Suruhanjaya
Pilihan Raya pada dasarnya ditubuhkan untuk menjalankan pilihan
raya yang bebas dan adil di Malaysia. Penubuhan Suruhanjaya Pilihan
Raya dibuat di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. Kehendak
supaya Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya jujur, berwibawa dan
tidak berpihak ("non partisan") telah dimasukkan dalam Perlembagaan
oleh penggubal-penggubalnya pada tahun 1957.
Perlembagaan
menubuhkan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas daripada
Badan Eksekutif supaya Suruhanjaya tidak tertakhluk kepada apa-apa
arahan badan Eksekutif tentang bagaimana hendak menjalankan sesuatu
pilihan raya. Perlembagaan melalui Perkara 114 telah memberikan
kuasa pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Yang di-Pertuan
Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Suruhanjaya terdiri
daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan lima orang
ahli lain. Dalam melantik mereka, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki
untuk mengambil kira peri mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya
yang mendapat kepercayaan awam.
Untuk memastikan
Suruhanjaya tidak boleh diganggu oleh Badan Eksekutif dalam penjalanan
fungsinya, Perlembagaan juga telah memberikan jaminan jawatan
("security of tenure") kepada ahli Suruhanjaya. Kecuali sebagaiman
yang diperuntukkan dalm Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan, seseorang
ahli Suruhanjaya tidak boleh dipecat daripada jawatannya kecuali
dengan cara yang sama dan mengikut alasan yang sama seperti seorang
hakim Mahkamah Persekutuan. Mengikut Fasal (3) Perkara 114 tersebut,
seseorang ahli Suruhanjaya akan hilang kelayakan secara automatik
jika dia mencapai umum enam puluh lima tahun dan Yang di-Pertuan
Agong boleh memecatnya daripada jawatannya jika dia-
(a) seorang
bankrap belum lepas;
(b) melibatkan diri dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan berbayar
di luar tugas jawatannya; atau
(c) dia menjadi anggota mana-mana satu Majlis Parlimen atau
Dewan Undangan sesuatu Negeri.
Selain itu,
sebagai menjamin kebebasan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dalam
menjalankan fungsinya, saraan ahli Suruhanjaya dipertanggungkan
kepada Kumpulan Wang Disatukan dan diperuntukkan secara khusus
melalui suatu Akta Parlimen iaitu Akta Suruhanjaya Pilihan Raya
1957. Dengan peruntukkan sedemikian, saraan ahli Suruhanjaya Pilihan
Raya dikeluarkan daripada perbahasan tahunan dan kelulusan Parlimen.
Saraan itu juga tidak boleh diubah sehingga menjejaskan mereka
selepas pelantikan mereka.
Dari segi
undang-undang pula, ahli Suruhanjaya Pilihan Raya diberikan perlindungan
dalam apa-apa tindakan dan guaman yang dibawa terhadapnya atas
apa-apa perbuatan yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan
olehnya semasa bertindak dalam melaksanakan jawatannya. Perlindungan
dan keistimewaan yang diberikan oleh undang-undang adalah sama
dengan perlindungan kepada seseorang Majistret semasa bertindak
dalam melaksanakan jawatannya. Perkara ini jelas diperuntukkan
dalam seksyen 6 Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957.
[Petikan
dari Berita SPR 1/2004]