Tajuk
: Badan
Pengurusan Pilihan Raya - Suatu Elemen Penting Dalam Menghasilkan
Intergriti Pilihan Raya Demokratik.
Badan Pengurusan Pilihan Raya (BPP) atau Election Management
Body (EMB) diwujudkan hampir di seluruh dunia khususnya di negara-negara
yang melaksanakan sistem pemerintahan demokrasi berlandaskan
kepada pilihan raya yang bebas dan adil. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa elemen penting dalam pengurusan sesuatu pilihan
raya multi-parti yang bebas dan adil ialah sebuah badan atau
Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas. Kekuatan dan kekuasaan
yang dipunyai oleh BPP berkenaan dan kebebasan yang luas untuk
menyelenggarakan segala fungsinya akan mencerminkan tahap intergriti
pilihan raya demokratik yang dijalankan.
Suruhanjaya
Pilihan Raya atau apa jua nama badan yang diwujudkan untuk menjalankan
pilihan raya itu jika ianya perlu mengadakan pilihan raya yang
bebas dan adil hendaklah dari awalnya dipandukan oleh tradisi
kebebasan dan kesaksamaan (tradition of independence and impartiality).
Sememangnya tidak ada sebarang benchmark atau standard antarabangsa
yang telah ditetapkan sebagai panduan bagi penubuhan sesebuah
badan bebas seumpama ini. Apa jua penilaian yang akan diberikan
terhadap prestasi dan kemampuan sesebuah Badan Pengurusan Pilihan
Raya (BPP) bagi sesebuah negara adalah terpulang kepada masyarakat
yang mengambil bahagian dalam pilihan raya dalam negara berkenaan.
Ringkasnya
sesebuah BPP yang hendak memperoleh status kredibiliti sebagai
BPP yang dihormati kerana pencapaiannya dari segi mewujudkan
tahap kebebasan dan kesaksamaan ialah bahawa BPP itu hendaklah
sentiasa mendapat kepercayaan awam. Maksudnya kedudukannya sebagai
badan bebas dan saksama tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak
yang mengambil bahagian dalam pilihan raya dan sememangnya BPP
itu dalam segala urusannya harus dilihat sebagai sentiasa adil
dan tidak berpihak dan semua pihak yang mengambil bahagian dalam
pilihan raya dapat menjalankan urusan dan aktiviti secara bebas.
Ada
banyak pihak mempersoalkan tentang neraca ukuran yang hendak
dipakai untuk menilai tahap kebebasan BPP yang diwujudkan. Mengikut
petunjuk antarabangsa istilah “bebas” (independence)
dalam konteks pilihan raya demokratik bermakna BPP berkenaan
mengandungi ciri-ciri asas berikut:
1) Tidak
tertakluk kepada kawalan kerajaan yang wujud pada satu-satu
masa atau mana-mana parti politik atau mana-mana badan yang
berkepentingan.
2) Bertindak secara adil, saksama dan secara profesional terhadap
semua parti politik.
Setelah
meneliti dan mengkaji pelbagai bentuk BPP khususnya BPP yang
diwujudkan di negara-negara maju dan membangun yang mengamalkan
sistem pemerintahan demokrasi, saya dapat mengumpulkan bahan-bahan
rujukan untuk kita melihat dan menilai bersama jenis dan perwatakan
BPP yang harus diwujudkan
di negara kita pada masa kini untuk menjalankan pilihan raya-pilihan
raya bebas dan adil.
Tuan-tuan
dan Puan-puan,
Subjek yang
saya sengaja ketengahkan pada hari ini adalah suatu subjek yang
saya kira amat penting untuk dibincangkan secara terbuka oleh
semua pihak yang berkepentingan. Saya sedar bahawa subjek ini
amat sensitif bagi pihak-pihak tertentu dan ia boleh menimbulkan
masalah bagi saya dan organisasi.
Saya
memberanikan diri pada hari ini untuk membuka tirai perbincangan
bagi persoalan ini oleh kerana saya dapati pada akhir-akhir
ini banyak hal atau urusan yang dijalankan oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya sebagai sebuah BPP telah dipersoalkan khususnya
dari sudut kebebasan dan keadilan. Membuka ruang untuk semua
pihak berbincang hal ini akan dengan sendirinya membantu mencapai
hasrat masyarakat Malaysia amnya untuk menilai semula aspek
penting dalam proses memperdalam amalan demokrasi di Malaysia
seperti berikut:
1)
Menilai tahap kedudukan dan kemampuan Suruhanjaya Pilihan Raya
ini dalam konteks kerangka undang-undang yang ada iaitu sama
ada mampu untuk menjalankan pilihan raya yang bebas dan adil.
2) Apakah perlu kedudukan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai sebuah
BPP dikaji semula dan kerangka undang-undang baru digubal dan
bentuk BPP yang berwajah baru diwujudkan untuk mencerminkan
kehendak semasa masyarakat Malaysia dan keperluan semasa bagi
negara ini untuk memperkuat atau mendalamkan amalan-amalan demokrasi
khususnya dalam pengurusan pilihan raya.
Setelah
menganalisis pelbagai bentuk organisasi BPP dan setelah melihat
prestasi (performance) BPP di pelbagai negeri, saya dapat membuat
kesimpulan bahawa untuk sesebuah BPP mencapai matlamat meraih
keyakinan semua pihak BPP itu hendaklah mempunyai kriteria-kriteria
berikut:
1)
Boleh dipercayai dan efektif.
2) Mempunyai sumber kewangan yang mencukupi yang disalurkan
menerusi saluran yang betul.
3) Sumber manusia yang menepati keperluan BPP itu. Maksudnya
selain daripada dilatih untuk bertindak secara bebas dan adil
perlu juga mempunyai kemahiran, ketrampilan diri dan boleh bertindak
secara profesional.
4) Bebas dari kawalan kerajaan atau pengaruh-pengaruh luar.
5) Mempunyai kerangka undang-undang yang baik yang mengawal
segala pergerakan aktiviti BPP berkenaan untuk menjamin kebebasan
dan keadilan.
6) Struktur pentadbiran yang khususnya ditubuhkan oleh kerangka
undang-undang seperti penubuhan BPP Pusat, BPP Cawangan dan
sebagainya.
Di
samping perkara-perkara di atas ada beberapa perkara yang harus
juga dikaji dengan teliti bersabit dengan penubuhan BPP ini
iaitu:
1) Perlembagaan Persekutuan iaitu hal-hal yang berkaitan dengan
pelantikan BPP dan Ahli-Ahli Panel khususnya soalan mengenai
siapa yang melantik dan tugas-tugas dan tanggungjawab yang dikhususkan.
2) Kerangka undang-undang yang menentukan badan berkenaan dapat
menjalankan tanggungjawabnya tanpa sekatan, gangguan atau dipengaruhi
oleh mana-mana pihak. Saya senaraikan kriteria berikut sebagai
panduan bagi penubuhan apa yang disebut sebagai sebuah Badan
Pengurusan Pilihan Raya yang bebas dan adil. 9 perkara yang
akan saya sentuh dan huraikan bolehlah digunakan untuk menilai
kedudukan kita dan menentukan sama ada perlu atau tidak kita
membuat perubahan yang drastik untuk kebaikan negara dan masyarakat
pada amnya. Perkara-perkara berkenaan adalah seperti berikut:
i.
Perlembagaan Negara.
Adakah peruntukan yang sedia ada mengenai pilihan raya mencerminkan
kehendak electoral democracy yang dikehendaki.
ii. Struktur pentadbiran BPP.
iii. Fungsi BPP.
iv. Kakitangan dan perkhidmatan.
v. Operasi atau perjalanan BPP.
vi. Urusan kewangan.
vii. Kuasa untuk mengawal dan menyelesaikan segala pertelingkahan
dan perbalahan.
viii. Kuasa untuk mengadakan undang-undang atau peraturan dan
melaksanakan undang-undang atau peraturan itu tanpa sekatan
dan ancaman.
ix. Kuasa untuk mempertahankan dan memperkuatkan amalan demokrasi
dalam pilihan raya.
Tuan-tuan
dan Puan-puan,
Sebelum
saya mengulas perkara-perkara yang saya nyatakan tadi, satu
perkara yang saya perlu sebut tanpa ragu-ragu di sini ialah
bahawa pemilihan dan penubuhan sesebuah badan Pengurusan Pilihan
Raya (BPP) adalah sama pentingnya dengan penubuhan sistem pilihan
raya itu sendiri. Oleh hal demikian, penubuhan sesebuah BPP
tidak harus dilakukan secara sewenang-wenangnya. Jika didapati
BPP yang telah ditubuhkan itu dan kerangka undang-undang yang
sedia ada tidak membolehkan BPP itu berfungsi dan menyediakan
pilihan raya bebas dan adil secara lengkap, atau BPP itu tidak
dapat berfungsi sepertimana yang diharapkan disebabkan oleh
kepincangan yang dapat diidentifikasikan dengan nyata khususnya
yang ada kaitan dengan kerangka undang-undang maka haruslah
suatu bentuk kajian semula (review) dilakukan untuk membolehkan
semua pihak yang berkepentingan membantu negara menubuhkan sebuah
BPP yang sesuai dengan keadaan semasa yang dikirakan boleh mencapai
objektif sesuatu pilihan raya demokratik iaitu pilihan raya
yang dianggap oleh semua pihak sebagai bebas dan adil.
Saya
menarik perhatian para hadirin mengenai kata-kata kunci yang
perlu diberi perhatian dalam menentukan penubuhan sesebuah badan
pengurusan pilihan raya yang berkuasa, boleh dipercayai (credible)
dan bebas. Saya ketengahkan perkara ini semata-mata kerana mengikut
panduan antarabangsa mengenai penubuhan BPP ini ialah bahawa
sesebuah BPP hendaklah ditubuhkan sebagai badan bebas yang dijamin
oleh perlembagaan negara yang berkenaan.
Istilah
bebas (independence) dalam konteks pilihan raya demokratik bermakna
bahawa BPP yang berkenaan dalam segala hal dan untuk semua tujuan
adalah sebuah BPP yang kuat (powerful) boleh dipercayai (credible)
dan bebas daripada sebarang pengaruh terutamanya pengaruh parti
yang memerintah atau mana-mana badan lain yang berkepentingan,
di samping boleh bertindak secara profesional terhadap semua
parti politik.
Untuk
tujuan itu saya akan menghuraikan kriteria-kriteria yang boleh
dijadikan panduan bagi penubuhan sesebuah BPP.
1)
Status BPP Dari Sudut Perlembagaan Negara
Peruntukan
perlembagaan Negara mengenai penubuhan sesebuah BPP dan pelantikan
ahli-ahli panelnya, termasuk komposisi BPP itu, hendaklah jelas
dan nyata. Peruntukan perlembagaan negara juga harus secara
telus menjamin kebebasan BPP berkenaan dari sebarang bentuk
pencabulan. Mekanisme yang menentukan penubuhan BPP dan pelantikan
pengerusi dan ahli-ahli panel lain hendaklah dinyatakan dengan
jelas dalam perlembagaan negara untuk tidak menimbulkan sebarang
bentuk keraguan tentang kebebasan dan kesaksamaannya..
Dalam hal ini, ciri-ciri yang relevan bagi mengawal penubuhan
dan pelantikan antara lain adalah seperti berikut:
a)
Klausa yang berkenaan hendaklah mengelakkan daripada memberi
parti pemerintah kuasa yang mutlak dalam proses pemilihan dan
pelantikan.
b) Dalam membuat pelantikan negara harus menentukan kriteria
dan juga formula yang diterima oleh semua pihak bagi menjamin
pelantikan itu dianggap adil dan tidak menimbulkan sebarang
bentuk keraguan.
c) Keperluan diwujudkan bentuk perlindungan selaku safeguard
seperti sebuah jurisdiction (kuasa kehakiman) yang memberikan
kekebalan fungsi (functional immunity) bagi ahli-ahli panel
BPP yang ditubuhkan untuk membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab
mereka secara cekap, tanpa takut dan ragu.
Dalam
hal ini, izinkan saya melebarkan sedikit keterangan untuk mengelakkan
timbulnya salah pengertian terhadap apa yang saya telah nyatakan.
Perlu
saya tegaskan bahawa dalam hal BPP ini terdapat perbezaan yang
jelas dalam cara penubuhan dan pelantikan antara satu negara
dengan satu negara yang lain.
Kuasa
yang diberikan oleh undang-undang kepada BPP juga berbeza, lebih
bergantung kepada keadaan-keadaan sejarah, politik, sosial dan
keadaan geografi dan demografi yang wujud pada satu masa yang
semestinya mempengaruhi tahap kebebasan dan status kredibiliti
BPP yang berkenaan. Misalnya Perlembagaan Malaysia memperuntukkan
kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melantik sebuah BPP (dalam
bentuk suruhanjaya) yang dikehendaki pada sebarang masa mendapat
kepercayaan awam. Saya kira pada masa penubuhan itu dilakukan,
dan untuk beberapa tahun berikutnya kerangka undang-undang yang
diwujudkan amat sesuai dengan keadaan social order yang saya
maksudkan tadi. Kerangka undang-undang yang sama masih wujud
dan dipakai sehingga ke hari ini, walaupun keadaan social order
telah berubah dengan banyak dan amat ketara perbezaannya dalam
semua aspek. Jelas dan nyata kerangka undang-undang yang pada
satu ketika dulu amat sesuai dengan keadaan social order pada
ketika itu tidak lagi memberikan ruang yang sesuai kepada Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) untuk menjamin keadilan terus wujud bagi
semua pihak. SPR sentiasa terdedah kepada kritikan kerana kononnya
ia gagal melaksanakan kuasa-kuasa tertentu yang pada hakikatnya
tidak wujud dalam undang-undang pilihan raya di Malaysia. Kuasa-kuasa
yang tidak wujud dan menjadi punca kelemahan SPR ialah:
i. Kuasa
untuk menentukan penubuhan parti politik, dan menjamin kebebasan
mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya.
ii. Kuasa untuk mengawal semua keadaan pada musim kempen.
iii. Kuasa untuk mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi
semua media cetak dan elektronik.
iv. Kuasa untuk mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan
kemudahan awam untuk berkempen.
v. Kuasa untuk menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan dengan
party funding.
vi. Kuasa
untuk mengawal dan mencegah rasuah dan aktiviti beli undi dalam
musim pilihan raya.
2)
Struktur Pentadbiran
Struktur
pentadbiran memerlukan suatu kerangka undang-undang yang baik
yang menentukan bahawa BPP berkenaan ditadbir dengan kemas dan
teratur di samping segala bentuk kekuasaan (authority) wujud
di semua peringkat. Misalnya jika wujud cawangan BPP di peringkat
Negeri atau Daerah kuasa-kuasanya dan kawalan pihak pusat harus
jelas dan sempurna.
3)
Fungsi BPP
Mengikut
apa yang ideal sesebuah BPP tidak seharusnya semata-mata berfungsi
bagi menjalankan pilihan raya. Ia harus juga secara praktikal
menentukan peraturan bagi gerakan pendaftaran pemilih dan penyediaan
daftar pemilih yang sesuai dan bersih untuk sesuatu pilihan
raya. BPP berkenaan mungkin diperlukan oleh perlembagaan untuk
menentukan dan menjalankan persempadanan semula bahagian-bahagian
pilihan raya. Undang-undang khususnya mengenai perkara ini hendaklah
ditentukan dengan nyata untuk mengelakkan daripada berlakunya
manipulasi kepada kawasan-kawasan pilihanraya dan kesempatan
kepada parti yang memerintah untuk mendapat faedah daripada
aktiviti berkenaan. Misalnya kalau menjadi fungsi BPP berkenaan
untuk menentukan sempadan-sempadan bahagian pilihan raya, maka
haruslah menjadi fungsi satu badan bebas lain untuk menyelesaikan
pertelingkahan, rungutan, ketidakpuasan dan keluhan berkaitan
dengan urusan persempadanan berkenaan.
4)
Kakitangan dan Perkhidmatan.
Kebebasan
BPP yang ditubuhkan akan lebih terjamin sekiranya BPP berkenaan
mempunyai kuasa untuk mengawal sepenuhnya pemilihan, lantikan
dan penamatan jawatan pegawai-pegawai dan kakitangan (pegawai
dan kakitangan urus setia atau apa jua bentuk organisasi sokongan
yang dibenarkan oleh undang-undang). Sebuah BPP sepatutnya berada
dalam suatu kedudukan untuk benar-benar dapat menentukan bahawa
kakitangan sokongan di semua peringkat adalah cekap dan profesional
dan memahami sepenuhnya tanggungjawab BPP yang menggajinya untuk
mencapai hasrat menjalankan pilihan raya secara bebas dan adil.
5)
Operasi atau Penjalanan BPP
Kerangka
undang-undang yang disediakan hendaklah memenuhi objektif utama
BPP untuk menjayakan sesuatu pilihan raya yang bebas dan adil.
Kerangka undang-undang mesti memperkasakan BPP berkenaan sehingga
kepada tahap yang tertinggi di mana ia dapat menjalankan fungsi-fungsinya
bagi sesuatu pilihan raya secara bebas, adil dan telus.
6)
Urusan Kewangan
Bagaimana
dan dari mana BPP yang berkenaan mendapat sumber kewangannya
akan juga mencerminkan keadaan status BPP itu. Mengikut amalan
antarabangsa dipercayai bahawa sesebuah BPP itu akan lebih kelihatan
bebas kalau peruntukan kewangan BPP berkenaan diluluskan khas
oleh parlimen.
7)
Kuasa Untuk Mengawal Adjudicate dan Menyelesaikan Pertelingkahan
dan Perbalahan.
Selain proses
undang-undang berkaitan dengan petisyen pilihan raya BPP yang
berkenaan hendaklah diberi kuasa untuk menyelesaikan pertelingkahan
atau perselisihan-perselisihan kecil yang timbul dalam musim
pilihan raya. Kerangka undang-undang hendaklah mengandungi peruntukan
untuk membentuk mekanisme untuk memproses, menghakim (adjudicate)
dan menyelesaikan complain-complain dalam jangkamasa yang singkat
dan sesuai di mana masalah yang timbul pada masa pilihan raya
memerlukan penyelesaian segera dan adil oleh BPP berkenaan.
Kuasanya untuk menyelesaikan pertelingkahan dan perselisihan
kecil akan mempertingkat intergriti pilihan raya dan membantu
meningkatkan imej BPP berkenaan.
8)
Kuasa Untuk Menyediakan dan Menguatkuasakan Undang-Undang dan
Peraturan-Peraturan Pilihan Raya
Kuasa seumpama
ini jika diberikan akan memperkuat kebebasan BPP itu. Misalnya
kuasa untuk mewujudkan segera undang-undang dan menguatkuasakan
peraturan-peraturan yang mudah akan membolehkan BPP itu untuk
serta-merta menangani kelemahan-kelemahan dalam undang-undang
khususnya yang ada kaitan dengan kuasa-kuasa menyelesaikan masalah
dan ketidakpuasan yang timbul semasa pilihan raya dari pelbagai
pihak.
9)
Kuasa Untuk Memperkuat Amalan-Amalan Demokrasi Dalam Pilihan
Raya.
Kuasa untuk
mengadakan consultation komunikasi dan kerjasama secara berkala
antara BPP, parti-parti politik dan pelbagai institusi masyarakat
dan media hendaklah diberikan kepada BPP. Kredibiliti atau intergriti
sesuatu proses pilihan raya dan keadilan yang hendak diwujudkan
oleh BPP adalah pada amnya bergantung kepada pendapat- pendapat
pihak-pihak yang berkepentingan seperti parti-parti politik,
pihak kerajaaan, pertubuhan-pertubuhan awam dan media di samping,
secara keseluruhannya, semua pengundi yang mengambil bahagian.
Wujud kesedaran di kalangan semua pihak betapa perlunya kebebasan
untuk melayani semua pihak secara saksama harus dijadikan sebagai
isu yang amat relevan dalam menentukan penubuhan sistem dan
proses pilihan raya termasuk penjalanan badan pengurusan pilihan
raya itu sendiri.
Berasaskan kepada kriteria-kriteria yang saya nyatakan sebentar
tadi, saya ingin menjemput tuan-tuan untuk menjenguk barang
sejenak dan mengkaji betapa penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menjalankan
pilihan raya ini menepati sedikit sebanyak kriteria-kriteria
yang berkenaan dan jika mendapati terdapat kekurangan-kekurangan
yang jelas, mungkin masanya dikirakan telah tiba untuk kita
semua memohon agar kajian semula dilakukan terhadap kerangka
undang-undang yang merangkumi urusan pilihan raya ini, termasuk
perlembagaan persekutuan, undang-undang pilihan raya yang wujud
dan undang-undang lain yang terpakai dalam musim pilihan raya.
Setelah 50 tahun mengharungi proses demokrasi dan setelah negara
mengalami arus pembangunan dan permodenan yang pesat mungkin
juga perlu difikirkan tentang kehendak awam bagi membangunkan,
memperdalam dan memperteguh amalan-amalan demokrasi dalam pilihan
raya di Malaysia, sesuai dengan keadaan social order yang wujud
pada masa kini.
Pada masa
yang sama saya kira BPP (SPR) yang wujud harus juga dikaji kedudukan
dan keberkesanannya dan jika perlu diletakkan pada kedudukan
yang lebih teguh atau lebih kuat untuk menjalankan pilihan raya
sehingga boleh secara yakin ianya digolongkan sebagai badan
bebas dan adil.
Saya amat
sedar bahawa suruhanjaya ini sentiasa diberi perhatian oleh
semua pihak khususnya oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam
urusan pilihan raya. Saya juga menyedari hakikat bahawa berlandaskan
kepada kerangka undang-undang yang wujud pada ketika ini banyak
kekurangan yang terdapat padanya sebagai sebuah BPP untuk menentukan
ianya dapat secara yakin menjalankan pilihan raya yang bebas
dan adil. Sesuai dengan kehendak Perlembagaan Negara SPR perlu
terus mendapat kepercayaan semua pihak, baik pengundi mahu pun
parti-parti politik, badan berkanun, pertubuhan–pertubuhan
awam dan seterusnya seluruh rakyat Malaysia.
TAN
SRI DATO’ SERI HJ. AB. RASHID BIN AB. RAHMAN
PENGERUSI
SURUHAJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
PUTRAJAYA
8
JANUARI 2007