Kangar,Selasa-Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan
mungkin menyaksikan pertandinga tiga penjuru membabitkan Barisan
Nasional (BN), Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan calon bebas.
Ia kerana sehingga hari in, tiga borang pencalonan dikeluarkan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) Kedah/Perlis, masing-masing untuk BN, Keadilan
dan calon bebas. Pegawai SPR Kedah/Perlis, Mohamad Yusoff berkata
borang pertama diambil seorang lelaki yang mendakwa wakil calon
bebas Sabtu lalu manakala wakil BN mengambil borang berkenaan kelmarin
sementara keadilan berbuat demikian hari ini.
Sebelum ini, ramai penerhati politik
meramalkan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon BN dan
Keadilan bagi kerusi Indera Kayangan yang dikosongkan selepas
Adun kawasan itu Datuk Khor Liang Tee meninggal dunia bulan lalu.
BN menamakan Ketua Wanita MCA Perlis, Oui Ah Lan, 59, sebagai
calon manakala Keadilan dijangka mengumumkan malam esok. SPR menetapkan
hari penamaan calon Khamis ini manakala tarikh pengundian ditetapkan
19 Januari depan. Bagaimanapun, Mohamad berkata, jumlah calon
yang akan bertanding pada pilihan raya akan diketahui pada hari
penamaan calon Khamis ini. Penamaan calon dan pengiraan undi akan
diadakan di Dewan Warisan disini. Beliau berkata tempoh percalonan
bermula jam 9 hinggan 11 pagi manakala bantahan dari jam 11 pagi
sehingga 12.30 tengahari.
Sementara itu, Oui ketika dihubungi
berkata BN bersedia menghadapi mana-mana calon yang menentang
parti berkenaan."Tak apalah....bagi BN kita sudah bersedia
menghadapi pilihan raya ini. Saya juga tidak fikir beliau (calon
bebas) dari calon MCA...mungkin dia ada kepentingan sendiri,"
katanya. DUN Indera Kayangan pernah menyaksikan pertandingan BN
dan dua calon bebas pada Pilihan Raya Umum 1990. Bagaimanapun,
calon BN ketika itu, mendiang Khor menang dengan majoriti 2356
undi. Sementara itu, tinjaun Berita Harian hari ini, mendapati
kakitangan SPR sibuk membuat persediaan akhir bagi menghadapi
pilihan raya kecil itu. Senarai daftar terbaru SPR menunjukkan
kawasan DUN Indera Kayangan mempunyai 7976 pengundi termasuk 752
pengundi pos.
Daftar terbaru itu menunjukkan terdapat
3781 mengundi melayu atau 47.4 peratus, Cina 3701 (46.4 peratus),
India 431 (5.4 peratus) manakala 63 kaum lain .Kerusi Dun Indera
Kayangan kosong apabila Khor yang mewakili sejak 18990 meninggal
dunia pada 19 Disember lalu kerana barah usus.