28. (1) Tiada
kesilapan mengenai-
(a) nama mana-mana orang atau tempat; atau
(b) apa-apa butir, atau apa-apa perihal, mengenai, atau
berkenaan dengan, mana-mana orang atau tempat, yang disebut
dalam mana-mana dokumen jua pun yang disedia, dikeluar atau
digunakan di bawah atau bagi maksud Peraturan-Peraturan
ini boleh dalam apa jua cara pun menjejas kesahan dokumen
itu atau perjalanan kuatkuasa Peraturan-Peraturan ini berkenaan
dengan orang atau tempat tersebut jika kandungan dokumen
itu selainnya mencukupi untuk mengenal pasti orang atau
tempat itu.
(2) Dalam Peraturan ini-
"butir-butir" dan "perihal" masing-masing
termasuklah apa-apa yang dinyatakan atau yang dikehendaki
untuk dinyatakan berkenaan dengan mana-mana orang atau tempat
dalam mana-mana dokumen;
"dokumen" termasuklah apa-apa writ, laporan, laporpilihan,
senarai, borang, notis, pemberitahuan, kertas penamaan,
akuan berkanun atau lain-lain akuan, dan apa-apa dokumen
daripada apa-apa perihal atau jenis lain; dan
"kesilapan" termasuklah apa-apa salah nama, salah
eja, salah cetak, salah letak, kesilapan, tidak tepat, peninggalan,
apa-apa kesilapan perkeranian, teknik atau percetakan, dan
apa-apa kesilapan daripada apa-apa perihal atau jenis lain.
(3) Setakat mana peraturan ini terpakai kepada suatu kertas
penamaan, peruntukan-peruntukan peraturan ini hendaklah
ditafsirakan sebagai tambahan kepada, dan tidak mengurangkan,
peruntukan subperaturan 4 (6A).
29. Jika mana-mana notis dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan
ini disiarkan dan, pada pendapat pihak berkuasa yang dikehendaki
menyiarkan notis itu, cara penyiaran yang ditetapkan tidak
memberi penyerantaan yang mencukupi akan notis itu, maka
pihak berkuasa itu boleh, sebagai tambahan kepada meyiarkan
notis itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan
ini, mempamerkan salinan notis itu di tempat yang mudah
dilihat dalam bahagian pilihan raya yang dimaksudkan oleh
notis itu atau mengambil apa-apa langkah lain yang difikirkan
perlu oleh pihak berkuasa itu untuk memberi penyerantaan
yang sewajarnya akan notis itu.
30. (1) Tiada pilihan raya boleh menjadi tidak sah oleh
sebab apa-apa kegagalan untuk mematuhi mana-mana peruntukan
Peraturan-Peraturan ini berhubungan dengan pilihan raya
jika didapati bahawa pilihan raya itu telah dijalankan mengikut
prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam peruntukan itu, dan
kemungkiran itu tidak pula menyentuh keputusan pilihan raya
itu.
(2) Jika dalam Peraturan-Peraturan ini sesuatu perbuatan
atau perkara dikehendaki atau dibenar dilalukan di hadapan
calon atau ejen mereka, ketidakhadiran mana-mana calon atau
ejen pada masa dan di tempat yang ditetapkan bagi maksud
itu tidak boleh, jika perbuatan atau perkara itu selainnya
dilakukan dengan sewajarnya, menjadikan perbuatan atau perkara
itu tidak sah.
31. Jika mana-mana orang membuat akuan palsu di bawah peraturan
19 (7), subperaturan 20 (1) atau peraturan 22 (1) dia adalah
bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang
bagi maksud Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
32. Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan
Raya) 1959 [P.U.(A)152/1978] dan Peraturan-Peraturan Pilihan
Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Sabah dan Sarawak) 1968
[P.U.(A)110/1969] dibatalkan.