AKTA PILIHAN RAYA 1958
PERATURAN-PERATURAN
PILIHAN RAYA
(PENDAFTARAN PEMILIH) 2002
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Nama, pemakaian
dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan
Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
(2) Peraturan-peraturan
ini terpakai di seluruh Malaysia.
(3) Peraturan-peraturan ini
mula berkuat kuasa pada 16 Julai 2002.
Tafsiran
2. Dalam peraturan-peraturan
ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-
"Ketua Pendaftar", "Pendaftar", dan "Penolong
Pendaftar" masing-masing ertinya Ketua Pendaftar Pemilih,
Pendaftar Pemilih dan Penolong Pendaftar Pemilih yang dilantik
di bawah seksyen 8 Akta;
"Pegawai Pengadil"
ertinya Pegawai Pengadil yang dilantik di bawah seksyen 8 Akta;
"pengundi tak hadir"
ertinya seseorang warganegara yang telah mencapai umur dua puluh
satu tahun pada tarikh kelayakan dan -
(a) ialah seorang
anggota yang berkhidmat dengan mana-mana angkatan tentera laut
tetap, angkatan tentera biasa tetap atau angkatan tentera udara
tetap Malaysia, Komanwel atau negara lain;
(b) ialah isteri
atau suami kepada seseorang anggota yang berkhidmat dengan mana-mana
angkatan tentera yang disebut dalam perenggan (a), yang memilih
untuk menjadi seorang pengundi tidak hadir;
(c) yang berkhidmat
dalam perkhidmatan awam Kerajaan Malaysia atau Kerajaan mana-mana
Negeri atau berkhidmat dalam perkhidmatan mana-mana pihak berkuasa
tempatan atau pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang
terletak hak padanya oleh undang- undang Persekutuan atau undang-undang
Negeri, dan yang sedang menjalankan tugas di luar sempadan Semenanjung
Malaysia atau Sabah atau Sarawak;
(d) ialah suami atau
isteri kepada seseorang yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam
Kerajaan Malaysia atau Kerajaan mana-mana Negeri atau berkhidmat
dalam perkhidmatan mana-mana pihak berkuasa tempatan atau pihak
berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang terletak hak padanya
oleh undang-undang Persekutuan atau undang-undang Negeri, yang
tinggal bersama suami atau isterinya itu di luar sempadan Semenanjung
Malaysia atau Sabah atau Sarawak pada tarikh permohonannya untuk
didaftarkan sebagai seorang pemilih Parlimen atau pemilih Negeri;
(e) yang sedang belajar
sepenuh masa di mana-mana universitu, maktab latihan atau mana-mana
institusi pendidikan tinggi di luar sempadan Semenanjung
Malaysia atau Sabah atau Sarawak; atau
(f) ialah isteri
atau suami kepada seseorang yang sedang belajar sepenuh masa di
mana-mana universiti, maktab latihan atau mana-mana institusi
pendidikan tinggi di luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah
atau Sarawak, yang tinggal bersama suami atau isterinya itu pada
tarikh permohonan untuk didaftarkan sebagai seorang pemilih Parlimen
atau pemilih Negeri.