Laman Utama
 


versi inggeris






Akta dan Peraturan
Akta dan Peraturan
Pilihan Raya
Parlimen & Dewan Undangan   Negeri
Persempadanan
Pendaftaran Pemilih
Daftar Pemilih & Semakan   Daftar Pemilih

Parti-parti Politik
Proses Pilihan Raya 

Perkhidmatan Atas Talian


Akademi Pilihan Raya

Latar Belakang
Objektif
Fungsi
Kumpulan Sasaran

Kursus Dan Taklimat
Tenaga Pengajar
Tempat Latihan

Pusat Sumber

Pusat Sumber

Jaringan Dalam Negeri

Parlimen
Portal myGovernment

Perhubungan Antarabangsa
Perhubungan Antarabangsa

Jaringan Luar Negeri

Organisasi Penyelidikan,   Penasihat, Pemerhati dan   Terbitan
Laman Berhubung Maklumat   Pilihan Raya
Indeks Negara

Soalan Lazim

Faq

Carian Portal SPR
Web www.spr.gov.my
 
AKTA PILIHAN RAYA 1958
PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENGUNDIAN POS) 2003

BAHAGIAN III

PENGELUARAN KERTAS UNDI

Orang yang berhak hadir pada masa pengeluaran kertas undi pos dan pembukaan peti undi pengundi pos

5. (1) Tiada orang selain –

(a) pegawai pengurus dan keraninya;

(b) calon;

(c) ejen pilihan raya atau orang yang dilantik oleh seseorang untuk hadir bagi menggantikan ejen pilihan raya; dan

(d) anggota atau pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya
boleh hadir pada masa prosiding pengeluaran kertas undi pos atau pembukaan peti undi pengundi pos.

(2) Jika seseorang calon melantik seseorang di bawah perenggan (1)(c), dia hendaklah memberikan notis mengenai perlantikan itu kepada pegawai pengurus, dengan menyatakan nama dan alamat orang yang dilantik sedemikian pada bila-bila masa semasa pengeluaran kertas undi pos atau pembukaan peti undi pengundi pos tersebut, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(3) Jika seseorang yang disebut dalam subperaturan (2) mati atau menjadi tidak upaya untuk bertindak, calon boleh melantik seorang yang lain bagi menggantikan orang itu dan hendaklah dengan serta-merta memberikan notis bertulis kepada pegawai pengurus tentang nama dan alamat orang yang dilantik sedemikian.

(4) Seseorang calon boleh sendiri membuat apa-apa perbuatan atau benda yang mana-mana ejennya, jika dilantik, akan dibenarkan untuk melakukan, atau membantu ejennya dalam melakukan apa-apa perbuatan atau benda itu.

(5) Jika dalam Peraturan-Peraturan ini apa-apa perbuatan atau benda dikehendaki atau dibenarkan untuk dilakukan di hadapan calon atau ejen mereka, maka ketidakhadiran mana-mana orang atau orang-orang sedemikian pada masa dan di tempat yang ditentukan bagi maksud itu tidak akan menidaksahkan perbuatan atau benda dilakukan itu, jika perbuatan atau benda selainnya dilakukan dengan wajar.

Notis tentang pengeluaran kertas undi pos

6. (1) Pegawai pengurus hendaklah memberi setiap calon atau ejen pilihan rayanya tidak kurang daripada dua puluh empat jam notis bertulis tentang masa dan tempat yang pegawai pengurus akan mengeluarkan kertas undi pos.

(2) Jika apa-apa pengeluaran kemudian kertas undi pos akan dibuat, pegawai pengurus hendaklah memberitahu setiap calon atau ejen pilihan rayanya tentang masa dan tempat yang pegawai pengurus akan membuat pengeluaran kemudian itu seberapa cepat yang dapat dilaksanakan.

Penandaan kertas undi pos

7. (1) Setiap kertas undi pos yang dikeluarkan hendaklah ditindik atau dicapkan sebelah belakangnya dengan cop rasmi atau ditandatangani ringkas oleh pegawai pengurus, dan nama dan nombor pemilih hendaklah diteriakkan dan nombor itu hendaklah ditandakan pada kaunterfoil kertas undi.

(2) Suatu senarai hendaklah dibuat tentang orang yang kepadanya kertas undi pos itu telah dihantar tetapi tanpa menunjukkan kertas undi tertentu yang telah dikeluarkan.

(3) Nombor kertas undi pos hendaklah ditandakan dalam Borang 2 dan pada sampul A.

Dokumen yang hendaklah dihantar kepada pengundi pos

8. Pegawai pengurus hendaklah menghantar kepada tiap-tiap pengundi pos dokumen yang berikut:
(a) kertas undi;

(b) Borang 2;

(c) sampul A; dan

(d) sampul B.
Penghantaran kertas undi pos

9. Segala sampul yang dialamatkan kepada pengundi pos hendaklah dikira dan dengan serta merta dihantar mengikut perkiraan yang diluluskan terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pengadaan peti undi pengundi pos

10. (1) Pegawai pengurus hendaklah, semasa prosiding pengeluaran asal kertas undi pos, mengadakan suatu peti undi atau peti-peti undi bagi penerimaan sampul B apabila dikembalikan oleh pengundi pos.

(2) Tiap-tiap peti undi itu hendaklah ditunjukkan sebagai terbuka dan kosong kepada ejen yang hadir dan hendaklah kemudiannya dikunci oleh pegawai pengurus dan diletakkan dengan perekat keselamatan dan ditandatangani oleh pegawai pengurus dan ejen yang hadir dan berhasrat untuk menandatangani perekat keselamatan itu.

(3) Tiap-tiap peti undi itu hendaklah dinomborkan dan ditandakan "peti undi pengundi pos" dan dengan nama bahagian pilihan raya yang baginya pilihan raya itu diadakan.

(4) Pegawai pengurus hendaklah membuat perkiraan bagi penyimpanan selamat tiap-tiap peti undi itu.

Pengelakan senarai pengundi pos dan kaunterfoil kertas undi

11. (1) Pegawai pengurus hendaklah, dengan seberapa cepat yang dapat dilaksanakan selepas selesai pengeluaran kertas undi pos, dan di hadapan ejen, memasukkan ke dalam bungkusan yang berasingan
(a) senarai pengundi pos; dan

(b) kaunterfoil kertas undi yang telah dikeluarkan, dan hendaklah melekatkan perekat keselamatan pada bungkusan-bungkusan itu.
(2) Bungkusan yang telah dilekatkan dengan perekat keselamatan yang mengandungi senarai pengundi pos boleh dibuka oleh pegawai pengurus bagi maksud pengeluaran yang kemudian, dan setelah selesai pengeluaran yang kemudian itu, senarai itu dan kaunterfoil kertas undi yang telah dikeluarkan itu hendaklah sekali lagi dimasukkan ke dalam bungkusan yang berasingan dan dilekatkan dengan perekat keselamatan mengikut subperaturan(1).

Penggunaan undi pos

12. Seseorang pengundi pos yang berhasrat untuk menggunakan undi posnya hendaklah menggunakannya dengan melengkapkan dan menghantar kertas undi dan Borang 2 mengikut arahan untuk pengundi dalam Borang itu.

Penerimaan sampul ringan

13. Pegawai pengurus hendaklah, dengan serta-merta apabila diterimanya sampul B sebelum pukul lima petang pada hari mengundi, meletakkan sampul B itu tanpa dibuka ke dalam suatu peti undi pengundi pos yang telah dikunci dan dilekatkan dengan perekat keselamatan mengikut peraturan 10.