KUCHING
- Sarawak bakal mendapat 11 kawasan pilihan raya baru, masing-masing
tiga kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),
berikutan cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya
yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan di sini, semalam.
Kawasan Parlimen
baru yang dicadangkan itu ialah Igan, Sibuti dan Limbang, manakala
DUN yang ditambah ialah Opar, Lingga, Balai Ringin, Bukit Saban,
Bukit Danau, Pujut, Daro dan Bekenu.
Berikutan
cadangan penambahan kerusi itu, Sarawak bakal mempunyai 31 kerusi
Parlimen, berbanding 28 kerusi sebelum ini, manakala 70 kerusi
DUN berbanding 62 kerusi sebelum ini.
Pengerusi
SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata cadangan penambahan
kerusi Parlimen dan DUN itu sekali gus menjadikan Sarawak paling
banyak mempunyai kawasan pilihan raya di Malaysia.
"Ini sesuai
kedudukan Sarawak sebagai sebuah negeri terbesar di Malaysia,
selain mempunyai jumlah pemilih berdaftar teramai yang kini mencecah
sejuta pengundi," katanya.
Terdahulu,
beliau diberikan taklimat berhubung perkembangan terkini proses
persempadanan semula bahagian pilihan raya di Sarawak oleh Pengarah
Pilihan Raya Negeri, Nordin Che Ngah, di sini, semalam.