KUCHING, Selasa - Sebanyak 442 borang penamaan calon untuk pilihan
raya umum negeri kelapan sudah dikeluarkan oleh Pejabat Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) Negeri, setakat jam 12 tengah hari ini.
Pegawai Pilihan Raya Negeri, Wan Alwi Datuk Wan Hashim, berkata
selain wakil dari Barisan Nasional (BN), borang berkenaan turut
diambil wakil Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Pas, DAP dan
Bebas.
Katanya, jumlah borang pencalonan
yang dikeluarkan dijangka, terus meningkat, memandangkan ada seminggu
lagi untuk hari penamaan calon pada 18 September ini.
Beliau berkata, jumlah borang penamaan
calon yang dikeluarkan untuk pilihan raya umum negeri kelapan
ini adalah yang terbanyak setakat ini.
Pada pilihan raya 1996, SPR hanya
mengeluarkan 96 borang pencalonan untuk pertandingan di 43 kawasan,
setelah 19 kawasan dimenangi tanpa bertanding oleh BN.
Katanya, mereka yang ingin bertanding
pada pilihan raya kali ini diingatkan agar menyerah borang penamaan
calon antara jam 9 pagi hingga 11 pagi, 18 September ini.