Jata
Banner
 |  SOALAN LAZIM : PERSEMPADANAN


SOALAN LAZIM : PERSEMPADANAN

 

1 Q: Apakah yang dimaksudkan dengan urusan Kajian Semula Persempadanan?
  A: Urusan Kajian Semula Persempadanan merupakan suatu kajian dan semakan untuk melihat semula kesesuaian sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada bagi memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih di masa akan datang.
       
2 Q: Apakah yang membentuk sesuatu Bahagian Pilihan Raya?
  A:
Bahagian Pilihan Raya adalah terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:
    i- Lokaliti
      Merupakan komponen terkecil yang terdapat dalam Bahagian Pilihan Raya. Ia merupakan tempat tinggal sekumpulan orang tempatan yang mempunyai talian sosial yang jelas seperti kampung atau taman perumahan. Dalam urusan pendaftaran pemilih, lokaliti adalah asas bagi menentukan di mana seorang pemilih akan mengundi. Penentuan tersebut adalah berdasarkan alamat yang dinyatakan dalam kad pengenalan pemohon.
    ii- Daerah Mengundi
      Daerah Mengundi diwujudkan melalui satu atau gabungan beberapa lokaliti. Ia bertujuan untuk menentukan Pusat-Pusat Mengundi bagi pemilih yang lokalitinya berada di dalam Daerah Mengundi tersebut.
    iii- Bahagian Pilihan Raya Negeri
      Gabungan beberapa Daerah Mengundi akan membentuk satu Bahagian Pilihan Raya Negeri.
    iv- Bahagian Pilihan Raya Persekutuan
      Dua atau lebih Bahagian Pilihan Raya Negeri apabila digabungkan akan membentuk satu Bahagian Pilihan Raya Persekutuan kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya mempunyai Bahagian Pilihan Raya Persekutuan sahaja dan tiada Bahagian Pilihan Raya Negeri.
       
3 Q: Bila urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya boleh dimulakan?
  A: Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya boleh dimulakan berdasarkan keadaan seperti berikut:
    i- Tamat tempoh sekurang-kurangnya lat 8 tahun daripada tarikh siap urusan Kajian Semula Persempadanan sebelumnya; atau
    ii- Terdapat pindaan terhadap undang-undang iaitu apabila Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri dipinda, sama ada penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu contohnya pembentukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
       
4 Q: Berapa lamakah tempoh sesuatu urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya dijalankan?
  A: Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang dilaksanakan di bawah peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi 2 tahun dari tarikh bermulanya Kajian Semula Persempadanan itu. Walau bagaimanapun, bagi urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 113 (3A) Perlembagaan Persekutuan iaitu SPR perlu menjalankan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya berikutan pindaan bilangan kerusi Dewan Rakyat atau kerusi Dewan Undangan Negeri sebelum cukup lat tempoh 8 tahun, maka Kajian Semula Persempadanan tersebut hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi 2 tahun dari tarikh kuatkuasa undang-undang tersebut.
       
5 Q: Apakah prinsip-prinsip asas yang diambil kira dalam melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya?
  A:

Prinsip-prinsip yang diambil kira dalam melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan iaitu:

    i- Kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri;
    ii- Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian;
    iii- Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan
    iv- Memelihara hubungan tempatan.
       
6 Q: Apakah yang digunakan sebagai “sempadan” Bahagian-Bahagian Pilihan Raya?
  A: Sempadan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya dibentuk melalui penetapan daripada sesuatu yang boleh dilihat secara jelas dan nyata seperti bukit, jalan raya dan sungai serta sempadan lain seperti sempadan lot tanah, mukim, daerah atau negeri.
       
7 Q: Berapa lamakah syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dipamerkan untuk orang ramai?
  A: Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dipamerkan selama satu bulan di tempat-tempat seperti yang dinyatakan di dalam notis warta yang disiarkan di dalam akhbar untuk semakan dan representasi oleh pihak-pihak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
       
8 Q: Siapakah yang dibenarkan untuk membuat representasi dalam urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya?
  A: Berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, pihak yang dibenarkan untuk membuat representasi adalah:
    i- Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang tersentuh oleh syor itu; dan
    ii- Sekumpulan orang seramai satu ratus orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan.
       
9 Q: Adakah syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang disediakan oleh SPR akan berkuatkuasa serta merta setelah ianya disiapkan?
  A: Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang disediakan oleh SPR hendaklah dibentang dan diluluskan di dalam Dewan Rakyat dan ia hanya akan berkuatkuasa setelah Perintah Persempadanan mengenai syor Kajian Semula Persempadanan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. 
       
10 Q: Bilakah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang baharu boleh digunakan dalam Pilihan Raya?
  A: Berdasarkan peruntukan Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang baharu boleh dipertandingkan di dalam Pilihan Raya selepas pembubaran Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dan setelah Perintah Persempadanan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
       
11 Q: Berapakah jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri dan Persekutuan seluruh Malaysia yang berkuatkuasa pada masa ini?
  A: Pada masa ini, jumlah Bahagian Pilihan Raya Persekutuan yang berkuatkuasa adalah 222 bahagian, manakala Bahagian Pilihan Raya Negeri pula adalah 587 bahagian.