KANGAR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengguna pakai daftar
pemilih sehingga Mei lalu yang layak mengundi pada pilihan raya
kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, berkenaa. SPR
akan mewartakan daftar terbaru itu pada Khamis ini bagi melayakkan
ia digunakan pada pilihan raya kecil itu, kata Pegawai Pilihan Raya
Kedah/Perlis, Mohamad Yusoff.
"Daftar pemilih
yang akan digunakan pada pilihan raya kecil Indera Kayangan itu
akan diwartakan Khamis," katanya selepas menemui Menteri Besar,
Datuk Seri Shahidan Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohiyaddin
Che Jan, disini, semalam. Mohamad dan pegawainya mengadakan perbincangan
teknikal persediaan pilihan raya kecil itu, termasuk pengambilan
85 kakitangan sementara.
Beliau bagaimanapun
tidak memberikan jumlah pengundi mengikut senarai terbaru itu. Katanya,
parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil itu hanya
dibenarkan berkempen termasuk mengedarkan risalah politik selepas
hari penamaan calon.
Pengerusi SPR, Datuk
Abdul Rashid Abdul Rahman, semalam berkata SPR akan bermesyuarat
pada 2 Januari ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan mengundi.
Selain itu, SPR juga akan menentukan beberapa tarikh penting lain
seperti pengeluaran writ pilihan raya dan notis pilihan raya.
Kerusi Dewan Undangan
Indera Kayangan kosong berikutan kematian wakilnya Datuk Khor Liang
Tee, Rabu lalu selepas dua tahun menderita barah usus. Mengikut
Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam
tempoh 60 hari daripada tarikh kerusi DUN diistiharkan kosong.
Mohamad berkata, SPR
Kedah/Perlis dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN itu pada
Khamis lalu dan terus melaporkan kepada ibu pejabatnya di Kuala
Lumpur. Sementara itu, Shahidan berkata beliau memaklumkan bahawa
kepada SPR mengenai 'kehilangan' nama pengundi di Indera Kayangan
pada pertemuan itu.
Mohamad ketika menjelaskan
perkara itu berkata SPR sudah mempamerkan senarai pemilih selama
dua minggu sebelum ini bagi tujuan semakan atau bantahan oleh orang
ramai.
|