Setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR telah menerima
surat rasmi pengesahan mengenai kekosongan DUN tersebut itu daripada
Speaker DUN Terengganu pada 1 Ogos lalu.
``Berikutan itu mesyuarat khas SPR pada 5 Ogos ini akan membincangkan
untuk menetapkan tarikh keluar notis tarikh penamaan calon dan
mengundi serta persiapan lain untuk pilihan raya kecil DUN Kuala
Berang itu,'' katanya ketika dihubungi hari ini.
Pilihan raya kecil DUN Kuala Berang perlu diadakan berikutan
kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Komarudin
Abdul Rahman, 46, pada 30 Julai lalu.
Allahyarham dikatakan rebah dan mengalami sesak nafas dipercayai
sakit jantung semasa bersarapan pada pukul 10.45 pagi ketika bercuti
bersama keluarganya di Hotel Awana, Genting Highlands, Pahang.
Wan Ahmad juga berkata, satu lagi DUN yang perlu mengadakan pilihan
raya kecil ialah DUN Ba'kelalan, Sarawak.
``Bagaimanapun sehingga petang ini SPR masih belum menerima surat
pengesahan daripada Speaker DUN Sarawak bagi memaklumkan secara
rasmi mengenai kekosongan ADUN di Ba'kelalan,'' ujarnya.
Katanya, keperluan untuk diadakan pilihan raya kecil itu adalah
kerana berlaku kekosongan berikutan kematian ADUN Ba'kelalan,
Dr. Judson Sakai Tagal.
Dr. Judson mati akibat nahas helikopter Bell 206 Long Ranger
yang terhempas di kaki Gunung Murud, dekat Bario, Sarawak bersama
enam penumpang lain, termasuk juruterbangnya pada 12 Julai lalu.
``DUN Ba'kelalan boleh mengadakan pilihan raya kecil kerana ia
masih dalam tempoh perlu untuk perkara itu sehingga 18 November
ini.