KUANTAN, Khamis - Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) diminta menghubungkan
sistem komputernya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan
Jabatan Imigresen dalam usaha menyediakan senarai daftar pemilih
yang bersih.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Aseh
Che Mat, berkata pelaksanaan sistem perkomputeran sepenuhnya di
JPN dan Imigresen hampir siap.
"Berikutan itu,
segala maklumat diperlukan SPR, termasuk senarai rakyat yang sudah
meninggal dunia boleh diperoleh dengan mudah dan terus.
"Malah, kita bersedia
memberi kerjasama kepada SPR," katanya pada sidang media selepas
majlis perasmian Kompleks Penjara Penor oleh Sultan Pahang dekat
sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman yang kecewa beberapa
jabatan dan agensi kerajaan kurang memberi kerjasama dalam usaha
menyediakan daftar pemilih bersih.
Abdul Rashid mendakwa,
selain JPN, kerjasama agensi kerajaan, termasuk polis, Jabatan Imigresen
dan mahkamah amat mengecewakan.
Aseh berkata, dengan
talian terus itu, jika seseorang meninggal dunia, SPR boleh terus
mendapat maklumat berkenaan, dan memotong nama orang berkenaan daripada
senarai pemilih.
"Dengan cara ini,
kita tidak perlu lagi menggunakan kertas untuk memberi maklumat
kepada SPR yang mungkin mengambil masa beberapa hari, " katanya.
|