LAWAS: Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk Timbalan
Pengerusinya, Datuk Abdullah Zawawi Mohamed, lega apabila dimaklumkan
peti undi terakhir dari pusat pengundian Long Lellang, Bario,
mula diterbangkan kira-kira 11.25 pagi semalam dengan menggunakan
helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Malah, petugas SPR
termasuk Abdullah Zawawi yang berada di pusat penjumlahan undi
di Dewan Masyarakat Lawas, ceria sebaik helikopter bersama peti
undi itu mendarat di lapangan terbang di sini, jam 12.18 tengah
hari.
Ketibaan Ketua Pusat Mengundi dari Long Lellang itu, Andy Sigar
Murang bersama satu beg berisi peti undi yang diiringi anggota
polis serta petugasnya menggunakan tiga kenderaan, disambut tepukan
gemuruh orang ramai dan penyokong calon Barisan Nasional (BN),
Nelson Balang Rinning dan calon Bebas, Baru Bian yang menanti
penuh sabar di dewan itu.
Andy yang ditemui setibanya di lapangan terbang itu berkata, petugas
SPR yang diarah ke pusat pengundian di Long Lellang tidak dapat
tiba di lokasi pengundi pada masa yang ditetapkan, Jumaat lalu
disebabkan cuaca buruk di Bario.
" Kami terpaksa bermalam di Bario sebelum dihantar ke Long
Lellang kira-kira jam 1.30 petang kelmarin menggunakan pesawat
Nuri," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata, pasukannyaseramai enam petugas SPR termasuk tiga
anggota polis turut bimbang tidak dapat membawa balik peti undi
untuk pengiraan di Lawas, selepas sehari tertangguh.
" Kami cukup bimbang kerana peti undi Long Lellang akan menentukan
keputusan pilihan raya kecil Ba'Kelalan, sekiranya kami tidak
dapat keluar dari lokasi, ia mungkin menimbulkan masalah,"
katanya.