AKTA
1981
PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA
(PENJALANAN PILIHAN RAYA)
PADA menjalankan
kuasa-kuasa yang diberi oleh seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958
[Akta 19], Suruhanjaya Pilihan Raya, dengan kelulusan Yang di-Pertuan
Agong, membuat peraturan-peraturan yang berikut:
Nama
1. Peraturan-Peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan
Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya)1981.
Tafsiran
2. Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki
makna yang lain-
"ejen mengira" ertinya ejen mengira yang dilantik di
bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5];
"ejen pilihan raya" mempunyai erti yang sama seperti
dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954;
"ejen tempat mengundi" ertinya ejen tempat mengundi
yang dilantik di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Pilihan Raya
1954;
"kertas undi ditolaki" mempunyai erti yang diberi kepadanya
oleh subperaturan 25(7);
"kertas undi pos" dan "pengundi pos" mempunyai
erti yang sama seperti dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya
(Pengundian Pos) 2003 [P.U.(A) 185/2003];
"kertas undi rosak" mempunyai erti yang diberi kepadanya
oleh peraturan 21;
"menandatangani" termasuklah membuat tanda atau menurunkan
cap ibu jari;
"pegawai pengurus" ertinya seseorang pegawai yang dilantik
di bawah seksyen 3 Akta Pilihan Raya 1958 dan termasuklah penolong
pegawai pengurus;
"Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos)"
ertinya Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003*;
"pilihan raya kecil" ertinya pilihan raya yang diadakan
bagi maksud mengisi kekosongan di kalangan ahli Dewan Rakyat atau
ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri yang timbul selain disebabkan
oleh pembubarannya;
"pilihan raya umum" ertinya pilihan raya umum yang pertama
bagi ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli sesuatu Dewan Undangan
Negeri atau pilihan raya umum bagi ahli selepas pembubarannya;
"tempat ditetapkan" ertinya tempat yang ditetapkan di
bawah seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958 untuk penubuhan tempat
mengundi atau tempat-tempat mengundi.
Writ dan notis pilihan raya
3.(1) Apabila dikeluarkan suatu writ mengikut peruntukan seksyen
12 Akta Pilihan Raya 1958, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah
menyiarkan suatu notis mengenainya dalam Warta dan notis itu hendaklah
menyatakan tarikh atau tarikh-tarikh yang calon untuk pilihan
raya hendaklah dinamakan, yang dalam Peraturan-Peraturan ini disebut
"hari penamaan", yang tidak kurang daripada empat hari
selepas tarikh disiarkan notis itu, dan tarikh atau tarikh-tarikh
yang pengundian akan dijalankan sekiranya pilihan raya itu dipertandingkan,
(yang disebut dalam Peraturan-Peraturan ini sebagai "hari
mengundi") yang tidak kurang daripada tujuh hari selepas
hari penamaan.
(2) Tiap-tiap writ hendaklah seperti yang dinyatakan dalam Borang
1 dan tiap-tiap notis untuk mengadakan pilihan raya umum atau
pilihan raya kecil masing-masing dalam Borang 2 atau Borang 2A
dalam Jadual Pertama.
(3) Pegawai pengurus hendaklah memberikan notis selanjutnya mengenai
pengeluaran writ itu dan mengenai masa dan tempat penamaan calon
dalam bahagian pilihan raya itu dengan menyebabkan notis seperti
yang dinyatakan dalam Borang 3 dalam Jadual Pertama dipamerkan
di mana-mana tempat dalam bahagian pilihan raya itu yang difikirkannya
perlu.
(4) Jika pada bila-bila masa selepas Suruhanjaya Pilihan Raya
mengeluarkan writ mengikut subperaturan (1) untuk mengadakan pilihan
raya umum atau pilihan raya kecil, kerana apa-apa sebab jua pun,
tiada penamaan calon bagi pilihan raya boleh dilakukan atau telah
dilakukan pada hari penamaan menurut writ itu, pegawai pengurus
hendaklah dengan serta-merta memberitahu Setiausaha Suruhanjaya
Pilihan Raya mengenai fakta itu dengan mencatatkan sebelah belakang
writ itu dan memulangkannya kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan
Raya. Suruhanjaya Pilihan Raya apabila berpuas hati dengan fakta
itu hendaklah memulangkan writ itu kepada pegawai pengurus dengan
menyatakan suatu hari penamaan yang baru dan suatu hari mengundi
yang baru, dan hendaklah, selepas itu, menyiarkan suatu notis
pilihan raya yang baru di bawah subperaturan (1) menyatakan di
dalamnya bahawa notis pilihan raya yang terdahulu itu telah dibatalkan,
dan peruntukan peraturan ini hendaklah terpakai bagi writ yang
dipulangkan sedemikian itu dan bagi notis baru tersebut mengikut
cara yang sama sebagaimana ia terpakai bagi suatu writ asal dan
suatu notis asal untuk mengadakan suatu pilihan raya di bawah
subperaturan (1).
(5) Jika pada bila-bila masa selepas suatu pilihan raya dimulakan
Suruhanjaya Pilihan Raya dimaklumkan dengan memuaskan hatinya
bahawa pengundian tidak dapat dijalankan atau telah dijalankan
tetapi tidak dapat diselesaikan di mana-mana tempat mengundi pada
tarikh yang ditentukan di bawah subperaturan 11(5) kerana apa-apa
sebab jua pun, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, melalui notis
yang disiarkan dalam kawasan tempatan yang baginya tempat mengundi
itu ditetapkan, menggantung pengundian itu dan menetapkan tarikh
baru bagi pengundian itu dijalankan atau diselesaikan mengikut
apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya.