PUTRAJAYA 13 Jun - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal kerana terpaksa
menanggung pelbagai kritikan berhubung kelemahan senarai daftar
pemilih sedangkan masalah itu berpunca daripada sikap tidak bekerjasama
agensi kerajaan yang terlibat.
Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, pihaknya
berpuas hati dengan peranan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membantu
membersihkan senarai berkenaan termasuk daripada pengundi hantu.
Bagaimanapun, menurutnya,
permohonan SPR untuk mendapatkan kerjasama daripada agensi seperti
polis, imigresen, mahkamah dan hospital, sungguh mengecewakan.
Kata beliau, maklumat
daripada agensi terbabit mengenai butiran pemilih termasuk status
kewarganegaraan, kehilangan hak mengundi kerana menjadi banduan,
ditarik kerakyatan atau meninggal dunia, diperlukan untuk membersihkan
senarai ada.
"Kita banyak bergantung
kepada agensi lain dalam urusan mengemaskinikan senarai daftar pemilih.
"Kita sudah menulis
surat kepada agensi terbabit bagi mendapatkan kerjasama. Malangnya
tindak balas mereka amat mengecewakan malah ada yang telah dua tahun
tetapi tidak ada jawapan," katanya pada sidang akhbar di sini
hari ini.
Katanya, maklumat mengenai
nama orang yang sudah meninggal dunia atau orang yang dipenjara
dan orang yang hilang kewarganegaraan juga lambat diterima oleh
SPR.
Senarai
"Nama emak saya yang telah meninggal dunia 10 tahun lepas pun
masih ada dalam senarai pemilih," katanya.
Abdul Rashid menarik
perhatian kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad
Kamil Awang, mengenai petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri
(DUN) Likas pada 8 Jun lalu, yang mengundang reaksi pelbagai pihak.
Walaupun dua petisyen
didengar secara serentak, namun nampaknya kata beliau, perkara utama
yang menarik perhatian umum ialah mengenai dakwaan terdapat pengundi-pengundi
hantu dalam daftar pemilih.
Beliau gembira kerana
pendedahan yang dibuat oleh mahkamah itu telah membuka mata banyak
pihak tentang masalah yang dihadapi oleh SPR ketika menjalankan
urusan daftar pemilih khususnya di Sabah sejak sekian lama.
"Masalah lebih
besar yang didedahkan,daripada kes mahkamah itu ialah isu pengeluaran
kad pengenalan palsu yang sehingga kini masih lagi berleluasa tanpa
langkah-langkah berkesan oleh pihak berwajib untuk mengatasinya.
"Mungkin beribu-ribu
kad pengenalan palsu yang lain digunakan bukan sahaja untuk menjadi
pemilih tetapi untuk hidup dan mendapat kemudahan sama seperti rakyat
negara ini," tegas beliau.
Menurutnya, masalah
kad pengenalan palsu menyukarkan suruhanjaya itu untuk membersihkan
senarai daftar pemilih di Sabah kerana petugas-petugas SPR tidak
ada kepakaran memastikan kesahihannya.
"Sekiranya daftar
pemilih di Sabah benar-benar hendak ditangani maka perlulah ditangani
dahulu masalah kad pengenalan palsu yang dikeluarkan kepada ribuan
pendatang tanpa izin di negeri itu.
"Saya berpendapat
pihak-pihak yang telah memberikan komen negatif mengenai hal ini
agar tidak bertindak hipokrit dan memalingkan belakang terhadap
masalah pokok tersebut . Selesaikan masalah pokok itu, maka selesailah
segala masalah lain di bawahnya," kata beliau.
Dalam usaha menyediakan
daftar pemilih yang bersih, Abdul Rashid berkata,"SPR membuat
semakan secara terus daripada pangkalan data JPN mengenai butiran
kad pengenalan dan status kewarganegaraan seseorang pemohon.
"SPR telah berjaya
mengesan kira-kira 500,000 pemilih yang nombor kad pengenalan mereka
diragui, meninggal dunia atau telah hilang kelayakan mengundi, hasil
kerjasama dengan JPN itu.
"Mulai tahun 2000,
SPR mendapati tidak ada lagi pemohon-pemohon yang mempunyai kad
pengenalan palsu berjaya menyamar untuk mendaftar sebagai pemilih
kerana rekodnya akan disemak sebelum sesuatu permohonan diluluskan,"
katanya.
Bagaimanapun, beliau
sedar daftar pemilih sebelum tahun 2000 yang disahkan tiap-tiap
tahun sejak beberapa tahun lepas, mungkin masih mengandungi nama
pendatang tanpa izin yang berjaya mendaftar sebagai pemilih.
"Justeru sepanjang
masa senarai daftar pemilih tidak mungkin bersih sepenuhnya. Keadaan
ini juga berlaku di tempat lain di dunia," kata beliau.
Abdul Rashid berkata,
SPR tidak boleh sewenang-wenangnya memotong nama mereka daripada
senarai tanpa merujuk kepada agensi berkaitan terlebih dahulu.
"Walaupun ada
aduan dibuat oleh pihak tertentu mengenai nama-nama pemilih berdaftar
yang tidak layak mengundi, kita menghormati hak pengundi dan sebab
itu memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa berkaitan,"
katanya.
|