LAWAS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati peratusan pengundi
yang keluar mengundi pada pilihan raya kecil Ba’Kelalan,
walaupun pengundian di Long Lellang terpaksa ditangguhkan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Abdullah Zawawi Mohamed, berkata
56.04 peratus daripada 7,896 pengundi berdaftar di kawasan itu
menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, peratusan itu amat baik kerana bukan mudah bagi
penduduk di kawasan Ba’Kelalan keluar mengundi berikutan
masalah logistik.
" Berbanding dua pilihan raya DUN yang lalu, pilihan raya
kecil ini boleh dianggap istimewa. Ini kerana kita sedia maklum
dua penggal lalu DUN Ba'Kelalan tidak dipertandingkan.
"Tetapi kali ini, penduduk DUN Ba'Kelalan berpeluang memilih
wakil rakyat menerusi proses pengundian. Jadi, sukar bagi kita
buat perbandingan jumlah pengundi dengan pilihan raya di kawasan
yang sama sebelum ini.
"Apapun, SPR puas hati terhadap peratusan pengundi yang keluar
mengundi," katanya kepada pemberita di Dewan Masyarakat Lawas
di sini, semalam.
Mengenai pengundi yang tidak keluar mengundi, Abdullah berkata,
ia mungkin disebabkan banyak faktor termasuk keadaan cuaca yang
tidak baik ketika waktu mengundi.
Namun, katanya, SPR menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang
biasa dan kemungkinan disebabkan pengundi tidak dapat balik pada
pilihan raya kali ini kerana berada di negeri lain.
"Kita berharap pada masa akan datang setiap pengundi dapat
memainkan peranan penting dan tidak lupa menunaikan tanggungjawab
berkenaan apabila pilihan raya diadakan," katanya.
Mengenai masalah penghantaran peti undi ke Long Lellang dan kelewatan
pengiraan undi, beliau berkata, kejadian itu bukan pertama kali
berlaku pada pilihan raya di Sarawak dan Sabah.
"Faktor cuaca dan masalah teknikal sering menyebabkan perkara
ini berlaku. Apapun situasinya SPR akan berusaha memperbaiki segala
kelemahan pada masa akan datang.
" Kita selalu mahu mempertimbangkan supaya pilihan raya diadakan
satu hari, dulu pengalaman di Sabah dan Sarawak ialah paling lama
dua hari. Perkara ini SPR sudah ubah balik, iaitu sebaik-baiknya
satu hari.
" Tetapi dalam suasana itupun timbul masalah yang sama yang
tidak dapat dielakkan. Namun kali ini kita dapat mengatasinya
dengan cara baik," katanya.