PUTRAJAYA, Rabu - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan
beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang kurang memberi kerjasama
dalam usahanya menyediakan senarai daftar pemilih yang bersih.
Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid
Abdul Rahman, berkata selain Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),
kerjasama daripada agensi kerajaan, termasuk polis, Jabatan Imigresen
dan mahkamah, amat mengecewakan.
"Walaupun SPR
sudah berkali-kali mengutus surat kepada pihak berkenaan, ada yang
masih belum berjawab, termasuk yang sudah dihantar hampir dua tahun
lalu,"katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di
sini hari ini.
Beliau berkata, SPR
memerlukan kerjasama yang lebih baik daripada agensi berkenaan bagi
mendapatkan maklumat untuk membolehkannya menyemak dan mengeluarkan
nama pemilih yang tidak sepatutnya berada dalam daftar pengundi.
Katanya, ini kerana
SPR tidak boleh membatalkan nama mana-mana pengundi dengan sewenang-wenangnya
tanpa arahan terus daripada agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
"Kelembapan penguatkuasaan
membanteras pengeluaran kad pengenalan palsu mengakibatkan SPR terpaksa
menerima pendaftaran mengundi, walaupun ia tidak layak kerana SPR
tiada kepakaran memastikan kesahihan sesuatu kad pengenalan.
"Setakat ini,
SPR hanya menerima kerjasama yang amat baik daripada JPN dari segi
perkongsian maklumat bagi mengemas kini daftar pengundi supaya bebas
daripada pengundi hantu dan pengundi palsu.
"Bagaimanapun,
saya akui agak mustahil bagi mewujudkan daftar pemilih yang 100
peratus bersih,"katanya.
Abdul Rashid berkata,
maklumat mengenai nama orang yang sudah meninggal dunia atau orang
yang dipenjara dan orang yang hilang kewarganegaraan juga lambat
diterima oleh SPR.
"Nama emak saya
yang telah meninggal dunia 10 tahun lalu pun masih ada dalam senarai
pemilih," katanya.
Beliau berkata, tugas
SPR akan lebih terurus jika polis dan mahkamah lebih proaktif menyampaikan
maklumat mengenai penangkapan pemilik kad pengenalan palsu atau
keputusan melucutkan taraf kewarganegaraan seseorang supaya daftar
pemilih dapat dikemas kini segera.
Abdul Rashid berkata,
pendedahan yang dilakukan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai
petisyen pilihan raya kawasan Likas baru-baru ini membuka mata pelbagai
pihak kepada masalah yang dihadapi SPR, terutama di Sabah.
Jumaat lalu, Mahkamah
Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan keputusan pilihan raya Likas
adalah tidak sah kerana ada pengundi didapati bukan warganegara,
selain penemuan wujudnya pengundi hantu.
Kad pengenalan palsu
yang dimiliki oleh pendatang izin adalah satu masalah khusus bagi
Sabah.SPR tidak mendapati masalah seumpama itu di negeri lain, termasuk
di Sarawak.
Abdul Rashid berkata,
pendatang asing di Sabah begitu mudah mendapat kad pengenalan palsu
kerana ia dijual dengan berleluasa termasuk pasar malam.
Katanya, pihak penguat
kuasa berkenaan perlu mengambil iktibar daripada isu Likas dan menangani
masalah peningkatan kemasukan pendatang haram dan penjualan kad
pengenalan palsu di negeri itu.
"Ini bukan masalah
baru kerana saya turut menghadapi masalah yang sama selama 17 tahun
sebagai Setiausaha SPR sebelum menjadi pengerusi November lalu,"katanya.
Bagaimanapun, beliau
menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka dan gembira kes
seumpama itu diberi penghakiman yang saksama kerana dapat menyedarkan
orang ramai mengenai kepentingannya.
Abdul Rashid berkata,
pemilih mendaftar menggunakan kad pengenalan palsu mula diatasi
apabila JPN mempunyai pangkalan data warganegara berkomputer sejak
Mei 1999 yang berjaya mengesan kira-kira 500,000 nama menggunakan
nombor kad pengenalan yang diragui, meninggal dunia atau hilang
kelayakan.
Tindakan pembersihan
yang dimulakan tahun lalu akan berterusan, semua pendaftaran baru
dapat dipastikan sahih dan sejak tahun lalu, tidak ada pemohon dengan
kad pengenalan palsu yang berjaya menyamar bagi mendaftar dengan
SPR.
Mengenai masalah menyediakan
daftar pemilih mengikut alamat kad pengenalan, beliau berkata Peraturan
Pendaftaran Negara 1990 yang mewajibkan seseorang yang berpindah
menukar kepada alamat baru dalam tempoh 90 hari, tidak dikuatkuasa
secara tegas sekarang.
Justeru, katanya, SPR
terpaksa membenarkan pengundi mendaftar mengikut kawasan yang dipilih
sebagai alamat kediamannya dan berpuas hati mempunyai hak pemastautin
mengikut Perlembagaan Negara.
|