MIRI, Rabu - Penduduk Sarawak boleh menjangkakan 27 September
ini diumumkan sebagai hari cuti, apabila negeri itu mengadakan
pilihan raya negeri untuk memilih kerajaan bagi mentadbir Bumi
Kenyalang itu.
"Kemungkinan besar ia akan diumumkan sebagai cuti... KM (Ketua
Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud) belum menyatakan apa-apa lagi
tetapi kemungkinan besar (ia akan diisytiharkan sebagai cuti),"
kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam,
kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Khidmat Lama
kepada lebih 200 kakitangan negeri di sini, hari ini.
Penduduk Sarawak akan mengundi dalam
pilihan raya negeri kelapan pada 27 September manakala penamaan
calon ditetapkan pada 18 September.
Abdul Taib dijangka mengumumkan cuti
bagi negeri itu tidak lama lagi bagi membolehkan orang ramai mengundi
bagi 62 kerusi dewan undangan negeri. - Bernama