Laman Utama
 


versi inggeris






Akta dan Peraturan
Akta dan Peraturan
Pilihan Raya
Parlimen & Dewan Undangan   Negeri
Persempadanan
Pendaftaran Pemilih
Daftar Pemilih & Semakan   Daftar Pemilih

Parti-parti Politik
Proses Pilihan Raya

Perkhidmatan Atas Talian


Akademi Pilihan Raya

Latar Belakang
Objektif
Fungsi
Kumpulan Sasaran

Kursus Dan Taklimat
Tenaga Pengajar
Tempat Latihan

Pusat Sumber

Pusat Sumber

Jaringan Dalam Negeri

Parlimen
Portal myGovernment

Perhubungan Antarabangsa
Perhubungan Antarabangsa

Jaringan Luar Negeri

Organisasi Penyelidikan,   Penasihat, Pemerhati dan   Terbitan
Laman Berhubung Maklumat   Pilihan Raya
Indeks Negara

Soalan Lazim

Faq

Carian Portal SPR
Web www.spr.gov.my
 
JANGAN RAGUI DAFTAR SPR
Tiada negara dunia pun punyai daftar bersih seratus peratus

DATUK Abdul Rashid Abdul Rahman kembali ke pangkuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengerusinya pada awal tahun setelah lima tahun 'berehat' daripada tanggungjawab memimpin badan bebas berkenaan.

Beliau yang jarang mengadakan sidang akhbar buat pertama kali secara terbuka melahirkan kekecewaan berhubung halangan-halangan yang terpaksa dilalui oleh SPR dalam memantapkan sistem pilihan raya di negara ini.

Perjalanan pilihan raya sebenarnya membabitkan pelbagai peringkat aktiviti : Persempadanan semula, pendaftaran pemilih, proses pengudian, menghadapi petisyen dan sebagainya - semuanya merupakan sebahagian daripada pengalaman yang telah dilalui oleh SPR dan Abdul Rashid sendiri.

Beliau merupakan bekas Setiausaha SPR selama 17 tahun.

Abdul Rashid, 58, dalam interviunya dengan wartawan Mingguan Malaysia, BAHAROM MAHUSIN dan G. MANIMARAN di rumahnya di Bukit Pantai, Kuala Lumpur bagaimanapun menasihatkan rakyat agar tidak meragui daftar pemilih yang disediakan oleh SPR.

Beliau merumuskan pandangannya itu begini: "Saya tidak boleh menjamin daftar pemilih bersih 100 peratus. Tetapi orang ramai jangan khuatir dengan daftar pemilih yang disediakan oleh SPR.

"Tiada negara di dunia yang mempunyai daftar pemilih yang bersih 100 peratus."

Menurut beliau, kini 60 peratus daripada 21.5 juta penduduk Malaysia layak menjadi pemilih namun hanya 45 peratus ataupun 9.7 juta orang mendaftar sebagai pemilih.

Selebihnya sebanyak 2.9 juta orang masih belum menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara Malaysia.

MINGGUAN : Mengapa isu daftar pemilih terus menjadi bahan pertikaian sesetengah pihak selepas pembatalan keputusan pilihan raya Likas?

RASHID : Bagi SPR, daftar pemilih yang kita ada dianggap sudah boleh digunakan pakai dalam pilihan raya.Tetapi kita tidak pernah menyebut daftar pemilih sebagai daftar bersih.

Daftar pemilih itu telah disahkan dan diguna pakai setelah melalui proses undang-undang iaitu pengesahan dibuat selepas beberapa peringkat peraturan pendaftaran pemilih dilalui.

Kita ada peraturan khas pendaftaran pemilih, dan SPR tidak akan mengesahkan daftar pemilih itu selagi belum berpuas hati bahawa semua proses undang-undang sudah diselesaikan.

Sebelum tahun 2000, Jabatan Pendaftaran Negara(JPN)tiada rekod yang disediakan menggunakan pangkalan data komputer. Dulu JPN hanya ada rekod dalam buku. Bayangkan dengan bilangan 21.5 juta rakyat Malaysia, bertimbun-timbun buku rekod terdapat di JPN sebab mereka juga kekurangan tenaga pekerja.Memang betul kita menghantar kakitangan SPR membuat penyemakan ketepatan daftar pemilih di JPN tetapi bertahun-tahun hasilnya sama.Proses itu sangat perlahan kerana rekodnya bertimbun-timbun.

Tahun lalu, proses itu sudah bagus kerana JPN telah ada pangkalan data. Apabila kita semak maklumat dalam komputer JPN, kalau tiada nama dan nombor kad pengenalan tertentu dalam pangkalan data, itu bermakna orang yang memohon menjadi pemilih itu adalah pendatang tanpa izin.

Kes yang terbabit (Likas)menggunakan daftar pilihan raya tahun 1998 untuk pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sabah 1999.

Ketika itu SPR belum dihubungi dengan pangkalan data berkomputer JPN. Kini kita ada sedikit sebanyak panduan daripada saluran JPN ini.Kita anggap maklumat yang diberikan sebagai tepat dan kita percaya daftar pemilih yang kita gunakan sekarang telah pun mengeluarkan nama-nama pemilih yang kita syak, bukan orang luar syak , daftar yang SPR percaya sebagai betul, bukan daftar yang sesetengah parti kata betul.

Bila ada pihak, sama ada parti kerajaan atau pembangkang mengadu mengenai daftar pemilih, apa yang menjadi masalah kepada SPR dengan aduan mereka?

RASHID : Semua yang kita buat mesti melalui saluran undang-undang.Bantahan ini bermusim.Yang perlu membantah dan yang boleh membantah ialah orang yang telah mendaftar di sesuatu kawasan itu.Tidak boleh parti politik membantah.

Bagaimanapun, kita menerima (pandangan)yang parti kemukakan.Mungkin betul apa yang dikemukakan oleh mereka.

Selepas kita terima, kita buat pemeriksaan dalam pangkalan data.Kalau mereka kata orang ini sudah mati, dan pangkalan data pun kata begitu, kita akan terus ambil tindakan sebab SPR mempunyai kuasa untuk memotong nama-nama daripada daftar pemilih.

Tetapi kita tidak boleh potong nama itu dengan sewenang-wenangnya selagi kita tiada bukti daripada pertubuhan ataupun jabatan yang mengendalikan urusan berkenaan.

Misalnya mengenai kematian.Kita kena periksa dengan JPN nama-nama orang mati setelah dikemukakan oleh polis.Kalau polis lambat bertindak, maka perlahan juga rekod itu sampai.Dulu berlaku masalah ini, sekarang boleh dikatakan sudah laju sedikit proses pemotongan nama-nama orang mati daripada daftar pemilih.

Datuk ada menggunakan istilah daftar pemilih tidak bersih.Apa beza antara daftar pemilih bersih dan daftar pemilih yang sah?

RASHID : Daftar pemilih yang disahkan ialah daftar pemilih yang SPR rasa telah bersih tetapi kita tidak guna istilah bersih.Daftar pemilih yang tidak bersih ialah daftar pemilih yang kita pamerkan untuk dibersihkan. Jika daftar pemilih dikatakan mengandungi daftar pemilih yang telah disahkan dengan data-data yang tidak sepatutnya ada, itu daftar pemilih tidak bersih.

Ia boleh menjadi bahan aduan sehingga kita mengambil tindakan untuk membersihkannya.Proses membersihkan daftar ini daripada senarai nama orang mati, orang yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan jenayah dan penipuan orang asing sentiasa berjalan.

Misalnya saya kata daftar pemilih SPR ini kita sahkan tetapi saya tidak boleh jamin ia bersih sepenuhnya.Sebab ia mungkin masih mempunyai elemen-elemen nama orang yang telah mati tetapi maklumat belum sampai kepada SPR untuk memotong nama itu.

Emak saya telah meninggal dunia 10 tahun lalu, tetapi namanya masih ada dalam senarai daftar pemilih.Saya sendiri tidak boleh memotong nama emak saya.

Dalam kes yang melibatkan emak Datuk sendiri Datuk tidak boleh memotong namanya?

RASHID : SPR tiada bukti daripada pihak berkuasa yang mengesahkan si anu si anu sudah mati.Pengesahan daripada mulut sahaja SPR tidak boleh terima.

Adakah SPR boleh memberi jaminan bahawa akan wujud daftar pemilih yang 100 peratus bersih?

RASHID : SPR akan mewujudkan satu sistem yang menghubungkan jabatan-jabatan berkenaan.Jabatan-jabatan berkenaan juga memainkan peranan utama dalam pembersihan daftar pemilih ini.

Menyediakan daftar adalah urusan SPR tetapi pihak-pihak berkenaan perlu ada usaha bersama dalam menentukan saluran terbaik bagi maklumat itu sampai kepada kita.

Itu pengalaman Datuk hadapi?

RASHID : Ya pengalaman, ini pengalaman saya.Saya boleh tunjuk bukti. Kita hantar pegawai kita tetapi tidak dapat layanan.Kalau permintaan kita tidak dilayan, bagaimana kita hendak dapat maklumat itu?

Kita boleh baca daripada akhbar bahawa orang-orang ini sudah dikenakan hukuman.SPR tidak boleh ambil fakta akhbar.Saya baca cerita itu tetapi saya tidak dapat pengesahan daripada pihak berkenaan.Kalau kita bertindak memotong nama orang tertentu tanpa saluran undang-undang, misalnya hanya dengan berasaskan berita akhbar, orang itu boleh mendakwa SPR dengan mengatakan nama dia dikeluarkan daripada daftar pemilih tanpa pengetahuannya.

Adakah perundangan baru perlu digubal untuk memudahkan proses pembersihan nama?

RASHID : Memang patut ia memudahkan tetapi kita mesti tentukan undang-undang itu amat kemas dan tidak membelakangkan hak asasi dan kebebasan rakyat.

Kenapa SPR memerlukan senarai daftar pemilih yang bersih?

RASHID : Kita memerlukan senarai yang bersih kerana kita terdedah kepada dakwaan.Biasanya orang yang kalah akan cari sebab.Dia akan kata orang ini sudah mati, nama orang yang mati pun dia bawa.Apa akan terjadi kalau semua kawasan pilihan raya kena dakwa, akhirnya semua kawasan kena tolak.

Sebab itulah mahkamah telah mengambil makluman daripada perkara ini dan ia kata selepas daftar pemilih disediakan melalui proses undang-undang, daftar pemilih tidak boleh diganggu lagi.

Kita telah melalui 10 pilihan raya umum.Isu seperti ini termasuk undi hantu telah banyak kali dibangkitkan. Mengapa ia masih belum selesai?

RASHID : Ramai orang tidak faham apa itu undi hantu.Pada masa dulu, ada orang pernah buat sesuatu untuk menipu SPR.Banyak pihak cuba menipu kami.Mereka membawa permohonan secara berlonggok untuk para pengundi pindah alamat dari satu negeri ke negeri lain.Kita ini percaya pada kejujuran orang.SPR tidak banyak cerita sebab kami badan bebas.

Tetapi perbuatan itu telah mengakibatkan keadaan kucar-kacir.Pengundi yang semacam inilah dipanggil pengundi hantu.Dari segi pemastautin, di bawah undang-undang kita ada dua jenis pemastautin.Pertama, pemastautin yang betul-betul menetap di sesebuah kawasan pilihan raya dan kedua pemastautin konstruktif yang mendaftar sebagai pemilih di sesebuah kawasan.

Di bawah undang-undang walau satu malam pun anda tumpang rumah kakak anda, anda sudah layak menjadi pemilih jika berumur 21 tahun ke atas.Dan jika ada pendaftaran SPR pada masa itu, anda boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi pemilih.Kategori ini bukan pengundi hantu. Banyak orang tidak faham status ini.

Permohonan pengundi untuk bertukar negeri banyak berlaku. Apa tujuan permohonan itu?

RASHID : Saya pun tidak faham.

Adakah ia berkaitan dengan strategi politik?

RASHID : Saya betul-betul kecewa.Saya baru sahaja masuk semula ke SPR selepas lima tahun meninggalkannya.

Saya dapati keadaan tidak berubah.Keadaan macam itu juga.Sampai bila keadaan itu hendak berterusan? sebab itu sekarang saya bising sikit.Saya hendak ubah banyak benda supaya sistem pilihan raya kita mencerminkan perubahan masa.Kalau kita tidak berubah, nanti kita akan diketawakan orang.

Datuk mengatakan koodinasi kerja antara jabatan kerajaan kurang berkesan. Adakah Datuk merujuk kepada mahkamah, JPN dan Polis?

RASHID : Dahulu tidak ada koordinasi pun.Pada masa lepas kita ada hantar surat, hantar pegawai cari maklumat dan sebagainya tetapi tidak begitu berjaya.

Mengapa pihak-pihak berkenaan tidak respontif?

RASHID : Kata mereka, mereka banyak urusan sendiri.Tidak terbuat.

Mereka menganggap kerja-kerja SPR tidak penting?

RASHID : Saya ingin katakan tiada keutamaan sehingga menyebabkan kita terpaksa menanggung akibat macam ini.Mungkin Setiausaha SPR dapat mengatasi masalah ini.Kita akan bina satu saluran maklumat atau pengambilan maklumat lebih cepat bagi melicinkan urusan pendaftaran dan semakan pendaftaran.

Datuk ada mencadangkan supaya pendaftaran pemilih dibuat secara automatik apabila seseorang warganegara berusia 21 tahun.Mengapa cadangan itu dibuat?

RASHID : Ini sedang dalam kajian.Untuk melaksanakannya, kita kena ada persetujuan daripada kerajaan.Teks undang-undang itu telah kita gubal, tetapi saya kata tunggu dulu sehingga kajian mengenai isu ini siap.

Pada pandangan saya, itulah jawapannya kepada semua masalah yang kita hadapi dalam daftar pemilih.Tetapi pelaksanaannya hendaklah dengan satu syarat:Setiap orang yang berpindah dan bertukar alamat perlu melaporkan pemindahan mereka.Kalau itu tidak dilakukan, sukar bagi dia mengundi semasa pilihan raya.

Saya sengaja mengeluarkan idea ini awal-awal.Saya hendak tengok reaksi, bagaimana penerimaan orang.Kita ada sebab-sebab yang kuat untuk melaksanakannya.

Bila idea itu boleh menjadi kenyataan?

RASHID : Boleh, senang sahaja.Kita gunakan undang-undang, undang-undangnya pun nipis sahaja. Tapi soal hak asasi, soal kebebasan orang kita kena dihormati juga.Mungkin ada orang akan datang kepada SPR dan kata dia tidak suka nama dia ada dalam daftar pemilih.Itu kita mesti pertimbangkan.Hak itu akan kita tentukan dalam peraturan, yang lain tiada masalah.

Adakah Datuk fikir cadangan itu terlalu radikal?

RASHID : Saya tidak fikir begitu. Kita peruntukkan banyak duit untuk menghadapi perubahan khususnya dalam dunia IT. Semua ini, kalau kita tidak ikut trend, kita akan tertinggal di belakang. Saya rasa kita mampu, kosnya pun tidak tinggi. Belanjanya lebih rendah daripada kos kerja-kerja kita sekarang.

Datuk kata Datuk ada banyak wawasan. Apa perancangan Datuk untuk mengubah keadaan?

RASHID : Pertama yang SPR paling susah hati ialah daftar pemilih. Yang lain-lain, sistem pilihan raya kita adalah antara yang terbaik di dunia.

Dari segi mengundi, saya baru balik daripada meninjau pilihan raya di Britain. Kita dahulu menggunakan undang-undang pilihan raya British. Kini Malaysia sudah ada macam-macam perubahan dalam peraturan pilihan raya, tetapi di Britain tidak banyak berubah.

Di Malaysia, selepas pintu tempat mengundi ditutup, dalam satu jam kita boleh memperoleh keputusan pilihan raya. Di Britain, mereka mengambil masa satu hari, satu malam.

Dalam keadaan itu, Malaysia lebih baik?

RASHID : Kita lebih baik, kita lebih ke hadapan. Banyak aspek yang kita boleh baiki lagi untuk menyenangkan orang mengundi. Tetapi ada banyak aspek lain pula yang Britain lebih liberal.

Sikap sesetengah rakyat negara ini yang tidak mahu terlibat dalam pilihan raya dan mendaftar sebagai pemilih mungkin di luar kawalan SPR. Pada pandangan Datuk, mengapa keadaan ini berlaku?

RASHID : Saya pun tidak faham. Saya tidak tahu. Kempen supaya mereka mendaftar telah banyak kita buat. Politik kita pun hebat. Kalau di negara lain, habis pilihan raya, senyap. Di negara ini, sepanjang masa bergaduh kerana politik.

Mungkin kerana sekarang bukan musim pilihan raya kerana itulah mereka tidak mendaftar. Sikap acuh tidak acuh itulah yang menyebabkan ramai orang kehilangan peluang mengundi dalam pilihan raya. Mungkin orang-orang ini tidak nampak manfaat mengundi. Mungkin mereka tidak mahu menggunakan hak mereka.

Orang seperti saya merasa gembira apabila beratur membuang undi kerana saya menggunakan hak mengundi untuk menentukan masa depan negara.Mungkin bagi orang itu, mereka lebih minat bola sepak atau benda-benda lain.

Mungkinkah di sekolah kita perlu mengajar para pelajar mengenai proses dan sistem pilihan raya supaya ia membantu menambah bilangan pengundi?

RASHID : Saya rasa aspek ini boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pelajaran sivik.Ini boleh dipupuk sejak mereka kanak-kanak lagi.

Datuk tidak kecewa dengan sikap orang ramai itu?

RASHID :Sebagai Pengerusi SPR, sudah tentulah saya kecewa. Kalau boleh saya hendak semua orang mendaftar sebagai pemilih.Kita hendak tengok parti-parti yang menang dalam pilihan raya mendapat undi popular. Kalau ia mendapat undi popular, bermakna kerajaan akan popular dan program-programnya popular.

Adakah ini baik untuk negara kita?

RASHID : Ya, ia amat baik untuk negara kita.

Di negara kita, untuk mengubah cara kerja dan kaedah bertindak mengambil masa. Usaha menjadikan idea-idea Datuk sebagai undang-undang akan mengambil masa bertahun-tahun. Adakah Datuk kecewa dengan kelewatan ini?

RASHID :Tidak juga, Proses itu pun perlu. Kita perlu kaji pelbagai aspek, tetapi jangan proses itu menjadi terlampau lama.

Kritikan bahawa SPR tidak cekap bukan sesuatu yang baru, sudah lama kedengaran khususnya sejak 1995.Adakah kritikan itu membantu SPR membaiki keadaan?

RASHID : Saya kena sangkal kritikan seperti itu.Dari segi perjalanan pilihan raya, kita amat cekap.Bercakap mengenai daftar pemilih yang selalu menjadi bahan bantahan, itu saya akui. Ini kawasan kelabu bagi kami.

Kami sedang berusaha untuk memperbaikinya. Sebab itu kami amat kecewa bila apa yang kami cuba tidak dapat.Perkara itu sepatutnya tidak berlaku.Misalnya di Sabah, bukan kami pilih orang untuk mendaftar.Apakah pilihan yang kami ada? Kami tidak boleh tolak orang bawa kad pengenalan dan kata mereka hendak daftar sebagai pemilih.Kalau kad pengenalan dia bagus, daftarlah dia.

Kalau kita persoalkan kad pengenalan dia, dia akan tempeleng kita. Inilah yang saya kata perlunya koordinasi dengan pihak-pihak berkuasa lain.

Adakah Datuk fikir asas kepada masalah daftar pemilih ini ialah masalah kerenah birokrasi?

RASHID : Saya tidak fikir begitu.Masalah kerenah birokrasi adalah satu istilah yang tidak terpakai dalam hal ini.Saya lihat hanya ketidakmampuan pihak berkenaan atau tidak ada keutamaan pada pihak mereka. Itu saja.

Apa yang paling Datuk takut selepas pilihan raya selesai?

RASHID : Petisyen pilihan raya yang mengatakan perbuatan kita tidak betul.

Macam mana Datuk berurusan dengan petisyen membantah keputusan pilihan raya?

RASHID : Negara lain pun banyak juga petisyen pilihan raya. Sebenarnya sudah jadi perkara biasa. Cuma kes di Likas itu ada sedikit luar biasa. la di luar dugaan saya. Nampaknya lain orang, lain ragam, lain pendapat.

Sejak isu pembatalan keputusan pilihan raya Likas, orang mula mentafsir. Apa yang Datuk hendak mereka lakukan?

RASHID : Saya tak tahu bagaimana orang melihat dan mentafsir. Tetapi SPR berusaha sedaya upaya. Dalam menentukan daftar pemilih, kita mempercayai bahawa selepas melalui proses undang- undang, daftar pemilih boleh dipakai tanpa perasaan ragu-ragu dalam pilihan raya.

Kalau orang ramai mengharapkan semua daftar pemilih di semua kawasan pilihan raya bersih, saya tidak mahu beri jaminan. Seperti yang saya katakan tadi, setiap daftar pemilih mengandungi sedikit elemen kurang bersih misalnya dari segi nama orang yang sudah meninggal dunia dan terdedah kepada maklumat kad pengenalan palsu.

Akan ada nanti orang kata Pilihan raya negara kita tidak telus?

RASHID : Pilihan raya kita telus. Telus. Di negara kita, apabila ada pihak tidak berpuas hati, kita boleh buka peti undi, hakim boleh minta buka peti undi. Di negara-negara lain pun begitu juga. Di England ada juga daftar pemilih yang tidak bersih.

Undang-undang ada untuk menjaga hak semua pihak. Kalau seseorang rasa ada orang yang tidak layak mengundi, kertas undi orang itu boleh dibuang. Tetapi jangan kerana satu, dua undi yang tidak bersih, yang 99.9 peratus undi lain dibuang. Kalau ini berlaku, SPR tidak akan boleh adakan pilihan raya. Saya harap orang ramai tidak khuatir.

Adakah SPR dan Datuk menerima tekanan daripada parti-parti politik?

RASHID : Tidak, tidak pun. Biasalah ada komen-komen dibuat. Parti politik kadangkala hendak mempolitikkan sesetengah isu. Kami di SPR tidak lihat sesuatu dari sudut politik. Kami lihat dari sudut teknikal.

Kadangkala orang melemparkan tohmahan bahawa kami bersekongkol dengan parti kerajaan, mendapat arahan daripada UMNO. Saya hendak beritahu anda, satu perkara. Dulu saya menjadi Setiausaha SPR selama 17 tahun. Saya tidak pernah dipanggil oleh Perdana Menteri dan diberitahu supaya buat itu dan ini. Tidak pernah berlaku.

Tetapi ada perkara-perkara tertentu yang perlu diberitahu kepada beliau sebab beliau mengetuai kerajaan. Saya sentiasa mendapat kerjasama yang baik tetapi kita tidak pernah menerima arahan.