PUTRAJAYA 5 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu pada 16 Ogos manakala tarikh pembuangan undi pada 28 Ogos ini.
Tarikh pengundian bagi DUN Ba'Kelalan di Sarawak pula ditetapkan pada 18 September dengan penamaan calon diadakan sembilan hari sebelum itu iaitu pada 9 September.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, writ pilihan raya bagi DUN Ba'kelalan dan DUN Kuala Berang akan dikeluarkan secara berasingan pada Sabtu dan Ahad ini, sebelum notis pilihan raya dikeluarkan masing-masing pada 9 Ogos dan 12 Ogos ini.
``Bagi tujuan pilihan raya kecil ini, menurut peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR menentukan bahawa Daftar Pemilih Induk 2003 yang diperakui pada 6 April 2004 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun 1/2004 yang diperakui pada 14 Jun 2004 hendaklah digunakan,'' katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas penetapan tarikh-tarikh tersebut di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 11,430 pemilih termasuk 130 pemilih pos layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Berang.
Sementara itu, 7,696 pemilih termasuk dua pengundi pos pula layak membuang undi di DUN Ba'kelalan, Sarawak.
Pilihan raya kecil DUN N.23 Kuala Berang, Terengganu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, Komaruddin Abd. Rahman dipercayai sakit jantung semasa bercuti bersama keluarga di Genting Highlands pada 30 Julai lalu.
Kekosongan kerusi DUN N.62 Ba'kelalan, Sarawak pula berlaku ekoran kematian wakil rakyatnya, Dr. Judson Sakai Tagal dalam nahas helikopter Bell 206 Long Ranger yang terhempas di kaki Gunung Murud, dekat Bario, Sarawak pada 29 Julai lalu.
Kekosongan kerusi Kuala Berang dan Ba'kelalan dimaklumkan secara rasmi kepada SPR oleh Speaker DUN masing-masing pada 1 dan 4 Ogos lalu.
Abdul Rashid berkata, SPR mengingatkan kepada semua pihak terutama parti-parti politik, calon-calon, petugas parti dan individu lain yang terlibat supaya sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila kempen yang telah ditetapkan.
``Sila ambil ingatan bahawa terdapat beberapa kes petisyen pilihan
raya yang masih dalam perbicaraan. Oleh yang demikian calon-calon
adalah diingatkan supaya tidak menyentuh isu-isu yang melibatkan
kes-kes petisyen dalam kempen mereka,'' katanya.