Oleh RANAIZA ISMAIL
GARA-GARA wujudnya 'pengundi hantu', Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu
pada 7 Jun lalu terpaksa membatalkan keputusan pilihan raya bagi
kerusi Dewan Undangan Negeri Likas. Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang
terpaksa mengisytiharkan keputusan pilihan raya tersebut sebagai
batal dan tidak sah. Keputusan itu bukan sahaja mengejutkan banyak
pihak tetapi mula menarik perhatian orang ramai terhadap kewibawaan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan daftar pemilih yang
diuruskan oleh badan itu benar-benar bersih dan bebas daripada pengundi
hantu ataupun individu yang tidak berkelayakan sebagai warganegara.
Ini kerana, menurut Muhammad Kamil, kegagalan SPR memastikan daftar
undi yang bersih telah mencemarkan pilihan raya di Likas pada 1999
lalu. la sudah pasti memberi tamparan hebat kepada SPR sebagai badan
yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pilihan raya yang adil
dan bersih di negara ini.
Banyak pihak mula mempertikai
keupayaan SPR malah ada yang kesal dengan kegagalan badan itu menangani
masalah pengundi hantu sedangkan negara sudah sepuluh kali melaksanakan
pilihan raya sejak mencapai kemerdekaan.
Kes di Likas seperti
mencabar sistem demokrasi yang diamalkan dalam pilihan raya yang
selama ini dianggap cukup bersih dan menjadi asas kepada pemuafakatan
kepada semua warganegara dalam membentuk kerajaan. Bagaimanapun,
isu ini bukanlah perkara baru malah ia semakin ketara sejak 1970-an
lagi. Setiap kali menjelang pilihan raya, isu ini akan menjadi topik
panas tetapi kemudiannya hilang begitu sahaja.
Namun insiden di Likas
akan memberi nafas baru kepada SPR dan juga pihak-pihak berwajib
untuk memandang lebih serius tindakan tidak bertanggungjawab segelintir
pihak yang mewujudkan pengundi hantu demi kepentingan politik sendiri.
Seperti semua sedia maklum, pengundi hantu wujud disebabkan oleh
sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil
kesempatan untuk kepentingan peribadi dan politik mereka.
Kewujudan kad pengenalan
palsu bagi tujuan membolehkan mendaftar sebagai pemilih, adalah
perbuatan tidak bertanggungjawab dan perlu dibanteras segera. Isu
ini mungkin selesai sekiranya sindiket pemalsuan kad pengenalan
dapat dibanteras dan pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap
permasalahan pendatang tanpa izin yang menjadi punca kepada kebanyakan
kes penipuan daftar pemilih, khususnya di Sabah.
Ketika MASSA menemu
bual Setiausaha SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, beliau amat berharap
sekiranya semua pihak dapat memikirkan permasalahan pengundi hantu
ini dengan pemikiran yang lebih terbuka. Menurut beliau, memang
adalah sesuatu yang mustahil untuk mewujudkan daftar pemilih yang
seratus peratus bersih di negara ini. Malah mana-mana negara sekalipun
akan berdepan dengan masalah pengundi hantu kerana ia amat sukar
dikesan tanpa kerjasama semua pihak dan orang ramai.
"Kita sedaya upaya
cuba melaksanakan yang terbaik dalam pilihan raya kita. Dan saya
percaya kita mempunyai sistem pilihan raya yang terbaik berbanding
di tempat lain. Cuma ada beberapa perkara yang agak sukar diatasi
seperti memastikan daftar pemilih yang bersih.
"Ini kerana setiap
hari akan wujud masalah orang mati dan sekiranya SPR tidak dimaklumkan
sudah pasti urusan memotong nama individu berkenaan tidak dapat
dilakukan. Tetapi ia akan lebih mudah dilakukan.sekiranya ada sistem
yang menyalurkan maklumat semasa mengenai kematian, tangkapan warga
asing yang memiliki kad pengenalan palsu, berpindah ataupun memiliki
kad pengenalan palsu," ujarnya.
Oleh sebab itu, SPR
percaya menerusi kerjasama yang lebih berkesan dengan agensi-agensi
kerajaan yang terbabit seperti pihak polis, mahkamah, imigresen,
hospital, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga orang ramai,
maklumat terkini akan diperolehi untuk urusan pembersihan.
Menurutnya, selama
ini kebanyakan pihak meletakkan tanggungjawab kepada SPR semata-mata
bagi memastikan daftar pemilih yang seratus peratus bersih. Namun
orang ramai juga perlu maklum tanpa kerjasama bersepadu daripada
agensi-agensi terbabit sudah pasti masalah pengundi hantu bukan
sahaja sukar dikesan bahkan akan berterusan. Tambahan pula, SPR
tidak mempunyai bidang kuasa dalam menentukan sama ada seseorang
yang datang untuk mendaftar sebagai pemilih benar-benar memiliki
kad pengenalan tulen atau palsu.
"Kita tidak ada
kuasa atau kepakaran untuk menentukan kad pengenalan seseorang itu
benar-benar tulen atau palsu. Jadi dalam hal ini, adalah tidak adil
sama sekali meletakkan tanggungjawab memastikan kesahihan status
seseorang warganegara itu kepada petugas SPR semata-mata. Sedangkan
dalam urusan pendaftaran pemilih, mengikut peruntukan undang-undang
setiap petugas SPR wajib menerima permohonan seseorang yang mempunyai
kad pengenalan dan cukup kelayakan sebagai pemastautin untuk mendaftar.
|