PUTRAJAYA, Rabu - Parti Keadilan Nasional (Keadilan) hari ini mengemukakan
memorandum mengandungi 16 cadangan berkaitan urusan pilihan raya.
Memorandum itu diserahkan
dalam pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman, di Ibu Pejabat SPR disini.
Presiden Keadilan,
Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dalam sidang akhbar selepas pertemuan
itu berkata pihaknya memberi pandangan termasuk mencadangankan SPR
melaksanakan proses pendaftaran semula bagi membersihkan senarai
daftar pemilih.
Keadilan juga meminta
SPR melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi
penduduk yang mencapai umur layak, disamping memastikan semua proses
pemindahan nama dibuat selepas mendapat kebenaran bertulis daripada
pemilih terbabit.
"Pendaftaran semua
pengundi ini bukan saja dapat mengemaskini senarai daftar pemilih,
malah mewujudkan rangkaian terus ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi
tujuan semakan kesahihan status pengundi," katanya selepas
pertemuan lebih dua jam setengah itu.
Dr. Wan Azizah juga
meminta SPR tidak mencatat nombor diri pada kertas undi atau keratan
kertas undi sehingga boleh menimbulkan keraguan dan mencabar prinsip
undi sulit.
Keadilan juga meminta
SPR melarang parti politik berkempen melalui media cetak dan elektronik
sebelum hari penamaan calon dan menggubal undang-undang menghalang
kerajaan meluluskan peruntukan atau projek sepanjang kempen pilihan
raya.
|