PETALING JAYA
: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mencari jalan penyelesaian
berkaitan kebenaran mengadakan rapat umum di tempat terbuka pada
kempen pilihan raya umum akan datang, yang mencetuskan kontroversi
serta bantahan pelbagai pihak baru-baru ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman,
berkata sama ada undang-undang berkaitan perlu dipinda, terpulang
kepada kerajaan. "Kita kaji undang-undang, kita tengok dan
apa yang boleh dibaiki dan salah satu ialah yang ini (rapat umum).
Lepas itu (kajian semula), ia akan dibawa ke Parlimen untuk dijadikan
undang-undang. Pada saya undang-undang baru ini (membenarkan rapat
umum) tidak salah tetapi ia perlu dibaca bersama Akta Polis iaitu
rapat umum terbuka boleh diadakan jika mendapat permit polis.
"Sama ada rapat umum itu boleh menjejaskan keselamatan, pihak
polis akan menentukan. Jika polis kata tak boleh, maka undang-undang
ini diketepikan. Idea membenarkan rapat umum ini bukan idea saya,
tetapi ia terkandung dalam undang-undang.
"Itu sebab saya katakan, mengahrapkan jalan
penyelesaian," katanya pada majlis pertemuan SPR dengan editor
media tempatan di sini, semalam. Ini adalah kali pertama Abdul
Rashid memberi reaksi berhubung isu itu sejak kenyataanya pada
16 September lalu mencetuskan bantahan pelbagai pihak termasuk
pemimpin Umno manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai
pula memberi jaminan polis akan menimbang secara adil dan cepat
permohonan mana-mana parti politik untuk mengadakan rapat umum
pada pilihan raya umum akan datang.
Kebenaran mengadakan rapat umum itu terkandung
dalam Seksyen 24(3) Akta Kesalahan pilihan Raya 1954, pindaan
2002 yang diluluskan oleh Parlimen awal tahun lalu. Seksyen 24(3)
akta itu perlu dibaca bersama Akta Polis.
Abdul Rashid
menjelaskan ramai orang salah faham atau tidak tahu mengenai peruntukan
undang-undang itu yang disifatkannya sama seperti Akta Polis.
"Tugas saya adalah untuk membuatt penjelasan dan saya lakukannya.
Saya tak nampak salah pada undang-undang ini. Tapi jangan bimbang,
keselamatan di negara kita tetap terjamin," katnya. Belaiu
berkata, SPR kadang kala menjadi serba salah kerana "kami
tidak pandai berpolitik" sedangkan pelanggan utamanya adalah
parti politik. "Apa pun akhirnya kami mahu pengurusan yang
baik dan menjalankan tugas dengan adil dan bebas, tetapi bagi
parti politik matlamat akhirnya untuk menang berapa banyak kerusi.
"Jika tidak bebas dan adil. itu bukan demokrasi namanya.
Oleh itu, saya minta simpati media supaya jangan mensensasikan
berita, jangan meletakkan SPR sebagai pihak yang bergaduh dengan
parti politik," katanya.