|
PUTRAJAYA 21 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan
pendaftaran pemilih sepanjang tahun ini mulai 1 Julai ini di semua
pejabatnya dan cawangan Pos Malaysia Berhad di seluruh negara.
Setiausaha
SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, bagi membolehkan urusan pendaftaran
seumpama itu diadakan, SPR akan menandatangani perjanjian pembangunan
sistem dengan Sepakat Computer Consultant Sdn. Bhd. di sini, esok.
Jelas Wan Ahmad, apabila kemudahan pendaftaran sepanjang tahun ini
berjalan, bermakna urusan atau kempen mendaftar pemilih setahun
sekali yang biasanya diadakan pada Mei akan dihentikan secara automatik.
Esok SPR akan menandatangani perjanjian dengan Sepakat bagi membolehkan
sistem itu dibangunkan dalam tempoh tiga bulan.
Kemudahan
"Mulai 1 Julai ini, kita akan mengadakan pendaftaran sepanjang
tahun dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad. "Bagi tujuan pendaftaran
sepanjang tahun ini, selain pejabat-pejabat SPR diseluruh negara,
kemudahan ini akan disediakan di semua 620 pejabat Pos Malaysia,"
katanya kepada Utusan Malaysia.
Di bawah penggunaan
sistem itu, kata beliau, setiap pendaftar perlu hadir sama ada di
mana-mana pejabat SPR ataupun Pos Malaysia. "Bagaimanapun pada
peringkat yang bakal dilaksanakan mulai tahun depan pula, pendaftaran
talian terus menggunakan Internet akan dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Wan
Ahmad berkata, SPR telah pun selesai menjalankan kerja-kerja dalaman
untuk urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya.
Kerja-kerja mempamer dan menerima maklum balas daripada orang ramai
akan dijalankan dalam tempoh dua tahun selepas tarikh rasmi diterima.
Bagi tujuan memperoleh tarikh rasmi, kata beliau, Pengerusi SPR,
Datuk Ad. Rashid Ab. Rahman akan memaklumkan kepada Speaker Dewan
Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr. Mahathir Mohamad mengenai urusan berkenaan.
"Tarikh rasmi
permulaan urusan persempadanan semula akan ditetapkan selepas kerajaan
dan Dewan Rakyat dimaklumkan mengenainya. SPR akan diberi tempoh
dua tahun di bawah Perlembagaan untuk menyiapkan urusan persempadanan
semula," katanya. Meskipun diperuntukan dua tahun, SPR biasanya
akan menyelesaikan urusan berkenaan lebih awal.
Kali terakhir SPR mengadakan
persempadanan semula ialah yang disiapkan pada tahun 1994. Urusan
persempadanan lalu membawa kepada pertambahan 12 bahagian pilihan
raya. Kini terdapat 194 kawasan Parlimen yang terbaru termasuk yang
terbaru Putrajaya.
|