KUALA LUMPUR, Isnin - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata,
permohonan untuk mendaftar sebagai pengundi akan ditolak komputer
jika nombor kad pengenalan pemohon itu tidak wujud dalam rekod
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah
mula menjalankan sistem pendaftaran 'on-line' dengan rekod di
JPN.
Beliau menyatakan demikian dalam
jawapan bertulis kepada soalan Senator Nosimah Hashim pada persidangan
Dewan Negara hari ini.
Dr Mahathir berkata, pada hari pengundian
pula, SPR menggunakan kepakaran pegawai JPN untuk mengesan jika
ada pengundi memiliki dokumen yang diragui.
Katanya, SPR sentiasa berusaha menyelesaikan
masalah yang berkaitan isu 'pengundi hantu' dan telah menjalankan
semakan teliti dengan JPN sejak tahun lalu bagi menentukan kesahihan
status kewarganegaraan setiap orang yang berdaftar sebagai pemilih.
Nama orang berkenaan akan dikeluarkan
daripada daftar pemilih SPR sekiranya semakan itu mendapati status
kewarganegaraannya diragui atau tiada dalam rekod JPN, katanya.
Ini membolehkan daftar pemilih sentiasa
dikemaskini sejajar dengan Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pilihan
Raya (Pendaftaran Pemilih) 1971 dan menjamin tiada masalah pengundi
hantu katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Chan Kong Choy berkata tahap keselamatan sistem perbankan
lnternet yang dilaksanakan institusi perbankan tempatan di Malaysia
adalah memuaskan.
"Walaupun ada beberapa percubaan
penggodaman dan pencerobohan yang hampir keseluruhannya dilakukan
dari luar negara terhadap institusi perbankan Internet tempatan,
ia dapat dikawal," katannya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab
soalan Senator Datuk Long Jidin berkaitan tahap keselamatan sistem
perbankan Internet yang diperkenalkan oleh bank-bank di Malaysia.
Katanya, percubaan itu telah dapat
dikesan dan dibendung oleh sistem-sistem keselamatan Internet
seperti 'Firewall' yang ada di institusi-institusi perbankan berkenaan.
Beliau berkata, Garis Panduan Minimum
bagi Perkhidmatan Perbankan Internet oleh Bank Negara Malaysia
(BNM) membolehkan institusi perbankan tempatan memperkenalkan
perkhidmatan perbankan itu mulai 1 Jun tahun lalu.
Katanya, BNM juga menyarankan kepada
semua institusi perbankan supaya sentiasa mempertingkat keupayaan
sistem keselamatan Internet masing-masing serta pengetahuan yang
diperlukan sejajar dengan perkembangan teknologi itu.
Chan berkata, tahap keselamatan yang
tinggi memberi keyakinan kepada pelanggan untuk mengadakan urusan
perbankan melalui Internet.
Katanya, sehingga akhir Jun 2001,
jumlah pelanggan perbankan internet yang berdaftar dengan institusi
perbankan yang menawarkan perbankan internet ialah 324,018 orang
dengan purata tambahan bulanan pelanggan berdaftar 18 peratus.
Beliau berkata, 80 peratus daripada
transaksi popular di kalangan pelanggan melalui perbankan Internet
ialah untuk mendapatkan status terkini akaun, manakala 15 peratus
untuk pembayaran bil dan lima peratus lagi untuk melakukan pemindahan
dana. - Bernama