Laman Utama
 


versi inggeris






Akta dan Peraturan
Akta dan Peraturan
Pilihan Raya
Parlimen & Dewan Undangan   Negeri
Persempadanan
Pendaftaran Pemilih
Daftar Pemilih & Semakan   Daftar Pemilih

Parti-parti Politik
Proses Pilihan Raya 

Perkhidmatan Atas Talian


Akademi Pilihan Raya

Latar Belakang
Objektif
Fungsi
Kumpulan Sasaran

Kursus Dan Taklimat
Tenaga Pengajar
Tempat Latihan

Pusat Sumber

Pusat Sumber

Jaringan Dalam Negeri

Parlimen
Portal myGovernment

Perhubungan Antarabangsa
Perhubungan Antarabangsa

Jaringan Luar Negeri

Organisasi Penyelidikan,   Penasihat, Pemerhati dan   Terbitan
Laman Berhubung Maklumat   Pilihan Raya
Indeks Negara

Soalan Lazim

Faq

Carian Portal SPR
Web www.spr.gov.my
 
PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA
(PENJALANAN PILIHAN RAYA) 1981
PENAMAAN

Kertas penamaan
 
4. (1) Mana-mana orang yang berkelayakan untuk dipilih menjadi seorang ahli Dewan Rakyat, atau ahli Dewan Undangan bagi sesuatu Negeri, mengikut Perlembagaan Malaysia, atau Perlembagaan sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh dinamakan sebagai seorang calon pilihan raya.

(2) Penamaan mana-mana orang lain adalah tidak sah.

(3) Calon hendaklah dinamakan dengan menggunakan kertas penamaan seperti yang dinyatakan dalam Borang 4 atau 4A, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam Jadual Pertama. Kertas penamaan itu hendaklah dikemukakan dalam tiga salinan.

(4) Setiap kertas penamaan hendaklah diisi dengan lengkap dan betul dalam bahasa kebangsaan dan hendaklah menyatakan-

(a) nama bahagian pilihan raya yang baginya calon itu hendak dipilih;

(b) dalam hal pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri, nama Negeri yang berkenaan;

(c) nama penuh, nama lain, jika ada, nombor kad pengenalan, pekerjaan, jika ada, dan alamat kediaman calon itu, dan alamat surat-menyurat calon itu yang kepadanya dokumen yang berhubungan dengan pilihan raya boleh dihantar;

(ca) nama atau nama-nama calon yang dihasratinya dicetak pada kertas undi, dan bagi maksud ini dia boleh meninggalkan atau menyatakan dengan huruf-huruf ringkas sahaja namanya atau mana-mana daripada namanya atau mana-mana bahagian daripada namanya atau nama-namanya;

(d) nama, nombor kad pengenalan pencadang dan penyokong, yang nama mereka mestilah ada dalam daftar pemilih yang sedang dipakai bagi bahagian pilihan raya yang baginya calon itu hendak dipilih; dan

(e) nama, nombor kad pengenalan dan alamat saksi yang di hadapannya calon itu menurunkan tandatangannya.

(5) Setiap kertas penamaan hendaklah juga mengandungi tandatangan calon dan tandatangan semua orang yang disebutkan dalam perenggan (4) (d) dan (e).

(6) Kegagalan mematuhi subperaturan (3), (4) atau (5) boleh menyebabkan kertas penamaan itu ditolak oleh pegawai pengurus

(6A) Walau apa pun subperaturan (6), suatu kertas penamaan tidak boleh ditolak oleh sebab-

(a) apa-apa kesilapan atau peninggalan dalam kertas penamaan berhubung dengan perihalan, atau apa-apa butir berkenaan dengan -
(i) calon itu, atau

(ii) pencadang atau penyokongnya,

jika butir-butir yang terkandung dalam kertas penamaan adalah mencukupi untuk mengecam calon itu, atau pencadangnya, atau penyokongnya, mengikut mana-mana yang berkenaan;

(b) apa-apa peninggalan dalam menyatakan nama atau nama-nama calon yang hendak dicetak pada kertas undi;

(c) apa-apa kesilapan atau peninggalan berkenaan dengan mana-mana tempat yang dinyatakan sdalam kertas penamaan itu, jika tempat itu selainnya dapat dikenal pasti secukupnya daripada butir-butir yang diberikan dalam kertas penamaan itu;

(d) apa-apa kesilapan atau peninggalan yang boleh dibetulkan dan dibetulkan apabila dibawa kepada perhatian orang yang mengemukakan kertas penamaan itu; atau

(e) apa-apa kesilapan perkeranian atau percetakan dalam kertas penamaan itu jika kesilapan itu bukan daripada apa-apa kepantingan matan atau tidak menjejaskan –
(i) pengenalpastian calon, pencadang atau penyokongnya; atau

(ii) pengenalpastian bahagian pilihan raya yang berkenaan dengannya kertas penamaan itu diserahkan

(6B) Jika dalam sesuatu kertas penamaan terdapat peninggalan dalam menyebut nama atau nama-nama calon yang hendak dicetak pada kertas undi, maka nama yang hendaklah dicetak dalam kertas undi itu ialah nama penuh calon itu seperti yang disebut mengikut perenggan (4)(c).

(7) Tiap-tiap calon hendaklah pada masa penamaannya dan mengikut cara yang diperihalkan dalam subperaturan 6 (2), menyerahkan kepada pegawai pengurus salinan asal akuan berkanun mengenai kelayakannya yang dibuat dan ditandatangani olehnya sebagaimana yang dinyatakan dalam Borang 5 atau 5A, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam Jadual Pertama, dan suatu deposit atau resit deposit seperti dalam subperaturan 5 (1).

(8) Pegawai pengurus atau Pegawai Pilihan Raya Negeri hendaklah, pada bila-bila masa yang munasabah antara tarikh notis pilihan raya yang disebut dalam peraturan 3 dan sebelum pukul sepuluh pagi pada hari penamaan, membekalkan suatu set kertas penamaan dan akuan berkanun kepada mana-mana orang atau parti politik yang memohon untuk mendapatkan kertas-kertas itu, setiap set hendaklah terdiri daripada tiga salinan Borang 4 atau 4A dan satu salinan Borang 5 atau 5A, mengikut kehendak keadaan, apabila dibayar kepada pegawai pengurus atau Pegawai Pilihan Raya Negeri fi sebanyak dua puluh ringgit bagi suatu set kertas itu.

Deposit oleh calon

5. (1) Seseorang calon, atau seseorang lain tapi bagi pihaknya, hendaklah mendepositkan atau menyebabkan didepositkan dengan pegawai pengurus atau Pegawai Pilihan Raya Negeri antara tarikh notis pilihan raya yang disebutkan dalam peraturan 3 dan pukul sepuluh pagi pada hari penamaan, wang sebanyak sepuluh ribu ringgit yang sah diperlakukan dalam hal pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau wang sebanyak lima ribu ringgit yang sah diperlakukan dalam hal pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri.

(2) Apabila menerima wang yang sah diperlakukan itu daripada seseorang calon, pegawai pengurus atau Pegawai Pilihan Raya Negeri hendaklah bertindak mengikut peraturan-peraturan kewangan Kerajaan yang semasa dan wang yang dibayar sedemikian oleh calon itu hendaklah diuruskan mengikut Peraturan-Peraturan ini.

(3) Jika
(a) sseorang calon tidak ditunjukkan sebagai sah dinamakan dalam notis pilihan raya yang dipertandingkan yang disebut dalam subperaturan 11(5);

(b) seseorang calon itu menarik balik pencalonannya di bawah subperaturan 9(1) selepas suatu deposit dibayar dibawah subperaturan (1); atau

(c) seseorang calon mati selepas suatu deposit dibayar di bawah subperaturan (1) dan sebelum pengundian dimulakan, deposit itu hendaklah dikembalikan secepat yang dapat dilaksanakan oleh Pegawai Pilihan Raya Negeri –

(aa) dalam hal yang disebut dalam perenggan (a) dan (b), kepada calon atau orang yang telah membayar deposit itu selepas nama ahli yang dipilih disiarkan menurut peraturan 10 atau notis pilihan raya yang dipertandingkan disiarkan menurut peraturan 11, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau

(bb) dalam hal yang disebut dalam perenggan (c), kepada wakil diri yang

sah di sisi undang-undang calon yang telah mati itu jika deposit itu telah dibayar oleh calon itu atau, jika tidak dibayar oleh calon itu, kepada orang yang telah membayar deposit itu.

(4) (Dipotong oleh P.U.(A) 67/2004)

(5) Kecuali dalam hal yang disebut dalam subperaturan (3),suatu deposit yang dibayar di bawah subperaturan (1) hendaklah dikembalikan oleh Pegawai Pilihan Raya Negeri-
(a) kepada calon atau orang yang telah membayar deposit itu; atau

(b) jika calon itu telah matu, kepada wakil dirinya yang sah di sisi undang-undang

jika deposit dibayar oleh calon itu atau, jika tidak dibayar oleh calon itu, kepada orang yang telah membayar deposit itu, secepat yang dapat dilaksanakan selepas keputusan pilihan raya diisytiharkan.

(6) (Dipotong oleh P.U.(A) 67/2004)

(7) Deposit itu hendaklah terlucut hak jika selepas pengundian dijalankan dan, selepas penjumlahan rasmi undi oleh pegawai pengurus, calon itu didapati tidak mendapat lebih daripada satu perlapan daripada jumlah bilangan undi yang didapati oleh semua calon dalam bahagian pilihan raya itu.

(8) Bagi maksud peraturan ini bilangan undi yang didapati hendaklah disifatkan sebagai bilangan undi yang dikira selain undi yang ditolak.

Urusan pada hari penamaan

6. (1) Pegawai pengurus hendaklah pada hari penamaan hadir di tempat penamaan dari pukul sepuluh pagi sehingga selesai urusan yang disebut dalam peraturan 10 atau subperaturan 11 (2), mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Tiga salinan tiap-tiap kertas penamaan mestilah diserahkan kepada pegawai pengurus-
(a) di tempat penamaan; dan

(b) antara pukul sembilan pagi dan pukul sepuluh pagi pada hari penamaan,

oleh calon dan pencadang dan penyokongnya atau oleh mana-mana dua atau mana-mana seorang daripada mereka.

(2A) Pegawai pengurus tidak boleh menerima kertas penamaan mana-mana calon–

(a) yang tidak diserahkan dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (2)(b);

(b) yang tidak diserahkan kepadanya oleh mana-mana orang yang disebut dalam subperaturan (2);

(c) yang tidak disertakan dengan salinan asal akuan berkanun sebagaimana yang dikehendaki di bawah subperaturan 4(7); atau

(d) yang tidak disertakan dengan deposit atau resit yang dikeluarkan berkenaan dengan deposit yang dibayar itu sebagaimana yang dikehendaki di bawah subperaturan 5(1).

(3) Selepas kertas penamaan diserahkan seperti dalam subperaturan (2), calon itu, pencadang atau penyokongnya boleh dibenarkan untuk membuat pembetulan pada kertas penamaan itu di hadapan pegawai pengurus sebelum pukul sepuluh pagi.

(4) Pegawai pengurus hendaklah dengan serta-merta selepas pukul sepuluh pagi menyebabkan suatu salinan tiap-tiap kertas penamaan yang diserahkan sedemikian ditampalkan di suatu tempat yang mudah dilihat di luar tempat penamaan itu.

(5) Pegawai pengurus hendaklah membenarkan calon dan pencadang serta penyokong mereka dan seorang lain, jika ada, yang dilantik oleh setiap calon secara bertulis hadir pada hari dan di tempat penamaan antara pukul sepuluh pagi dan pukul sebelas pagi dan di situ dan pada masa itu juga memeriksa kertas penamaan calon yang telah diterima bagi bahagian pilihan raya itu.

Penandaan sempadan dan penjagaan ketenteramaan di tempat penamaan

6A. (1) Maka hendaklah menjadi kewajipan pegawai pengurus, tertakluk kepada arahan am Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk menandakan sempadan mana-mana tempat penamaan yang di bawah jagaannya dan tiada orang pun selain calon dan pencadangnya dan penyokongnya dan satu orang lain, jika ada, yang dilantik oleh setiap calon, boleh dibenarkan berada di tempat penamaan bagi maksud subperaturan 6(2) dan (3).

(2) Pegawai pengurus hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga ketenteraman di tempat penamaan itu.

(3) Jika seseorang melakukan salah laku di sesuatu tempat penamaan atau tidak menurut perintah yang sah daripada pegawai pengurus, dia boleh dengan serta-merta dengan perintah pegawai polis yang bertugas di luar atau berdekatan dengan tempat penamaan itu atau oleh mana-mana orang lain yang diberi kuasa secara bertulis oleh pegawai pengurus itu untuk mengeluarkannya, dan orang yang dikeluarkan sedemikian tidak boleh, tanpa kebenaran pegawai pengurus itu, masuk semula ke tempat penamaan itu sehingga selesai urusan penamaan itu.

(4) Kegagalan untuk menurut perintah yang sah daripada pegawai pengurus hendaklah menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit.

Bantahan terhadap kertas penamaan

7. (1) Bantahan boleh dibuat terhadap sesuatu kertas penamaan oleh mana-mana orang yang namanya ada dalam daftar pemilih bagi bahagian pilihan raya itu dan oleh mana-mana calon bagi bahagian pilihan raya itu atas semua atau mana-mana daripada alasan yang berikut, tetapi tidak atas alasan lain,iaitu-
(a) bahawa butir-butir calon itu tidak cukup untuk mengenal pasti calon itu;

(b) bahawa kertas penamaan itu tidak mematuhi atau telah tidak diserahkan mengikut Peraturan-Peraturan ini:

Dengan syarat bahawa tiada bantahan boleh dibuat di bawah perenggan ini berkenaan dengan apa-apa perkara yang, menurut kuasa subperaturan 4 (6A), tidak boleh menyebabkan suatu kertas penamaan ditolak;

(c) bahawa ternyata daripada kandungan kertas penamaan itu, calon itu tidak boleh dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri;

(d) bahawa calon itu hilang kelayakan untuk menjadi seorang ahli di bawah Perlembagaan Malaysia dalam hal pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau di bawah Perlembagaan Negeri yang berkenaan dalam hal pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri.

(2) Tiada bantahan terhadap kertas penamaan boleh dibenarkan melainkan jika bantahan itu dibuat kepada pegawai pengurus antara pukul sepuluh pagi dan sebelas pagi pada hari penamaan.

(3) Tiap-tiap bantahan hendaklah dibuat secara bertulis, ditandatangani oleh pembantah dan hendaklah menyatakan alasan-alasan bantahan itu. Pegawai pengurus sendiri boleh membuat bantahan atas mana-mana alasan yang dinyatakan dalam subperaturan (1).

(4) Pegawai pengurus hendaklah tanpa kelengahan selepas pukul sebelas pagi pada hari calon yang berkenaan atau pencadang atau penyokongnya yang dinamakan dalam kertas penamaan yang diperuntukkan dalam subperaturan 4 (3) atau pembantah yang disebut dalam subperaturan (1), mengenai keputusannya dan alasan-alasan keputusannya itu. Keputusan dan alasan-alasan keputusan itu hendaklah disimpan dalam rekod.

(5) Keputusan pegawai pengurus adalah muktamad dan konklusif bagi maksud pilihan raya yang mengenainya urusan itu diadakan, dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah:

Dengan syarat bahawa mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan pegawai pengurus boleh mengemukakan suatu petisyen pilihan raya mengenainya atas alasan-alasan yang dinyatakan dalam perenggan 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dan peruntukan Akta tersebut hendaklah berkuat kuasa dengan sewajarnya.

Orang yang berhak hadir pada masa penamaan

8. Tiada sesiapa pun selain pegawai pengurus, anggota atau pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, dan orang yang disebut dalam subperaturan 6(5), berhak hadir pada masa urusan yang dinyatakan dalam peraturan 6 dan 7, kecuali atas permintaan dan bagi maksud membantu pegawai pengurus:

Dengan syarat bahawa seorang lain itu yang tersebut dalam peraturan 6 (5) tidak dibenarkan menghadiri urusan yang tersebut dalam peraturan 6 (2).

Penarikan balik pencalonan

9. (1) Seseorang calon boleh, sebelum pukul sepuluh pagi pada hari penamaan, tetapi tidak selepasnya, menarik balik pencalonannya dengan memberi sendiri notis yang bermaksud demikian dalam Borang 6 atau 6A, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam Jadual Pertama kepada pegawai pengurus. Borang itu hendaklah ditandatangani oleh calon dan disaksikan oleh seorang saksi.

(2) Sekiranya seseorang calon menarik balik pencalonannya,selepas masa yang dinyatakan dalam subperaturan (1), peruntukan subperaturan 11(7), (8), (9) dan (10) hendaklah terpakai.