Laman Utama
 


versi inggeris






Akta dan Peraturan
Akta dan Peraturan
Pilihan Raya
Parlimen & Dewan Undangan   Negeri
Persempadanan
Pendaftaran Pemilih
Daftar Pemilih & Semakan   Daftar Pemilih

Parti-parti Politik
Proses Pilihan Raya 

Perkhidmatan Atas Talian


Akademi Pilihan Raya

Latar Belakang
Objektif
Fungsi
Kumpulan Sasaran

Kursus Dan Taklimat
Tenaga Pengajar
Tempat Latihan

Pusat Sumber

Pusat Sumber

Jaringan Dalam Negeri

Parlimen
Portal myGovernment

Perhubungan Antarabangsa
Perhubungan Antarabangsa

Jaringan Luar Negeri

Organisasi Penyelidikan,   Penasihat, Pemerhati dan   Terbitan
Laman Berhubung Maklumat   Pilihan Raya
Indeks Negara

Soalan Lazim

Faq

Carian Portal SPR
Web www.spr.gov.my
 
PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA
(PENJALANAN PILIHAN RAYA) 1981

PILIHAN RAYA YANG DIPERTANDINGKAN


11. (1) Jika pada hari penamaan dalam mana-mana bahagian pilihan raya, selepas diputuskan oleh pegawai pengurus apa-apa bantahan yang mungkin telah dibuat, lebih daripada seorang calon sah dinamakan bagi bahagian pilihan raya tersebut, pegawai pengurus hendaklah dengan serta-merta mengisytiharkan bahawa suatu pengundian akan dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan ini.

(2) (a) Pegawai pengurus hendaklah memutuskan dengan cara cabut undi susunan mengikut mana nama calon akan dicatatkan dalam kertas undi.

(b) Tertakluk kepada subperaturan ini, pegawai pengurus hendak menguntukkan kepada setiap calon suatu simbol yang diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mengikut apa-apa cara yang difikirkannya sesuai.

(c) Bagi maksud perenggan ini suatu parti politik boleh mengemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk diluluskannya dan untuk didaftarkan, jika diluluskan sedemikian, suatu simbol yang dalam perenggan ini disebut "simbol parti", bagi kegunaan calon dalam mana-mana pilihan raya.

Dalam perenggan ini "parti politik" ertinya mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335], yang Suruhanjaya Pilihan Raya berpuas hati adalah ditubuhkan bagi maksud politik.

(d) Sebagai ganti simbol yang diuntukkan mengikut subperenggan (b), pegawai pengurus hendaklah, atas permintaan mana-mana calon menguntukkan kepadanya suatu simbol parti:

Dengan syarat bahawa tiada simbol parti boleh diuntukkan sedemikian kecuali dikemukakan oleh calon itu suatu kebenaran bertulis yang ditandatangani oleh seorang pegawai parti itu yang bertanggungjawab membenarkan calon itu menggunakan simbol parti itu bagi maksud pilihan raya itu.

(e) (Dipotong oleh P.U.(A)67/2004).

(3) Pegawai pengurus hendaklah, secepat yang dapat dilaksanakan, selepas membuat perisytiharannya mengikut subperaturan (1), menghantar kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri suatu laporan bahawa piihan raya itu dipertandingkan berserta dengan suatu salinan kertas penamaan setiap calon, suatu pernyataan menunjukkan susunan nama calon yang akan dicetak dalam kertas undi dan simbol yang diuntukkan kepada setiap calon.

(4) Pegawai pengurus hendaklah juga secepat yang dapat dilakasanakan menghantar suatu salinan yang diperakui benar setiap kertas penamaan yang ditolak dan alasan-alasan bagi penolakan kertas penamaan itu kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya.

(5) Apabila menerima laporan yang tersebut dalam subperaturan (3), Pegawai Pilihan Raya Negeri hendaklah menyebab disiarkan dalam Warta dan juga mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, suatu notis seperti dinyatakan dalam Borang 8 dalam Jadual Pertama menyatakan-

(a) bahagian pilihan raya yang dalamnya mana pilihan raya itu dipertandingkan;

(b) tarikh yang pengundian akan dijalankan;

(c) nama calon mengikut susunan nama yang akan dicetak pada kertas undi, simbol yang diuntukkan kepada setiap calon dan nama pencadang dan penyokong mereka; dan

(d) kedudukan tempat mengundi atau tempat-tempat mengundi bagi setiap daerah mengundi bagi bahagian pilihan raya itu dan waktu setiap tempat mengundi itu akan dibuka.

(6) Jika, selepas pilihan raya dilaporkan sebagai dipertandingkan, salah seorang daripada calon yang telah dinamakan mati atau hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau ahli Dewan Undangan Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebelum pengundian dimulakan, atau jika kerana apa-apa jua sebab pengundian tidak diadakan atau telah tidak diadakan pada hari mengundi yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan kepada pegawai pengurus di bawah subperaturan 3 (1), maka pegawai pengurus di bawah subperaturan 3 (1), maka pegawai pengurus hendaklah, apabila berpuas hati tentang fakta sedemikian, atau sebab sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, memberitahun Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya dengan mencatatkan fakta itu, atau sebabnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, di sebelah belakang writ yang dikeluarkan kepadanya di bawah subperaturan 3(1) dan memulangkan writ itu kepadanya tanpa kelengahan. Suruhanjaya Pilihanraya hendaklah membatalkan notis bagi pengundian itu, dan hendaklah menetapkan dengan notis yang disiarkan dalam Warta suatu tarikh baru bagi pilihan raya dan dalam hal demikian semua urusan mengenai pilihan raya itu hendaklah dijalankan semula, dengan syarat bahawa penamaan semula tidak perlu dalam hal seseorang calon yang layak yang sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan.

(7) Jika, selepas pilihan raya dilaporkan sebagai dipertandingkan, salah seorang daripada calon yang telah dinamakan menarik balik pencalonnannya daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam tempoh tiga hari dari hari penamaan, calon itu hendaklah memberikan notis bertulis sendiri mengenai penarikan balik pencalonan itu kepada pegawai pengurus.

(8) Notis bertulis yang disebut dalam subperaturan (7) hendaklah ditandatangani oleh calon itu dan disaksikan oleh seorang saksi.

(9) Pegawai pengurus yang menerima notis yang disebut dalam subperaturan (7) hendaklah-

(a) jika hanya dua orang calon sah dinamakan bagi bahagian pilihan raya itu pada hari penamaan dan seorang daripadanya ialah calon yang menarik balik pencalonannya itu, dengan serta-merta mengisytiharkan calon yang seorang lagi itu sebagai dipilih, dan hendaklah dengan serta-merta memulangkan writ yang dikeluarkan kepadanya di bawah subperaturan 3(1), setelah diisi dengan sepatutnya, kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya melalui Pegawai Pilihan Raya Negeri dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah menyebabkan nama ahli yang dipilih sedemikian disiarkan dalam Warta; dan

(b) jika lebih daripada dua orang calon sah dinamakan bagi bahagian pilihan raya itu pada hari penamaan dan seorang daripadanya ialah calon yang menarik balik pencalonannya itu, dengan serta-merta memberitahu Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya tentang fakta itu dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mencetak kertas undi yang baru dengan nama calon yang sah dinamakan.

(10) Deposit yang dibuat di bawah peraturan 5 oleh seseorang calon yang menarik balik pencalonannya menurut subperaturan (7) hendaklah dilucuthakkan dan dibayar kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

12. (1) Tertakluk kepada arahan am atau khas Suruhanjaya Pilihan Raya, setiap pegawai pengurus hendaklah melantik, dan boleh membatalkan pelantikan, seorang ketua tempat mengundi untuk mengetuai setiap tempat mengundi bagi bahagian pilihan rayanya.

(2) (Dipotong oleh P.U.(A)67/2004).

(3) Setiap seorang ketua tempat mengundi hendaklah dibekalkan dengan suatu salinan bahagian daftar pemilih yang mengandungi nama pemilih dalam daftar itu yang diuntukkan bagi tempat mengundinya.

(4) Jika mana-mana ketua tempat mengundi tidak dapat menjalankan tugasnya dalam mana-mana pilihan raya kerana sakit atau sebab lain, dan masa tidak ada untuk seorang lain dilantik oleh pegawai pengurus, ketua tempat mengundi itu boleh melantik seorang timbalan untuk menjalankan tugas bagi pihaknya dan tiap-tiap pelantikan itu hendaklah dengan seberapa segera yang boleh dilaporkan kepada pegwai pengurus dan boleh dibatalkan oleh pegawai pengurus, tetapi tanpa menyentuh kesahan apa-apa jua yang telah dilakukan oleh timbalan itu.

(5) Pegawai pengurus boleh, jika difikirkannya patut, mengetuai mana-mana tempat mengundi, dan peruntukan-peruntukan Peraturan-Peraturan ini berhubungan dengan ketua tempat mengundi hendaklah dipakai bagi pegawai pengurus tersebut.

12A. (1) Tertakluk kepada arahan-arahan am atau khas Suruhanjaya Pilihan Raya, setiap seorang pegawai pengurus hendaklah melantik, dan boleh membatalkan perlantikan, pegawai atau lain membantu ketua atau ketua-ketua tempat mengundi di setiap satu tempat mengundi bagi bahagian pilihan rayanya.

(2) Pegawai atau kakitangan lain itu hendaklah diletakkan di bawah kawalan atau arahan am ketua-ketua tempat mengundi bagi mengundi untuk bahagian pilihan raya itu.

13. (1) Suatu notis seperti dinyatakan dalam Borang 8 Jadual Pertama hendaklah ditampalkan oleh ketua tempat mengundi di sebelah luar dan mudah dilihat sebelum pengundian dimulakan.

(2) Semasa pengundian dijalankan ketua tempat mengundi hendaklah mempamerkan di luar tempat mengundinya suatu notis yang pada asasnya adalah mengikut bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Kedua memberi arahan panduan bagi pengundi dalam mengundi, yang hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan dan boleh menyebabkan dipamerkan apa-apa notis dalam apa-apa bahasa atau bahasa-bahasa lain dan dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diarahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

(3) Menjadi kewajipan pegawai pengurus untuk mengadakan di setiap tempat mengundi kemudahan yang munasabah untuk membolehkan pemilih yang diuntukkan bagi tempat mengundi itu menandakan undi mereka dengan terlindung dari pandangan dan mengundi mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan ini, dan dia hendaklah hendaklah menentukan, atau boleh memberi kuasa kepada ketua tempat mengundi untuk menentukan, cara bagaimana kemudahan itu hendak digunakan di kalangan pemilih yang berhak mengundi dalam pilihan raya itu.

(4) Sesuatu pilihan raya tidak boleh dipersoalkan semata-mata oleh sebab subperuntukan(3) tidak dipatuhi.

14. Daftar pemilih yang pada masa itu berkuat kuasa hendaklah menjadi keterangan prima facie bagi maksud menentukan sama ada seseorang berhak atau tidak berhak mengundi dalam sesuatu pilihan raya dalam mana-mana bahagian pilihan raya.

14A. Daftar pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan hendaklah merupakan naskhah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi suatu tempat mengundi pada hari mengundi.

15. (1) Tiada seorang boleh dibenarkan masuk mengundi di mana-mana tempat mengundi kecuali di tempat mengundi yang telah diuntukkan bahagian daftar pemilih yang mengandungi namanya telah diuntukkan:

Dengan syarat bahawa jika seseorang pemilih bagi mana-mana bahagian pilihan raya ditugaskan sebagai ketua tempat mengundi atau dalam apa-apa jawatan lain di suatu tempat mengundi dalam bahagian pilihan raya tersebut dan sukar baginya hendak mengundi di tempat mengundi yang bahagian daftar pemilih yang mengandungi namanya telah diuntukkan, pegawai pengurus boleh membenarkan pemilih itu mengundi di mana-mana tempat mengundi lain dalam bahagian pilihan raya itu. Kebenaran itu hendaklah diberi di bawah tandatangan pegawai pengurus dan hendaklah menyatakan nama pemilih, dan hakikat bahawa dia ditugaskan sebagaimana tersebut di atas dan hendaklah menyatakan tempat mengundi yang dia dibenarkan mengundi.

(2) Melainkan jika Suruhanjaya Pilihan Raya, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan apa-apa waktu lain mengenai mana-mana bahagian pilihan raya atau sebahagiannya, pengundian dalam mana-mana bahagian pilihan raya itu hendaklah dibuka selama dua belas jam antara waktu yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

(3) Ketua tempat mengundi hendaklah mengawal selia bilangan pengundi yang hendak dibenarkan masuk pada suatu masa semasa pengundian dijalankan dan hendaklah mengeluarkan semua orang lain kecuali calon, ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundi itu, pegawai pengurus, anggota atau pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, orang yang bertugas secara rasmi di tempat mengundi itu, seorang "saudara" yang ditafsirkan dalam peraturan 19 (7), atau orang lain yang dibenarkan secara bertulis oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

(4) Tidak lebih daripada seorang ejen tempat mengundi bagi setiap seorang calon boleh dibenarkan masuk pada suatu masa ke mana-mana tempat mengundi semasa pengundian dijalankan.

(5) Tiada seorang ejen tempat mengundi yang nama dan alamatnya tidak diberitahu kepada ketua tempat mengundi sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 14(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, boleh dibenarkan masuk ke tempat mengundi dalam masa pengundian dijalankan.

(6) (a) Menjadi kewajipan ketua tempat mengundi untuk menjaga ketenteraman di tempat pengundiannya.

(b) Jika seseorang melakukan perbuatan salah laku di sesuatu tempat mengundi atau tidak menurut perintah yang sah daripada ketua tempat mengundi, orang itu boleh dengan segera, melalui perintah ketua tempat mengundi, dikeluarkan dari tempat mengundi itu atau berdekatan dengan tempat mengundi itu atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa secara bertulis oleh pegawai pengurus atau ketua tempat mengundi untuk mengeluarkan, dan orang yang dikeluarkan sedemikian tidak boleh, tanpa kebenaran ketua tempat mengundi, masuk semula ke tempat mengundi itu pada hari itu.

(c) Kuasa yang diberi oleh peraturan ini tidak boleh dijalankan hingga menghalang seorang pengundi yang selainnya berhak untuk mengundi di suatu tempat mengundi daripada mendapat peluang mengundi di tempat mengundi itu.

(d) Kegagalan untuk menurut perintah yang sah daripada ketua tempat hendaklah menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi satu ribu ringgit.

16. Menjadi kewajipan setiap ketua tempat mengundi, tertakluk kepada arahan am Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk menandakan sempadan tempat mengundi yang dia dilantik untuk mengetuai.

17. (1) Undi hendaklah diberikan melalui pembuangan undi dan undi setiap pengundi hendaklah terdiri daripada suatu kertas, yang dalam Peraturan-Peraturan ini disebut "kertas undi".

(2) Tiap-tiap kertas undi hendaklah mengandungi suatu senarai calon dalam huruf Rumi yang diperihalkan mengikut peraturan 11 (2) (e), dan disusun mengikut sebagaimana ditetapkan oleh pegawai pengurus mengikut peraturan 11 (2) (a) berserta simbol yang diuntukkan kepada setiap seorang calon mengikut peraturan 11 (2) (b).

(3) Tiap-tiap kertas undi hendaklah seperti dalam Borang 9 Jadual Pertama dan hendaklah boleh dilipat. Setiap satu kertas undi hendaklah mempunyai suatu nombor yang dicetak pada sudut kiri di sebelah atasnya dan hendaklah tercantum pada suatu keratan yang mempunyai nombor yang sama tercetak padanya.

18. (1) Tiap-tiap peti undi hendaklah dibuat dengan sesuatu cara supaya kertas undi boleh dimasukkan ke dalamnya tetapi tidak boleh diambil keluar melainkan dengan membuka kunci peti itu.

(2) Ketua tempat mengundi di sesuatu tempat mengundi hendaklah, sebelum sahaja pengundian dimulakan, menunjukkan setiap satu peti undi yang hendak digunakan kepada orang-orang yang hadir secara sah di tempat meengundi itu supaya mereka boleh menyaksikan bahawa peti itu adalah kosong.

(2A) Bagi maksud subperaturan (2), jika seseorang calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundinya tidak hadir pada masa itu di tempat mengundi itu, calon itu atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundinya hendaklah disifatkan tidak mempertikaikan bahawa setiap peti undi yang ditunjukkan oleh ketua tempat mengundi itu adalah kosong.

(2B) Dalam hal jika ketua tempat mengundi tidak dapat menjalankan tatacara yang disebut dalam subperaturan (2) kerana tiada seorang pun yang boleh hadir secara sah di sesuatu tempat mengundi itu hadir di tempat mengundi itu, ketua tempat mengundi hendaklah memanggil mana-mana pegawai polis yang bertugas di luar tempat mengundi itu utnuk hadir di tempat mengundi itu supaya dia boleh menyaksikan bahawa setiap peti undi adalah kosong.

(3) Ketua tempat mengundi-

(a) hendaklah mengunci peti undi itu; dan

(b) hendaklah mengenakan pada peti undi itu suatu klip dan melekatkan perekat keselamatan dan perekat keselamatan itu hendaklah ditandatangani oleh ketua tempat mengundi itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundinya yang hadir dan yang berhasrat untuk menandatangani perekat keselamatanitu, mengikut apa-apa cara bagi mencegah peti undi itu dibuka tanpa dipecahkan klip dan perekat itu, dan peti undi itu tidak boleh dibuka lagi hingga selepas pengundian itu ditutup.

(4) Dia hendaklah menyimpan peti itu dalam jagaannya sehingga peti itu dihantar atau dihantar serah kepada pegawai pengurus mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan ini.

19. (1) Setiap pengundi hendaklah diberikan suatu kertas undi dan adalah berhak kepada satu undi.

(2) Apabila setiap pengundi meminta kertas undi, nombor dan nama pengundi sebagaimana yang dinyatakan dalam daftar pemilih hendaklah diteriakkan dan suatu tanda, tanpa menunjukkan dengan apa-apa cara kertas undi tertentu yang hendak dikeluarkan kepadanya, hendaklah dibuat dalam daftar itu bersetentangan dengan nombor pengundi itu untuk menunjukkan bahawa satu kertas undi telah dikeluarkan kepadanya.

(3) Nombor pengundi itu hendaklah dituliskan pada kaunterfoil kertas undi itu dan kertas itu hendaklah ditindikkan atau dicap dengan tanda rasmi atau ditandatangani secara ringkas oleh ketua tempat mengundi di sebelah tepi kertas undi itu dan kertas undi itu hendaklah kemudiannya dikeluarkan kepada pengundi itu oleh ketua tempat mengundi atau seorang yang bertindak di bawah kuasanya.

(4) Apabila menerima kertas undi itu, pengundi itu hendaklah dendan serta merta pergi ke suatu tempat dalam tempat mengundi itu yang ditunjukkan oleh ketua tempat mengundi atau oleh mana-mana orang yang bertugas di bawah kuasanya dan di situ dia hendaklah secara rahsia menandakan kertas undi itu mengikut arahan yang diberikan bagi panduan pengundi yang disebut dalam peraturan 13 (2).

(5) Kemudiannya pengundi itu hendaklah melipat kertas undi itu untuk merahsiakan tandanya dan hendaklah memasukkannya ke dalam peti undi dan tanpa kelengahan tidak wajar hendaklah kemudiannya dengan serta-merta meninggalkan kawasan tempat mengundi itu.

(6) Ketua tempat mengundi atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya boleh bertanya mana-mana pengundi sama ada pengundi itu faham cara mengundi dan jika difikirkannya patut, atas permintaan mana-mana pengundi, boleh menerangkan kepada pengundi itu dalam pendengaran mana-mana ejen tempat mengundi yang hadir di tempat mengundi itu; pada berbuat demikian dan dia hendaklah berhati-hati supaya tidak membuat apa-apa boleh ditafsirkan sebagai nasihat atau arahan untuk mengundi mana-mana calon tertentu.

(7) Atas permintaan seseorang pengundi yang tidak berdaya oleh sebab buta atau kecacatan fizikal lain untuk mengundi mengikut cara yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan ini, iaitu seorang saudara yang dinamakan oleh pengundi, iaitu seorang saudara yang adalah pemilih yang mana namanya ada dalam daftar pemilih yang ada masa itu berkuat kuasa bagi mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia, atau, jika tidak ada saudara yang dinamakan sedemikian, ketua tempat mengundi, hendaklah menandakan kertas undi pengundi itu mengikut sebagaimana disuruh oleh pengundi itu dan hendaklah menyebabkan kertas undi itu dimasukkan ke dalam peti undi. Saudara yang dinamakan sedemikian hendaklah membuat akuan mengenai identitinya dalam Borang 10 Jadual Pertama dan tiap-tiap akuan itu hendaklah dikecualikan daripada cukai setem.

Bagi maksud perenggan ini, "saudara" ertinya bapa, ibu, abang atau adik lelaki, kakak atau adik perempuan, isteri, suami, anak lelaki atau anak perempuan pengundi itu.

(8) Ketua tempat mengundi boleh, pada bila-bila masa semasa pengundian sedang berjalan, mengambil apa-apa langkah yang perlu untuk memastikan bahawa tiada pengundi berlengah-lengah secara tidak wajar di mana-mana tempat yang dikhaskan bagi menandakan kertas undi.

20 (1) Ketua tempat mengundi di mana-mana tempat mengundi boleh, menurut budi bicaranya, menghendaki mana-mana pengundi, sebelum dia diberi suatu kertas undi, untuk memberi apa-apa keterangan mengenai indentitinya sebagaimana yang difikirkan perlu oleh ketua tempat mengundi dan membuat serta menandatangani akuan yang dinyatakan dalam Borang 11 dalam Jadual Pertama dan tiap-tiap akaun itu adalah dikecualikan daripada cukai setem.

(2) Jika mana-mana orang tidak memberi keteranagn itu atau enggan membuat akuan itu, ketua tempat mengundi hendaklah enggan memberi kertas undi kepadanya.

21. Seseorang pengundi yang telah melakukan sesuatu dengan cara tidak sengaja ke atas kertas undinya hingga tidak boleh digunakan sebagai kertas undi boleh memulangkannya kepada ketua tempat mengundi dan jika ketua tempat mengundi berpuas hati bahawa keadaan kertas undi itu disebabkan oleh perbuatan tidak sengaja, dia hendaklah mengeluarkan suatu kertas undi lain bagi menggantikan kertas undi yang dipulangkan itu, dan kertas undi yang dipulangkan itu hendaklah dalam Peraturan-Peraturan ini disebut "kertas undi rosak" dan kertas undi rosak itu hendaklah segera dibatalkan oleh ketua tempat mengundi.

22. (Dipotong oleh P.U.(A)67/2004).

23. Tiada sesuatu kertas undi boleh dikeluarkan kepada seseorang pengundi selepas waktu yang ditetapkan bagi penutupan pengundian tetapi jika pada waktu itu ada mana-mana pengundi ada di dalam tempat mengundi itu yang kertas undi telah dikeluarkan kepdanya, pengundi itu hendaklah dibenarkan mencatatkan undinya.

23A. (1) Tertakluk kepada peraturan ini dan peraturan 25B (4), undi yang dibuang oleh pemilih di mana-mana tempat mengundi hendaklah dikira di tempat mengundi di mana undi itu dibuang, mengikut tatacara yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan ini.

(2) Suruhanjaya Pilihan Raya boleh, jika difikirkannya perlu atau suai manfaat dalam hal keadaan mana-mana kes, melalui notis mengarahkan supaya undi yang dibuang oleh pemilih di mana-mana atau kesemua tempat mengundi dalam sesuatu bahagian pilihan raya dikira oleh ketua tempat mengundi bagi tempat mengundi itu, di bawah pengawasan pegawai pengurus, di mana-mana tempat atau tempat-tempat mengira yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

(3) Notis di bawah subperaturan (2) hendaklah sebagaimana yang dinyatakan dalam Borang 12A dalam Jadual Pertama, dan Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah-

(a) sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pengundian dimulakan-

(i) mengemukakan suatu salinan notis itu kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri dan pegawai pengurus yang bertanggungjawab bagi tempat-tempat mengundi yang dimaksudkan oleh notis itu; dan

(ii) menyebabkan suatu salinan notis itu diberikan kepada setiap calon atau ejen pilihan raya; dan

(b) pada bila-bila masa sebelum pengundian dimulakan, menyebabkan suatu salinan notis itu ditampalkan di beberapa tempat yang mudah kelihatan di luar tempat mengundi atau tempat-tempat mengundi yang dimaksudkan oleh notis itu.

24. (1) Secepat yang dalapa dilaksanakan selepas pengundian ditutup, ketua tempat mengundi hendaklah, di hadapan calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundinya yang hadir-

(a) mendapatkan peti undi di tempat mengundi itu dan melekatkannya dengan perekat keselamatan bagi mencegah apa-apa kertas undi dimasukkan selepas itu ke dalam peti undi dan perekat keselamatan itu hendaklah kemudiannya ditandatangani oleh ketua tempat mengundi itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundinya yang hadir dan yang berhasrat untuk menandatangani perekat keselamatan itu;

(b) menentukan bilangan kertas undi yang dikeluarkan kepada pengundi di tempat mengundi itu, dan bilangan kertas undi yang tidak digunakan dan kertas undi rosak;

(c) menyediakan penyata kertas undi dalam Borang 13 Jadual Pertama, yang hendaklah diperakui oleh ketua tempat mengundi dan ditandatangani oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundi mereka yang hadir yang berkehendak menandatanganinya; dan

(d) memasukkan-

(i) kertas-kertas undi yang tidak digunakan dan kertas-kertas undi rosak;

(ii) salinan-salinan daftar pemilih yang telah ditanda;

(ii) kaunterfoil kertas undi; dan

(iv) senarai undi-undi ganti,

kedalam satu bungkusan yang hendaklah kemudiannya dilekatkan dengan perekat keselamatan dan perekat keselamatn itu hendaklah ditandatangani oleh ketua tempat mengundi itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundinya yang hadir dan yang berhasrat untuk menandatanangi perekat keselamatan itu.

(2) Secepat yang dapat dilaksanakan setelah tamat urusan di bawah subperaturan (1), ketua tempat mengundi hendaklah membuat persiapan untuk mengira undi yang dibuang di tempat mengundi yang diketuainya di hadapan setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengira mereka yang hadir, dan hendaklah memberitahu calon, ejen pilihan raya atau ejen mengira mereka masa yang dia akan mula mengira undi itu:

Dengan syarat bahawa jika Suruhanjaya Pilihan Raya mengarahkan, di bawah peraturan 23A (2), supaya undi yang dibuang itu dikira di suatu tempat mengira tertentu, maka ketua tempat mengundi itu hendaklah membawa peti undi, bungkusan yang disebut dalam perenggan (1)(d) dan penyata dalam Borang 13 yang disebut dalam perenggan (1)(c) ke tempat mengira tersebut.

(3) Jika orang yang sama dilantik menjadi ketua bagi lebih daripada satu tempat mengundi dalam daerah mengundi yang sama dan Suruhanjaya Pilihan Raya mengarahkan supaya satu peti undi sahaja digunakan bagi semua tempat mengundi yang diketuainya, maka ketua tempat mengundi itu-

(a) boleh, di hadapan calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundi mereka yang hadir-

(i) walau apa pun peruntukan perenggan (1) (a), membuka semula peti undi yang dilekatkan dengan perekat keselamatan itu mengikut apa-apa cara supaya kertas undi yang dikeluarkan di mana-mana tempat mengundi yang berikutnya yang diketuainya boleh dimasukkan ke dalamnya tetapi tiada apa-apa jua boleh dikeluarkan daripadanya;

(ii) membuka semula bungkusan yang dilekatkan dengan perekat keselamatan menurut perenggan (1) (d) untuk digunakan di setiap tempat mengundi yang berikutnya yang diketuainya;

(b) hendaklah hanya menjalankan prosiding yang terseut dalam perenggan (1) (b) dan (c) dan mula untuk mengira undi pada hari terakhir pengundian bagi bahagian pilihan raya itu dan setelah selesainya pengundian di tempat mengundi terakhir yang diketuainya.

24A. (1) Jika di mana-mana pilihan raya-

(a) mana-mana peti undi yang digunakan di tempat mengundi-

(i) secara tidak sah di sisi undang-undang dipindahkan daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang, atau hilang; atau

(ii) dimusnahkan, dirosakkan atau diganggu, pada apa-apa takat, sehingga keputusan pengundian di tempat mengundi itu tidak dapat ditentukan; atau

(b) apa-apa kesalahan, ketidakteraturan atau kecacatan dalam tatacara yang berkemungkinan akan menjejaskan kesahan pengundian yang berlaku di sesuatu tempat mengundi, pegawai pengurus hendaklah, setelah berpuas hati, dengan serta-merta melaporkan perkara itu kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya.

(2) Setelah suatu laporan di bawah, subperaturan (1) diterima, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, selepas mengambil kira semua hal keadaan material, sama ada-

(a) mengisytiharkan pengundian di tempat mengundi itu sebagai tak sah, menentukan hari, dan menetapkan waktu, untuk mengadakan suatu pengundian semula di tempat mengundi itu dan -

(i) menyebabkan suatu notis perisytiharan dan hari serta waktu yang ditentu dan ditetapkan sedemikian itu disiarkan dalam Warta; dan

(ii) menghantar suatu salinan notis itu kepada pegawai pengurus yang akan menyebabkan notis itu disiarkan selanjutnya dalam bahagian pilihan raya dalam mana-mana tempat itu dan mengikut apa-apa cara sebagaimana dia fikirkan perlu; atau

(b) jika ia berpuas hati bahawa keputusan pengundian semula di tempat mengundi itu tidak akan, dalam apa-apa cara, menjejaskan keputusan pilihan raya, mengeluarkan apa-apa arahan kepada pegawai pengurus sebagaimana difikirkan patut oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk penjalanan dan penyelesaian pilihan raya itu yang selanjutnya.

(3) Peruntukan Peraturan-Peraturan ini hendaklah, setakat mana yang praktik, terpakai bagi tiap-tiap pengundian semula mengikut cara yang sama sebagaimana ia terpakai bagi sesuatu pengundian asal.

25. (1) Tiada ejen mengira-

(a) yang nama dan alamatnya tidak diberitahu kepada ketua tempat mengundi sebagaimana yang dikehendaki oleh seksyen 14 (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954; atau

(b) yang nama dan alamatnya telah diberitahu sedemikian tetapi tidak dibenarkan oleh ketua tempat mengundi untuk hadir, boleh hadir pada masa pengiraan undi.

(2) Tiada seorang pun selain daripada-

(a) anggota dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya;

(b) pegawai pengurus, ketua tempat mengundi dan mana-mana pegawai dan kakitangan lain yang dilantik di bawah peraturan 12A;

(c) calon dan ejen pilihan raya dan ejen mengira bagi setiap calon; dan

(d) orang yang dibenarkan secara bertulis oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, boleh hadir pada masa pengiraan undi.

(3) Sebelum ketua tempat mengundi mula mengira undi, dia atau orang yang diberikuasa olehnya hendaklah, di hadapan calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengira mereka yang hadir-

(a) membuka peti undi; dan

(b) membandingkan bilangan kertas-kertas undi di dalam peti undi itu dengan penyata dalam Borang 13 yang tersebut dalam peraturan 24 (1) (c) bagi memastikan bahawa semua kertas undi diambil kira.

(4) Jika, dalam membandingkan bilangan kertas undi dengan penyata dalam Borang 13 yang disebut terdahulu, didapati bahawa bilangan kertas undi di dalam peti undi itu melebihi bilangan yang dinyatakan sebagai berada di dalamnya mengikut panyata itu, maka tatacara yang diperihalkan dalam Jadual Ketiga hendaklah dipakai.

(5) Ketua tempat mengundi semasa menjalankan tatacara yang diperihalkan dalam Jadual Ketiga hendaklah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang wajar bagi mencegah mana-mana orang yang tidak mengangkat sumpah kerahsiaan sebagaimana ditetapkan oleh seksyen 5 (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, daripada melihat nombor-nombor yang tercetak atas kertas undi itu.

(6) Ketua tempat mengundi atau orang yang diberi kuasa olehnya hendaklah kemudiannya mula mengira kertas undi itu mengikut undi yang didapati bagi setiap seorang calon dan hendaklah mencatat perkataan "ditolak" atas mana-mana kertas undi yang ditolaknya sebagai tak sah.

(7) Ketua tempat mengundi hendaklah menolak sebagai tidak sah -kertas undi yang berikut sahaja, iaitu, mana-mana kertas undi-

(a) yang tidak cap atau ditindik dengan tanda rasmi, atau tidak ditandatangani secara ringkas oleh ketua tempat mengundi;

(b) yang padanya undi diberi kepada lebih daripada seorang calon;

(c) yang padanya ada sesuatu ditulis atau ditanda yang membolehkan pengundi itu dikenali pasti;

(d) yang tidak bertanda atau yang ditanda selain di tempat atau mengikut cara yang diperuntukkan; atau

(e) yang tidak menunjukkan dengan jelas tujuan pengundi itu:

Dengan syarat bahawa jika seseorang ketua tempat mengundi berpuas hati bahawa sesuatu kertas undi telah dikeluarkan kepada pengundi dalam suatu keadaan yang akan menjadikannya tak sah di bawah peraturan ini oleh sebab sesuatu perbuatan atau peninggalan olehnya atau oleh seseorang yang bertugas di bawah kuasanya, dan jika tidak kerana itu kertas undi itu adalah sah, ketua tempat mengundi itu tidak boleh menolak kertas undi itu.

(8) Walau apa pun peruntukan perenggan (7) (d), jika ketua tempat mengundi berpuas hati bahawa apa-apa tanda yang dibuat pada sesuatu kertas undi adalah menunjukkan dengan jelas tujuan pengundi itu dan calon yang diundinya, ketua tmpat mengundi tidak boleh menolak kertas undi itu semata-mata atas alasan bahawa kertas undi itu telah tidak ditanda dalam segala aspek mengikut arahan yang diberi bagi panduan pengundi di bawah Peraturan-Peraturan ini.

(9) Sebelum menolak sesuatu kertas undi ketua tempat mengundi hendaklah menunjukkan kepada setiap seorang calon, ejen pilihan raya atau ejen mengiranya, jika hadir, dan menimbangkan pendapat mereka mengenainya.

(10) Keputusan ketua tempat mengundi, sama ada atau tidak sesuatu kertas undi hendak ditolak, adalah muktamad.

(11) (Dipotong oleh P.U.(A)67/2004).

(12) Tertakluk kepada perenggan (13), ketua tempat mengundi hendaklah, dengan segera setelah selesai mengira undi-

(a) mengumumkan kepada tiai-tiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya yang hadir bilangan undi yang diberikan bagi setiap calon;

(b) menyediakan bilangan salinan yang mencukupi penyata pengundian dalam Borang 14 Jadual Pertama, yang hendaklah diperakui oleh ketua tempat mengundi itu dan ditandatangani oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya yang hadir dan menandatangani penyata pengundian itu, seperti yang berikut:

(i) satu salinan, bagi pegawai pengurus, hendaklah dimasukkan ke dalam suatu sampul khas yang dibekalkan bagi maksud itu, dilekatkan dengan perekat keselamatan yang hendaklah ditandatangani oleh ketua mengundi itu; dan

(ii) satu salinan hendaklah diserahkan kepada setiap seorang calon itu atau ejen pilihanraya atau ejen mengira mereka yang hadir;

(c) memberitahu pegawai pengurus, dengan apa-apa cara yang ada padanya, keputusan pengiraan undi di tempat mengundinya.

(13) Jika-

(a) bilangan undi bagi semua calon beserta undi-undi yang ditolak berbeza daripada bilangan kertas undi yang didapati dalam peti undi sebanyak satu peratus atau lebih; atau

(b) perbezaan antara bilangan undi yang diberi kepada calon yang terbanyak dengan bilangan undi yang dibuang bagi calon yang mendapat undi kedua terbanyak ialah dua peratus atau kurang daripada jumlah bilangan undi yang dibuang, maka atas permintaan mana-mana satu calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya suatu pengiraan semula hendaklah dilakukan sekali sahaja sebelum ketua tempat mengundi menjalankan urusan yang dinyatakan dalam subperaturan (12):

Dengan syarat bahawa ketua tempat mengundi boleh menurut budi bicaranya memerintahkan suatu pengiraan semula bagi memuaskan hatinya tentang betulnya keputusan pengundian itu.

25A. (1) Setelah selesai mengira undi, ketua tempat mengundi hendaklah, di hadapan calon, ejen pilihan raya atau ejen mengira mereka yang hadir-

(a) memasukkan kertas undi yang dikira dan kertas undi ditolak ke dalam satu bungkusan yang hendaklah dilekatkan dengan perekat keselamatan dan perekat tempat mengundi itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya yang berhasrat untuk menandatangani perekat keselamatan itu; dan

(b) memasukkan penyata dalam Borang 13 yang tersebut dalam peraturan 24 (1) (c) ke dalam suatu sampul khas dan melekatkan perekat keselamatan pada sampul itu.

(2) Bungkusan yang disebut dalam perenggan (1) (a) dan 24 (1) (d)

(a) hendaklah dimasukkan ke dalam peti undi yang hendaklah dilekatkan dengan perekat keselamatan supaya tiada apa-apa boleh dimasukkan ke dalam atau dikeluarkan daripada peti undi itu tanpa memecahkan perekat keselamatan itu; dan

(b) perekat keselamatan itu hendaklah kemudiannya ditandatangani oleh ketua tempat mengundi itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya yang hadir dan yang berhasrat untuk menandatangni perekat keselamatan itu.

(3) Ketua tempat mengundi hendaklah menghantarkan atau menghantarserahkan-

(a) peti undi;

(b) sampul khas yang mengandungi penyata dalam Borang 13 yang tersebut dalam perenggan (1) (b); dan

(c) sampul khas yang mengandungi penyata dalam Borang 14 yang tersebut dalam perenngan 25 (12) (b), dalam jagaan selamat kepada pegawai pengurus.

25B. (1) Jika pada bila-bila masa selepas pengundian ditutup, kerana apa-apa sebab jua pun, pengiraan undi di tempat mengundi tidak dapat dimulakan atau telah dimulakan tetapi tidak dapat diselesaikan, ketua tempat mengundi hendaklah menunda atau menangguhkan pengiraan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan dengan serta-merta memberitahu pegawai pengurus bahagian pilihan raya itu dan setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya tentang fakta itu.

(2) Jika peti undi masih belum dibuka, ketua tempat mengundi hendaklah dengan serta-merta menghantarkan atau menghantarserahkan peti undi itu berserta dengan penyata dalam Borang 13 yang tersebut dalam perenggan 24 (1) (c) dan bungkusan bermeterai yang tersebut dalam perenggan 24 (1) (d) dalam jagaan selamat kepada pegawai pengurus.

(3) Jika peti undi sudah dibuka, ketua tempat mengundi hendaklah, di hadapan calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengira mereka yang hadir-

(a) memasukkan semula semua kertas undi ke dalam peti undi, dilekatkan dengan perekat keselamatan yang hendaklah ditandatangani oleh ketua tempat mengundi itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya tau ejen mengiranya yang berhasrat untuk menandatangani perekat keselamatan itu; dan

(b) dengan serta-merta menghantarkan atau menghantarserahkan peti undi itu berserta dengan penyata dalam Borang 13 yang tersebut dalam perenggan 24 (1) (c) dan bungkusan bermeterai yang tersebut dalam perenggan 24 (1) (d) dalam jagaan selamat kepada pegawai pengurus.

(4) Jika pengiraan undi telah ditunda atau ditangguhkan di bawah peraturan ini, pegawai pengurus hendaklah, selepas berunding dengan Pegawai Pilihan Raya Negeri, menetapkan suatu masa dan tempat baru di mana ketua tempat mengundi akan mengira undi itu, dan hendaklah memberitahu calon atau ejen pilihan raya mereka akan masa dan tempat itu.

25C. (1) Pegawai pengurus hendaklah, secepat yang dapat dilaksanakan setelah selesainya urusan di bawah peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos ), membuat persiapan untuk mengira undi -pengundi pos di hadapan calon, ejen pilihan raya atau ejen mengira mereka yang hadir, dan hendaklah memberitahu calon, ejen pilihan raya atau ejen mengira mereka mengenai masa dan tempat di mana dia akan mula mengira undi itu.

(2) Peruntukan peraturan 25, selain daripada perenggan (3) (b), (4), (5) dan (11), hendaklah terpakai berhubungan dengan pengiraan undi pengundi pos seolah-olah-

(a) sebutan mengenai ketua tempat mengundi adalah sebutan mengenai pegawai pengurus;

(b) sebutan mengenai pegawai dan kakitangan yang dilantik di bawah peraturan 12A adalah sebutan mengenai pegawai dan kakitangan yang dilantik di bawah peraturan 25D;

(c) sebutan mengenai kertas undi adalah sebutan mengenai kertas undi pos; dan

(d) sebutan mengenai Borang 14 ialah sebutan mengenai Borang 15.

(3) Setelah sahaja selesai mengira undi pengundi pos, pegawai pengurus hendaklah memasukkan kertas undi yang dikira dan kertas undi yang ditolak ke dalam bungkusan yang berasingan, dilekatkan dengan perekat keselamatan yang hendaklah ditandatangani oleh pegawai pengurus itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya yang hadir dan yang berhasrat untuk menandatangani perekat keselamatan itu.

(4) Bungkusan yang mengandungi kertas undi yang dikira, kertas undi yang ditolak dan bungkusan yang disebut dalam peraturan 16 dan 17 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) hendaklah dimasukkan ke dalam peti undi, dilekatkan dengan perekat keselamatan yang hendaklah ditandatanagi oleh pegawai pengurus itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya yang hadir dan yang berhasrat untuk menandatangani perekat keselamatan itu.

25D. (1) Tertakluk kepada arahan am dan khas Suruhanjaya Pilihan Raya, setiap pegawai pengurus hendaklah melantik, dan boleh membatalkan perlantikan, mana-mana pegawai dan kakitangan untuk membantunya dalam pengiraan undi pengundi pos dan penjumlahan rasmi undi.

(2) Setelah pegawai pengurus selesai mengira undi pengundi pos bagi bahagian pilihan rayanya, pegawai pengurus hendaklah membuat persiapan bagi penjumlahan rasmi undi, dan hendaklah memberitahu calon atau ejen pilihan raya mereka mengenai masa dan tempat di mana dia akan mula menjumlahkan bilangan undi yang telah diberi kepada setiap calon.

(3) Tiada seorang pun selain daripada-

(a) anggota dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya;

(b) pegawai pengurus dan mana-mana pegawai dan kakitangan lain yang dilantik di bawah perenggan (1); dan

(c) calon dan ejen pilihan raya mereka, boleh hadir pada masa penjumlahan rasmi undi, melainkan jika dibenarkan oleh pegawai pengurus untuk hadir.

(4) Di tempat yang ditetapkan bagi penjumlahan rasmi undi, pegawai pengurus, di hadapan calon dan ejen pilihan raya mereka yang hadir, hendaklah-

(a) membuka sampul khas yang mengandungi penyata rasmi pengundian pos; dan

(b) apabila menerima sampul khas yang mengandungi penyata rasmi pengundian yang dihantar atau dihantarserahkan kepadanya oleh setiap seorang ketua tempat mengundi, membuka sampul tersebut dan memeriksa penyata pengundian yang terkandung di dalamnya, dan tertakluk kepada perenggan (4A), mengumumkan jumlah undi yang direkodkan bagi setiap seorang calon dalam penyata pengundian yang terkandung di dalam sampul tersebut.

(4A) Jika, di atas pemeriksaan penyata pengundian di bawah perenggan (4) (b), ternyata pada pegawai pengurus dapati bahawa penyata itu tidak lengkap atau terdapat atau kesilapan di dalam penyata itu, pegawai pengurus, di hadapan orang yang disebut dalam perenggan (4) yang hadir, hendaklah-

(a) membuka sampul khas yang mengandungi penyata kertas undi yang telah dihantarserah atau dihantarkan kepadanya dan membandingkan penyata rasmi pengundian dengan penyata kertas undi yang terkandung dalam sampul itu; dan

(b) jika perlu meminda penyata rasmi pengundian dan tiap-tiap pindaan itu hendaklah ditandatangan ringkas oleh pegawai pengurus dan oleh calon atau ejen pilihan raya mereka yang hadir dan yang berhasrat untuk menandatangan secara ringkas pindaan itu.

(5) Setelah pegawai pengurus menerima penyata rasmi pengundian daripada ketua tempat mengundi bagi semua tempat mengundi dalam bahagian pilihan rayanya, pegawai pengurus itu hendaklah, di hadapan orang yang tersebut dalam perenggan (4) yang hadir, menentukan jumlah undi yang diberikan kepada setiap calon dengan menjumlahkan secara rasmi bilangan undi yang direkodkan bagi setiap calon dalam penyata tersebut dan dalam penyata rasmi pengundian pos.

(5A) Seseorang calon atau ejen pilihan raya boleh, selepas selesai penjumlahan rasmi undi, menghendaki pegawai pengurus menjumlahkan semula bilangan undi yang direkodkan dalam penyata rasmi pengundian tetapi pegawai pengurus boleh menolak berbuat demikian jika pada pendapatnya permintaan itu adalah tidak munasabah.

(6) Jika, selepas penjumlahan rasmi undi, terdapat bilangan undi yang sama banyaknya antara mana-mana calon dan tambahan satu undi akan menghakkan mana-mana calon diisytiharkan sebagai dipilih, maka penentuan calon yang kepadanya satu undi tambahan itu disifatkan sebagai telah diberi hendaklah dibuat dengan cara cabutan undi di hadapan pegawai pengurus, calon dan ejen pilihan raya mereka yang hadir mengikut cara yang ditentukan oleh pegawai pengurus.

(7) Dengan serta-merta selepas penjumlahan rasmi undi, pegawai pengurus hendaklah mengisytiharkan calon yang mendapat bilangan undi yang terbanyak sebagai telah dipilih.

(8) Maka hendaklah menjadi kewajipan pegawai pengurus untuk menjaga ketenteraman di tempat yang ditetapkan bagi penjumlahan rasmi undi.

(9) Jika seseorang melakukan salah laku di tempat yang ditetapkan bagi penjumlahan rasmi undi atau tidak menurut perintah yang sah daripada pegawai pengurus, dia boleh dengan serta-merta, melalui perintah pegawai pengurus, dikeluarkan dari tempat itu oleh pegawai polis yang bertugas di luar atau berdekatan dengan tempat itu atau oleh mana-mana orang lain yang diberi kuasa secara bertulis oleh pegawai pengurus untuk mengeluarkannya, dan orang yang dikeluarkan sedemikian tidak boleh, tanpa kebenaran pegawai pengurus itu, masuk semula ke tempat yang ditetapkan bagi penjumlahan rasmi undi itu sehingga selesai penjumlahan undi.

(10) Kegagalan untuk menurut perintah yang sah daripada pegawai pengurus hendaklah menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit.

25E. (1) Setelah selesai penjumlahan rasmi itu dan selepas membuat perisytiharan di bawah peraturan 25D (7), pegawai pengurus hendaklah-

(a) membuka semua peti undi yang dilekatkan dengan perekat keselamatan menurut subperaturan 25A(2);

(b) memindahkan semua bungkusan yang dilekatkan dengan perekat keselamatan yang terkandung dalam peti undi selain bungkusan yang mengandungi –

(i) kertas undi yang tidak digunakan dan kertas undi rosak;

(ii) salinan daftar pemilih yang telah ditanda, dan

(iii) kaunterfoil kertas undi, yang disebut dalam peraturan 24 (1) (d), ke dalam peti atau peti-peti khas.

(c) melekatkan perekat keselamatan pada peti atau peti-peti khas itu dan kandungan peti atau peti-peti itu dalam jagaan selamat selama tempoh enam bulan dari tarikh pengundian daln selepas itu hendaklah menyebabkannya dimusnahkan melainkan jika diarahkan selainnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

(2) Pegawai pengurus hendaklah kemudiannya menghantar-

(a) bungkusan yang dilekatkan dengan perekat keselamatan yang mengandungi kertas undi yang tidak digunakan dan kertas undi rosak, salinan daftar pemilih yang telah ditanda dan kaunterfoil kertas undi yang disebut dalam perenggan 24 (1) (d);

(b) penyata pengundian dalam Borang 14 yang tersebut dalam peraturan 25(12) (b); dan

(c) sampul yang mengandungi penyata dalam Borang 13 yang disebut dalam perenggan 25A(1) (b), kepda Pegawai Pilihan Raya Negeri yang hendaklah, tertakluk kepada peraturan 26, menyimpannya dalam jagaan selamat selama tempoh enam bulan dari tarikh pengundian dan selepas itu hendaklah menyebabkannya dimusnahkan melainkan jika diarahkan selainya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

25F. Selepas selesai penjumlahan rasmi dan pembuatan pengisytiharan di bawah subperaturan 25D(7) berkenaan dengan semua pilihan raya yang dipertandingkan dalam ilihan raya umum bagi Dewan Rakyat atau sesuatu DewanUndangan Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya boleh membuat pengisytiharan bahawa sesuatu parti politik yang telah menamakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum itu telah memenangi pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, jika perti politik itu telah memperoleh suatu majoriti melebihi lima puluh peratus daripada jumlah kerusi yang diperuntukkan bagi pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri itu.

26. Hakim Mahkamah Tinggi boleh membuat suatu perintah bahawa mana-mana kertas undi atau dokumen lain berhunbungan dengan pilihan raya yang telah disimpan dalam jagaan selamat sebagaimana dikehendaki oleh peraturan 25E diperiksa, disalin atau dikemukan pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya suai manfaat, tetapi tiada perintah itu boleh dibuat melainkan jika Hakim itu berpuas hati bahawa pemeriksaan, penyalinan atau pengemukaan itu adalah dikehendaki bagi maksud memulakan atau mengekalkan sesuatu pendakwaan atau sesuatu petisyen pilihan raya berkaitan dengan pilihan raya itu dan kecuali sebagaimana yang disebut terdahulu dan sebagaimana dalam Jadual Ketiga, tiada seorang pun boleh dibenarkan memeriksa, menyalin atau mengemukakan mana-mana kertas undi atau dokumen itu setelah ia dipindahkan ke dalam peti atau peti-peti khas menurut peraturan 25E (1).

26A (1) Jika sesuatu petisyen pilihan raya telah dikemukakan kepada Makamah Tinggi di bawah seksyen 34 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954-

(a) pempetisyen;

(b) responden kepada petisyen; atau

(c) seorang peguam yang diberi kuasa secara bertulis oleh pempetisyen atau responden untuk bertindak bagi pempetisyen atau responden, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam prosiding berhubungan dengan petisyen pilihan raya, boleh memohon secara bertulis kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya supaya dibekalkan dengan suatu salinan suatu dokumen atau sebahagian daripada suatu dokumen, atau untuk memeriksa suatu dokumen atau bahagian daripada suatu dokumen, berhubungan dengan pilihan raya bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan dengannya petisyen pilihan raya itu dikemukakan, kecuali suatu kertas undi (sama ada telah digunakan, tidak digunakan atau rosak), atau suatu kounterfoil apa-apa kertas itu, atau suatu salinan daftar pemilih yang ditandakan, atau perkiraan mengenai kertas undi atau suatu senarai undi yang diberi, atau suatu perisytiharan identiti, atau suatu contoh kertas undi, atau suatu kebenaran untuk mengundi di tempat mengundi pilihan, atau suatu rekod pentadbiran mengenai jumlah undi yang diperolehi bagi setiap calon oleh setiap satu kumpulan mengira di suatu tempat mengira atau tempat mengundi, atau suatu rekod undi bagi setiap satu jam, atau mana-mana dokumen yang tersebut dalam peraturan 24 (1) (c) dan (d), peraturan 25A (1), peraturan 25C (4) atau peraturan 25E, tidak kira sama ada atau tidak dokumen itu yang dimasukkan ke dalam bungkusan yang dilekatkan dengan perekat keselamatan.

(2) Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya boleh membenarkan suatu permohonan di bawah perenggan (1), tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang dia boleh nyatakan, jika dia berpuas hati bahawa dokumen yang berkenaan dengannya permohonan itu dibuat berkaitan dengan pilihan raya bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan dengannya petisyen pilihan raya telah dikemukakan dan bahawa dokumen itu tidak termasuk dalam mana-mana pengecualian yang ditetapkan dalam subperaturan (1).

(3) Jika suatu permohonan telah dibenarkan di bawah perenggan (2), pemohon hendaklah dibenarkan supaya memeriksa dokumen atau bahagian daripada dokumen, atau bekalkan dengan salinannya yang diperakui sebagai salinan benar di bawah tandatangan seseorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang diberikuasa untuk berbuat demikian oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya atas pembayaran suatu fi sebanyak dua ringgit satu folio mengandungi seratus perkataan atau bahagian daripadanya.

(4) Peruntukan yang terdahulu peraturan terdahulu peraturan ini tidak boleh menjejaskan peraturan 26.

27. Pegawai pengurus hendaklah dengan serta-merta selepas membuat perisytiharannya di bawah peraturan 25D (7), mengisi dengan sempurna sebelah belakang writ yang dikeluarkan kepadanya di bawah peraturan 3 (1). Pada masa itu juga pegawai pengurus hendaklah menyusun suatu pernyataan mengenai pengundian itu dalam Borang 16 Jadual Pertama dan hendaklah menghantar kedua-dua writ dan pernyataan itu kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya melalui Pegawai Pilihan Raya Negeri. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah menyebabkan nama ahli yang dipilih berserta dengan penyata mengenai pengundian itu disiarkan dalam Warta.