KUALA LUMPUR, Khamis - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan
proses pendaftaran pemilih sepanjang tahun mulai tahun depan, kata
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Datuk Noh Omar.
"Ini akan memberi peluang lebih luas kepada rakyat yang layak
untuk mendaftar sebagai pemilih pada bila-bila masa sebaik sahaja
seseorang itu mencapai umur 21 tahun," katanya ketika menjawab
soalan Senator Azizah Mohamed Dun pada persidangan Dewan Negara,
hari ini.
Katanya, SPR akan membuka
kaunter pendaftaran di ibu pejabat suruhanjaya itu, pejabat-pejabat
pilihan raya negeri, pasukan pendaftaran bergerak serta beberapa
agensi kerajaan yang sering dikunjungi orang ramai.
Beliau juga berkata
kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sistem pendaftaran pengundi
secara automatik sebaik seorang warga negara itu mencapai umur 21
tahun.
Oleh kerana sistem
pendaftaran yang sedia ada sekarang berjalan lancar, maka kerajaan
tidak bercadang untuk memperkenalkan sistem pendaftaran pengundi
secara automatik," katanya.
Mengikut Peraturan-Peraturan
Pilihan Raya Pendaftaran Pemilih 1971, seorang yang layak perlu
membuat permohonan untuk didaftarkan sebagai pemilih dengan mengisi
borang dan mengemukakan kepada pegawai pendaftaran bagi kawasan
berkenaan.- Bernama
|