Undi Pos adalah
salah satu kemudahan mengundi yang disediakan kepada golongan
tertentu yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab mengundi secara
biasa kerana kesibukan bertugas atau berada di luar negara. Terdapat
dua kategori undi pos iaitu mereka yang dikategorikan sebagai
pengundi tidak hadir dan golongan pemilih biasa yang diberi kemudahan
oleh SPR untuk mengundi secara pos.
Undi pos dikawal
oleh Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (pengundian Pos) 1959 yang
telah digunapakai sejak pilihan raya umum pertama diadakan pada
tahun 1959.
Sepertimana
di kebanyakan negara, kertas undi pos dikeluarkan kepada pemilih-pemilih
yang terlibat, lebih awal daripada kertas undi biasa. Kertas undi
biasanya dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya tidak
lewat daripada 5.00 petang pada hari pengundian. Kertas-kertas
undi pos yang tiba selepas waktu tersebut tidak akan dikira. Golongan-golongan
yang dikeluarkan dengan undi pos adalah seperti berikut:
(a)
Pengundi Tak Hadir
i. Anggota
tentera;
ii. Isteri/Suami anggota tentera;
iii. Pegawai Kerajaan bertugas di luar sempadan Semenanjung
Malaysia, Sabah atau Sarawak;
iv. Isteri/Suami Pegawai Kerajaan bertugas di luar sempadan
Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak;
v. Pelajar yang menuntut di luar sempadan Semenanjung Malaysia,
Sabah atau Sarawak;
vi. Isteri/Suami pelajar yang menuntut di luar sempadan Semenanjung
Malaysia, Sabah atau Sarawak;
(b)
Pemilih Biasa yang diberi undi pos
i. Pegawai-pegawai
Pilihan Raya;
ii. Anggota Polis Biasa;
iii. Pegawai Perkhidmatan Awam yang bertugas di luar Malaysia
pada hari mengundi;
iv. Anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya;
v.Golongan-golongan yang diwartakan oleh SPR sebagai layak untuk
mengundi secara pos.
Sebenarnya
pengundian secara pos merupakan satu kaedah yang digunapakai oleh
semua negara di dunia. Di Malaysia ianya telah mula digunakan
sejak pilihan raya umum pertama pada tahun 1959 dan berterusan
setiap pilihan raya umum berikutnya. Walaupun terdapat pihak yang
mempertikaikan sistem pengundian secara pos tetapi hakikatnya
ialah pengundian pos tetap masih relevan dan perlu dikekalkan
untuk pengundi-pengundi tertentu yang tidak dapat keluar mengundi
seperti pengundi biasa pada hari mengundi.
Bantahan yang
sering dikemukakan berhubung dengan pengundian pos ialah mengenai
keraguan bagaiman cara pengundian dilakukan. Ada pihak yang mendakwa
pengundian pos dilakukan secara paksa di mana pengundi-pengundi
diminta mengundi calon-calon tertentu. Dakwaan ini adalah salah
kerana mengikut keputusan beberapa pilihan raya kecil yang lepas
tidak semua undi pos pergi kepada satu parti sahaja dan tidak
semua kertas undi pos dikembalikan, malah ada tempat-tempat tertentu
yang keputusan undi pos dimenangi oleh calon pembangkang, jika
dakwaan menyatakan parti kerajaan telah menyelewengkan sistem
pengundian pos maka undi-undi pos di pihak pembangkang tidak mungkin
berlaku. Proses pengundian pos agak rumit dan memerlukan ketelitian
untuk menerima keputusan sesuatu kertas undi pos, sebab itu dalam
keputusan pilihan raya yang lepas didapati banyak kertas-kertas
undi pos yang dianggap rosak atau tidak dikembalikan.
Berhubung
dengan keperluan pengundian undi pos adalah tidak dapat dinafikan
kerana terdapat golongan pengundi- pengundi tentera dan polis
yang masih diperlukan bertugas di hari mengundi. Begitu juga dengan
pelajar-pelajar dan kakitangan awam yang berada di luar negara,
jika sistem undi pos dimansuhkan golongan ini tidak dapat mengundi
dan sekali gus menafikan hak 214,939 pemilih pos yang berdaftar
sekarang. Soal tohmahan merupakan permainan politik parti-parti
yang kalah kerana pemikiran mereka pilihan raya di negara ini
hanya dipenuhi dengan penipuan. Mereka tidak mahu menerima hakikat
yang mereka tidak diterima oleh pengundi, sedangkan undi pos yang
diamalkan di Malaysia ini adalah sama sepertimana yang diamalkan
di England, Amerika, Australia dan lain-lain negara demokrasi
yang maju di dunia.
[Petikan
dari Berita SPR 2/2002]