PUTRAJAYA 4 Sept. - Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa senarai daftar pemilih
yang akan digunakan bagi pilihan raya negeri Sarawak, 27 September
ini bebas daripada pengundi hantu.
Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, ini kerana
daftar pemilih yang dikemukakan oleh SPR itu telah disemak rapi
dan paling kemas kini.
"SPR yakin Daftar
Pemilihan yang kita gunakan ini bebas daripada elemen pengundi hantu,"
katanya pada sidang akhbar mengumumkan tarikh pilihan raya Sarawak
di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.
Beliau mengulas kekhuatiran
pihak tertentu bahawa kemungkinan senarai daftar pemilih bagi pilihan
raya itu kelak mengandungi pengundi hantu yang sebelum ini menjadi
sebab mengapa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Likas di
Sabah terpaksa diadakan semula atas perintah mahkamah.
Bagi pilihan raya negeri
kelapan ini yang hari penamaan calon ditetapkan pada 18 September,
SPR akan menggunakan Daftar Pemilih tahun 2000 yang telah diperakui
pada 21 Disember tahun itu dan dikemas kini sehingga 29 Ogas lalu.
Ia mengandungi 868,487
orang, iaitu 850,761 merupakan pemilih biasa dan 17,726 adalah pemilih
pos.
Gemar
Mengulas lanjut, Abdul
Rashid berkata, SPR sebenarnya tidak gemar menggunakan istilah "pengundi
hantu".
Menurutnya, istilah
itu perlu difahami secara teliti maksudnya.
Kalau pengundi hantu
bermakna orang yang tidak layak mengundi seperti bukan warganegara,
kita yakin daftar pemilih yang kita ada ini tiada lagi elemen itu.
Di Sarawak, katanya
SPr mengesan seramai 5,676 bukan warganegara dan usaha telah dilakukan
untuk kerja-kerja semakan pembersihan.
Oleh itu, tegas beliau,
semua yang ada dalam daftar pemilih ini adalah warganegara yang
layak mengambil bahagian dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, kata
Abdul Rashid, jika ia ditujukan kepada mereka yang nama mereka tersenarai
di kawasan pengundian tetapi telah berpindah, maka ia tidak boleh
ditakrif sebagai pengundi hantu.
"Sebaliknya, hak
mereka sebagai pemilih adalah sah dan mengikut peraturan, "katanya.
Tegas beliau: "Banyak
orang menggunakan perkataan bersih tetapi daftar pemilih tak boleh
jadi bersih kerana sesuatu.
"Ini kerana, kebersihannya
bergantung kepada beberapa faktor seperti kehadiran pemilih yang
telah meninggal dunia yang maklumat mengenai dirinya belum sampai
ke SPR".
|