iaitu:

  1. Pilihan Raya Umum
  2. Pilihan Raya Kecil

 

Pilihan Raya Umum diadakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh 5 tahun. Pilihan Raya Kecil pula berlaku untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di luar jangka disebabkan oleh:

  1. Kematian
  2. Perletakan jawatan
  3. Hilang Kelayakan
  4. Pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya

 

Undang–undang dan peraturan pilihan raya

Bagi memudahkan pelaksanaan pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya dipatuhi sepenuhnya. Undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal adalah seperti yang berikut:

  1. Perlembagaan Persekutuan;
  2. Perlembagaan Negeri;
  3. Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957;
  4. Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19);
  5. Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 (Akta 5);
  6. Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981;
  7. Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002;
  8. Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

 

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memainkan peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Antaranya termasuklah Akta Polis 1967; Akta Hasutan 1958; Akta Rahsia Rasmi 1971; dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 dan Akta SPRM 2009.

Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil di Malaysia melibatkan enam (6) peringkat iaitu pengeluaran writ, penamaan calon, kempen pilihan raya, pengundian, penjumlahan rasmi undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.

 

  1. Pengeluaran Writ
    Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.
     
  2. Penamaan Calon
    Pada hari penamaan calon yang ditetapkan, diantara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiganya sekali. Selain dari penyerahan borang penamaan, calon, pencadang atau penyokong perlu juga menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri. Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem. Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding selepas selesai proses penamaan calon. Jika hanya seorang saja calon yang layak, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.
     
  3. Kempen Pilihan Raya
    Selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya bolehlah memulakan urusan kempen yang terdiri daripada pemasangan poster/banner, ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah. Aktiviti kempen ini perlu dihentikan tepat pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000.00 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000.00 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri kepada SPR. Begitu juga dengan pemasangan poster/banner calon-calon perlu membayar wang deposit kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka mereka perlu mendapat kelulusan/permit dari pihak polis.
     
  4. Pengundian
    Pada hari mengundi yang telah ditetapkan, pemilih-pemilih yang namanya ada di dalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan. Pada amnya masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang diseluruh Semenanjung Malaysia dan mulai jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak. Namun demikian terdapat juga kawasan yang masa mengundinya dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran logistik terutamanya di Sabah dan Sarawak. Setiap pusat mengundi biasanya mempunyai lebih dari satu tempat mengundi (saluran). Ianya diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan dibantu oleh dua (2) hingga empat (4) orang Kerani Pengundian.

    Bagi pengundi awal iaitu anggota tentera dan pasangan serta anggota polis dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mereka akan mengundi pada Hari Mengundi Awal. Walau bagaimanapun, bagi anggota tentera dan polis yang tidak dapat hadir mengundi awal kerana terpaksa bertugas, mereka layak untuk mengundi secara pos. Kertas undi pos ini akan dihantar kepada anggota tentera dan anggota polis tersebut selepas proses pengeluaran kertas undi pos dilaksanakan. Namun demikian, semua kertas undi pos yang telah ditandakan perlu dihantar dan diterima oleh Pegawai Pengurus selewat-lewatnya pada jam 5.00 petang hari mengundi tersebut.

  5. Penjumlahan Rasmi Undi
    Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiraan kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan ke dalam Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi). Borang 14 ini akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus akan menyemak Borang 14 dan mengumumkan keputusan bagi setiap saluran tersebut. Sekiranya terdapat keraguan pada Borang 14, semakan semula akan dibuat oleh Pegawai Pengurus sebelum pengumuman keputusan. Apabila semua keputusan Borang 14 dan Borang 15 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos) telah diterima dan semak, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya terlibat akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenang bagi Bahagian Pilihan Raya tersebut.
     
  6. Pengumuman Keputusan Pilihan Raya
    Setelah selesai menjumlahkan Borang 14 dan 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan. Keputusannya tidak boleh dipertikaikan. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh mengemukakan di Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen pilihan raya.

 

Deposit Pilihan Raya

Bagi calon-calon yang hendak menyertai pilihan raya mereka dikehendaki membayar wang deposit pilihan raya berjumlah seperti berikut:-

  1. Pilihan Raya Parlimen RM 10,000.00
  2. Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri RM 5,000.00

 

Wang deposit ini perlu dibayar kepada Pegawai Pengurus atau Pengarah Pilihan Raya Negeri selewat-lewatnya pada jam 10.00 pagi pada hari penamaan calon. Deposit Pilihan Raya boleh dibayar dalam bentuk wang tunai atau draf bank.

Calon-calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperolehi 1/8 daripada jumlah undi yang di perolehi oleh semua calon yang bertanding di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.

Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR)

Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar, SPR mempunyai kuasa di bawah seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya 1958 dan seksyen 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya di setiap bahagian pilihan raya Parlimen

Keanggotaan pasukan ini adalah terdiri daripada:-

  1. Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik di bawah Seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya
  2. Seorang Pegawai Polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor
  3. Seorang wakil pihak berkuasa tempatan
  4. Seorang wakil parti politik/calon

 

Fungsi-fungsinya ialah:-

  1. Mengawasi dan memantau semua aktiviti calon
  2. Menurunkan semua bahan kempen yang bercanggah dengan undang-undang pilihan raya
  3. Menghentikan ucapan dan syarahan yang melanggar undang-undang pilihan raya
  4. Mengawal dan menyelaras aktiviti berkempen

 

Barong SPR

Undang-undang yang ada sekarang melarang calon daripada mendirikan sebarang barong atau pondok panas di dalam kawasan calon itu bertanding. Namun demikian calon-calon dibenarkan untuk mengadakan pejabat parti untuk urusannya di luar kawasan 50 meter dari pusat mengundi. Bagi memastikan kelancaran pengundian, SPR akan mengadakan Barong SPR di pusat-pusat mengundi. Tujuan barong ini diadakan adalah untuk membantu pemilih menyemak nama mereka berada di dalam daftar pemilih dan penentuan pusat dan tempat mengundi mereka supaya pengundian dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

Perbelanjaan Pilihan Raya

Calon-calon dibenarkan membelanjakan untuk urusan pilihan raya mereka berdasarkan jumlah berikut :-

  1. Parlimen : Tidak lebih daripada RM200,000.00
  2. Dewan Undangan Negeri : Tidak lebih daripada RM100,000.00

 

Calon-calon dikehendaki mengemukakan penyata perbelanjaan kepada SPR dalam tempoh 31 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Calon-calon dan ejen pilihan raya yang gagal berbuat demikian menyebabkan mereka tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun akan datang.

Jenis-Jenis Pengundian

Terdapat tiga (3) jenis pengundian di Malaysia:

  1. Pengundian biasa melibatkan pemilih-pemilih biasa yang akan mengundi pada hari yang ditetapkan sebagai hari mengundi.
  2. Pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta anggota Polis dan pasangan bagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), dan
  3. Pengundian pos melibatkan Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara dan pengundi-pengundi yang layak serta telah diluluskan oleh SPR sebagai pengundi pos seperti berikut:

 

  • Anggota polis dan anggota tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal kerana bertugas;
  • Petugas pilihan raya;
  • Anggota SPR dan pegawai/kakitangan SPR;
  • Petugas media yang membuat liputan berkaitan pilihan raya pada hari mengundi;
  • Warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara dan bukan merupakan PTH Luar Negara; dan
  • Agensi-agensi yang diluluskan oleh SPR sebagai pengundi pos

 

Pengundian Awal akan diadakan lebih awal iaitu tidak kurang dari tiga (3) hari sebelum tarikh pengundian biasa. Kertas-kertas undi yang telah ditanda akan disimpan dengan selamat dan akan dibuka untuk pengiraan pada jam 5.00 petang pada hari mengundi.

Pengundi pos pula akan menerima kertas undi masing-masing melalui perkhidmatan penghantaran pos, iaitu selepas Hari Penamaan Calon. Pengundi perlu mengemukakan semula kertas undi pos yang telah ditanda/dipangkah ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya terlibat selewat-lewatnya pada jam 5.00 petang pada hari mengundi.

Alasan-Alasan Petisyen Pilihan Raya

Keputusan pilihan raya hanya boleh di cabar di mahkamah pilihan raya melalui petisyen pilihan raya. Ianya hendaklah di kemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Sesuatu petisyen pilihan raya hanya boleh dibuat atas alasan-alasan berikut:

  1. Sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang boleh menjejaskan pilihan raya
  2. Ketidak patuhan peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya.
  3. Perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon-calon atau ejen-ejennya.
  4. Calon atau ejennya didapati tidak layak untuk menyertai pilihan raya.