KOTA BHARU, Jumaat - Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dijangka melakukan persempadanan semula kawasan pilihan
raya di Kelantan mengikut jajahan dan daerah.
Ini berikutan wujud perbezaan antara kawasan sempadan pilihan raya
dengan jajahan atau daerah di Kelantan pada masa ini.
Difahamkan, persempadanan
semula itu secara tidak langsung boleh memudahkan pengundi menentukan
kawasan pilihan raya mereka mengikut kedudukan jajahan atau daerah
masing-masing.
Sumber memberitahu
Berita Harian, SPR sedang mengkaji kemungkinan membuat persempadanan
semula kawasan pilihan raya bagi Parlimen mengikut jajahan dan Dewan
Undangan Negeri (DUN) mengikut daerah.
Katanya, kajian itu
antara keutamaan tugas yang akan dilaksanakan sebelum menentukan
keperluan jika berlaku pertambahan kerusi Parlimen atau DUN di negeri
itu.
"Keutamaannya
sekarang ialah SPR mahu memperbetulkan semula persempadanan kawasan
pilihan raya mengikut jajahan dan daerah di Kelantan.
"Langkah ini kemungkinan
dilakukan dan jika tiada masalah, ia dijangka dilaksanakan tahun
depan,"katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di sini,
hari ini.
Ditanya tempoh menyelesaikan
persempadanan semula, beliau berkata, ia perlu disiapkan sebelum
tempoh pilihan raya umum akan datang.
Beliau juga tidak menafikan
ada beberapa kawasan Parlimen dan DUN yang dijangka terbabit dalam
proses pembetulan semula sempadan kawasan pilihan raya di Kelantan.
Antara contoh kawasan
pilihan raya dianggap tidak betul kedudukan sempadan pilihan raya
dengan daerah dan jajahan ialah DUN Wakaf Bharu (N10) yang berada
dalam Parlimen Pasir Mas tetapi pentadbiran kawasan itu adalah tanggungjawab
jajahan Tumpat.
Perkara sama turut
berlaku terhadap DUN Chetok (N25) dalam kawasan pilihan raya Parlimen
Pasir Mas tetapi secara pentadbirannya berada dalam jajahan Tanah
Merah.
Baru-baru ini, SPR
menjangka kerusi Parlimen dan DUN bertambah sekurang-kurangnya lapan
peratus berikutan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya
di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk
Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata jumlah pertambahan itu adalah
jangkaan awal berdasarkan faktor pertambahan pemilih 8.4 peratus
sejak 1984. Ketika ini, ada 193 kawasan Parlimen dan 504 kerusi
DUN di seluruh negara.
Daripada jumlah itu,
Kelantan mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN dengan Parlimen
Pasir Puteh, setakat ini paling banyak mempunyai kerusi DUN iaitu
empat.
Sementara itu, Pegawai
Perhubungan Awam SPR, Mohd Azhari Abdul Rahman, berkata soal sama
ada kerusi Parlimen dan DUN bertambah atau sebaliknya belum boleh
ditentukan.
Katanya, semua perkara
berkaitan hanya akan dilaksanakan Mac tahun depan mengikut peruntukan
undang-undang.
"Buat masa ini,
belum ada apa-apa lagi (mengenai pertambahan kerusi Parlimen dan
DUN)," katanya.
Mengenai pendaftaran
pengundi baru tahun ini yang disifatkan perlahan, beliau berkata,
antara faktornya ialah sikap individu yang beranggapan pilihan raya
umum masih lama lagi.
Katanya, pemilih yang
berumur 21 tahun dan mereka yang layak mengundi tetapi tidak pernah
mendaftar sepatutnya berbuat demikian untuk memudahkan proses pengesahan
oleh SPR.
"Proses pengesahan
kebiasaannya mengambil masa enam hingga tujuh bulan," katanya,
sambil menambah, ada kecenderungan orang ramai mendaftar sebagai
pemilih menjelang pilihan raya.
Katanya, jumlah pengundi
yang berdaftar dengan SPR sehingga tahun lalu berjumlah 9.7 juta
orang.
|