| |
| PINDAAN
AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA DIBENTANG |
KERAJAAN membentangkan
Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya 1954 di Dewan Rakyat,
semalam. Pindaan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Rais Yatim, dan dibahaskan pada peringkat jawatankuasa.
Beliau menjelaskan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
melihat kewajaran meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berikutan
perkembangan dalam pilihan beberapa pilihan raya kecil lalu, terutama
di Anak Bukit dan Pendang. Katanya, langkah itu bertujuan mengkaji
semula dan mengemaskini beberapa bahagian bagi menyesuaikannya
dengan keadaan politik negara serta sikap penngundi. Beliau berkata,
fasal 7 Rang Undang-Undang akan memasukkan seksyen baru, iaitu
30A, membabitkan peruntukan mengenai permohonan maaf yang dibenarkan
mengikut Seksyen 30 bagi memastikan calon bertanding lebih bertanggungjawab.
Selama ini, katanya ramai calon bertanding tidak mengemukakan
penyata perbelanjaan pilihan raya seperti di tetapkan undang-undang,
sekali gus menimbulkan masalah apabila mereka dilarang bertanding
pada pilihan raya selepas itu kecuali mendapat kemaafan mahkamah.
Rais berkata, undang-undang sedia ada tidak menetapkan
tempoh mereka perlu membuat permohonan maaf kepada mahkamah dan
kebiasaannya, calon menunggu sehingga pilihan raya berikutnya
untuk mengemukakan permohonan. Dengan pindaan itu, katanya, calon
dikehendaki mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 31 hari
selepas tempoh ditetapkan mengikut seksyen 23 akta itu. "Selain
itu, penubuhan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR)
adalah bagi membolehkan SPR mengawal selia aktiviti kempen oleh
calon dan penyokong bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta
dihormati. "Keanggotaannya merangkumi pegawai penguatkuasa
SPR sebagai ketua, wakil polis berpangkat Inspektor ke atas, wakil
pihak berkuasa tempatan (PBT), dan wakil parti politik yang dilantik
secara bertulis oleh calon atau ejennya," katanya.
Rais berkata,
PP-KPR berhak menurunkan bahan kempen yang melanggar undang-undang
serta menghentikan ucapan atau syarahan yang tidak mematuhi undang-undang
bertulis. Katanya, pindaan turut dibuat yang mana bahan berkempen
seperti risalah, brosur, bendera, poster dan sepanduk boleh dipamerkan
oleh calon tanpa dihadkan saiznya bagi memudahkan tugas PP-KPR.
Bagi memudahkan pemasangan poster, beliau berkata, SPR menggugurkan
cadangan poster kempen perlu ditampal pada sekeping papan yang
sama ukurannya dengan poster untuk dipacak ke tanah. Rais berkata,
pindaan akta turut membabitkan larangan memakai, memegang atau
membawa masuk bahan seperti pakaian, penutup kepala, barang hiasan,
roset, botol air atau payung yang bercetak atau tertera lambang
atau simbol parti politik atau nama calon atau nama dalam jarak
50 meter dari sempadan tempat mengundi.
|
|
|
|