|
Mengikut Perlembagaan
Persekutuan, tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya ke Dewan
Rakyat dan Dewan Undangan Negeri terletak pada Suruhanjaya Pilihan
Raya. Semasa menunaikan tanggungjawabnya, Suruhanjaya Pilihan Raya,
selaku badan bebas, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam
mengendalikan pilihan raya.
Penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya yang dianggotai oleh seorang
Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 5 orang Ahli terkandung
di dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Anggota-anggota Suruhanjaya
dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas
berunding dengan Majlis Raja-Raja. Pada melantik Ahli-ahli Suruhanjaya,
Yang di-Pertuan Agong “hendaklah memandang kepada mustahaknya
diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan
awam”.
Fungsi utama Suruhanjaya Pilihan Raya adalah seperti yang berikut:-
1)
membuat kajian dan persempadanan semula Bahagian-bahagian Pilihan
Raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada 8 tahun selepas
tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;
2)
menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih;
dan
3)
menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan
Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.
Dasar
Suruhanjaya Pilihan Raya adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan
proses demokrasi di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan
adil. Adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya bagi memastikan rakyat
dapat memilih wakil-wakil mereka melalui undian terus dalam setiap
pilihan raya.
Untuk memenuhi tanggungjawab dan menjalankan fungsi Suruhanjaya
Pilihan Raya serta melaksanakan keputusan-keputusan Suruhanjaya,
sebuah Urus Setia diwujudkan selaras dengan seksyen 3, Akta Pilihan
Raya 1958 (Akta 19). Urus Setia ini diketuai oleh seorang Setiausaha
(pegawai awam) yang menjadi Ketua Pegawai Pentadbir organisasi berkenaan.
Urus Setia SPR ini mempunyai 14 pejabat pilihan raya negeri, dengan
masing-masing diketuai oleh seorang Pengarah Pilihan Raya Negeri,
untuk melaksanakan fungsi SPR. Anggota-anggota pejabat pilihan raya
negeri diambil daripada perkhidmatan awam Malaysia. Carta organisasi
Suruhanjaya adalah seperti di Rajah 1.
|