Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia ditubuhkan pada 4 September 1957
mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Semasa penubuhannya
Suruhanjaya Pilihan Raya dianggotai oleh seorang Pengerusi dan 2
orang Ahli.
Pengerusi pertama Suruhanjaya ialah
Y.Bhg. Dato' Dr. Mustafa Albakri bin Haji Hassan, manakala Ahli-ahlinya
terdiri daripada Encik Lee Ewe Boon dan Encik Ditt Singh.
Berikutan dengan penubuhan Malaysia
pada tahun 1963, bilangan Ahli Suruhanjaya ditambah kepada 3 orang.
Ahli tambahan itu sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik
secara bergilir. Y.Bhg. Datuk Abang Haji Marzuki bin Nor dari Sarawak
menjadi ahli pertama mewakili 2 negeri berkenaan. Pada tahun 1981,
pindaan ke atas Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi
membolehkan pelantikan seorang Timbalan Pengerusi. Encik Abdul Rahman
bin Abu Hassan merupakan orang pertama mengisi jawatan Timbalan
Pengerusi. Pada tahun 2002, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan
diluluskan bagi menambah keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya menjadi
7 orang iaitu Seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan
5 orang Ahli termasuk seorang ahli dari Sabah dan seorang ahli dari
Sarawak. Bagi membolehkan ia menjalankan fungsinya, Suruhanjaya
Pilihan Raya membentuk sebuah Urus Setia yang diketuai oleh seorang
Setiausaha. Setiausaha ini berperanan sebagai ketua pentadbir bagi
urus setia berkenaan. Setiausaha pertama yang dilantik ialah Encik
H. Cassidy yang berkhidmat dari tahun 1957 hingga 1958.
Sejak penubuhannya pada tahun 1957
sehingga 1978, Ibu Pejabat Suruhanjaya terletak di Bangunan Sultan
Abdul Samad, Jalan Clark, Kuala Lumpur. Dari tahun 1978 hingga 1985
Suruhanjaya Pilihan Raya beroperasi di Bangunan Yayasan Selangor,
Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pada tahun 1985 ia berpindah
ke Bangunan Tong Ah, Jalan P.Ramlee dan beroperasi di sana sehingga
tahun 1988 sebelum berpindah pula ke Aras 5-8, Menara Bank Pembangunan,
Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Pada bulan November 2000 Ibu
Pejabat Suruhanjaya berpindah ke lokasi sekarang di Putrajaya. |