|
Selamat datang ke Laman Web SPR.
Laman Web ini diadakan bagi membolehkan
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menghubungi pelanggan-pelanggan
utamanya, iaitu para pemilih, parti-parti politik dan orang ramai.
Ia mengandungi maklumat-maklumat asas mengenai sistem kerajaan di
negara ini, organisasi, bidang kuasa dan fungsi Suruhanjaya Pilihan
Raya, undang-undang pilihan raya dan garis-garis panduan mengenai
proses pilihan raya, termasuk tatacara pendaftaran pemilih dan daftar
pemilih.
Maklumat-maklumat yang terkandung
di dalam Laman Web ini amat berguna kepada bakal-bakal calon, para
pelajar dan orang ramai untuk memahami sistem demokrasi berparlimen
dan pilihan raya di Malaysia. Maklumat-maklumat tambahan boleh diperoleh
dari pusat sumber SPR yang turut ditempatkan di dalamnya, iaitu
perpustakaan, muzium mini dan sebuah model tempat mengundi. Selain
itu, melalui Laman Web SPR, seseorang pemilih dengan mudah boleh
membuat semakan nama mereka di dalam daftar pemilih.
Bagi membolehkan Ibu Pejabat SPR
menunaikan tanggungjawab dengan lebih berkesan, ia kini mempunyai
hubungan internet dengan Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri. Ibu
Pejabat SPR juga mempunyai hubungan internet dengan Jabatan Pendaftaran
Negara, Pusat Rekod Kementerian Pertahanan dan juga Ibu Pejabat
Polis Diraja Malaysia, bagi memudahkan pendaftaran pemilih dan pengemaskinian
daftar pemilih. Di samping itu SPR mempunyai talian "hot links"
dengan beberapa organisasi, di dalam dan di luar negara.
Saya berharap Laman Web ini tidak
sahaja berguna kepada calon-calon, agen-agen calon dan pekerja-pekerja
parti, tetapi juga merupakan sumber maklumat kepada sesiapa sahaja
yang ingin mengetahui bagaimana pilihan raya yang demokratik dijalankan
di Malaysia.
Dengan ikhlas,
TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA HAJI AB. RASHID BIN AB. RAHMAN
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Januari 2005
|