(a) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, mengenai pemilihan
seseorang sebagai ahli bagi Dewan Rakyat, Dewan Undangan, majlis
perbandaran ibu kota persekutuan atau mengenai apa-apa pemilihan
lain yang Suruhanjaya Pilihanraya mungkin diberikuasa menjalankannya;
atau
(b) dalam apa-apa pemilihan lain, kepada Pihak Berkuasa Negeri-
(i) sama ada apa-apa perbuatan rasuah atau perbuatan
yang menyalahi undang-undang telah dibuktikan atau telah tidak
dibuktikan sebagai telah dilakukan oleh atau dengan pengetahuan
dan persetujuan seseorang calon dalam pilihan raya itu, atau
oleh ejennya, dan juga jenis perbuatan rasuah atau perbuatan
yang menyalahi undang-undang itu, jika ada; dan
(ii) nama dan perihal semua orang, jika ada, yang telah dibuktikan
dalam perbicaraan itu sebagai telah bersalah atas apa-apa perbuatan
rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang.
(2) Sebelum mana-mana orang, yang bukan suatu pihak dalam suatu
petisyen pilihan raya dan juga bukan seorang calon yang bagi pihaknya
kerusi itu dituntut melalui suatu petisyen pilihan raya, dilaporkan
oleh seorang Hakim Pilihan Raya atau Pendaftar Mahkamah Persekutuan
di bawah seksyen ini, Hakim Pilihan Raya atau Pendaftar Mahkamah
Persekutuan hendaklah memberi orang itu hak untuk didengar dan untuk
memberi dan meminta keterangan bagi menunjukkan mengapa dia tidak
patut dilaporkan sedemikian.
(3) Apabila seorang Hakim Pilihan Raya atau Pendaftar Mahkamah Persekutuan
melaporkan bahawa suatu perbuatan rasuah atau perbuatan yang menyalahi
undang-undang telah dilakukan oleh mana-mana orang, maka orang itu
hendaklah tertakluk kepada ketakupayaan yang sama seolah-olah pada
tarikh laporan itu dia telah disabitkan atas perbuatan itu dan seseorang
hendaklah tertakluk kepada ketakupayaan yang sama sekiranya dia
ialah seorang calon dalam pilihan raya itu dan Hakim Pilihan Raya
atau Pendaftar Mahkamah Persekutuan itu melaporkan bahawa perbuatan
rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang itu telah dilakukan
dengan pegetahuan atau persetujuannya atau oleh ejennya.
(4) Suruhanjaya Pilihan Raya atau Pihak Berkuasa Negeri (mengikut
mana-mana yang berkenaan) hendaklah menyebabkan suatu salinan laporan
itu disiarkan dalam Warta, dan menjadi kewajipan tiap-tiap pegawai
pendaftaran membaca laporan itu dengan segera dan memotong dengan
segera daripada daftar atau senarai pemilih yang diuntukkan kepadanya
nama tiap-tiap orang yang didapati dariapada laporan itu sebagai
tidak boleh mengundi dalam sesuatu pilihan raya.
Masa untuk pengemukaan
38. (1) Tiap-tiap Petisyen pilihan raya hendaklah dikemukakan dalam
tempoh dua puluh satu hari dari tarikh keputusan pilihan raya itu
disiarkan dalam Warta:
Dengan syarat bahawa-
(a) sesuatu Petisyen pilihan raya yang mempersoalkan
lapor pilihan atau pemilihan atas alasan sesuatu perbuatan rasuah
dan dengan khususnya mengatakan bahawa pembayaran wang atau perbuatan
lain telah dibuat atau dilakukan semenjak tarikh yang tersebut
dahulu oleh orang yang pemilihannya dipersoalkan atau oleh seseorang
ejen orang itu atau dengan pengetahuan orang itu atau ejen pilihan
rayanya pada menurut atau pada melaksanakan perbuatan rasuah itu
boleh, setakat yang berkenaan dengan perbuatan rasuah itu, dikemukakan
pada bila-bila masa dalam tempoh dua puluh lapan hari selepas
tarikh pembayaran atau perbuatan itu;
(b) sesuatu petisyen pilihan raya yang mempersoalkan lapor pilihan
atau pemilihan atas suatu pengataan mengenai suatu perbuatan yang
menyalahi undang-undang boleh, setakat yang berkenaan dengan perbuatan
yang menyalahi undang-undang itu, dikemukakan dalam masa yang
berikut:
(i) pada bila-bila masa sebelum tamat empat belas
hari selepas tarikh penyiaran dalam Warta notis yang dikehendaki
oleh seksyen 24 tentang belanja pilihan raya bagi orang yang
pemilihannya dipersoalkan;
(ii) jika petisyen pilihan raya itu mengatakan secara khusus
bahawa pembayaran wang atau perbuatan lain telah dibuat atau
dilakukan semenjak tarikh tersebut oleh orang yang pemilihannya
dipersoalkan atau oleh seseorang ejen orang itu atau dengan
pengetahuan orang itu atau ejen pilihan rayanya pada menurut
atau pada melaksanakan perbuatan yang menyalahi undang-undang
yang dikatakan di dalam
petisyen pilihan raya itu, maka petisyen itu boleh dikemukakan
pada bila-bila masa dalam tempoh dua puluh lapan hari selepas
sahaja tarikh pembayaran atau lain-lain perbuatan itu.
(2) Sesuatu petisyen pilihan raya yang dikemukakan dalam masa yang
sepatutnya boleh, bagi maksud mempersoalkan lapor pilihan atau pemilihan
atas suatu pengataan mengenai suatu perbuatan rasuah atau perbuatan
yang menyalahi undang-undang, dipinda dengan kebenaran seorang Hakim
Mahkarnah Tinggi dalam masa sesuatu petisyen pilihan raya mempersoalkan
lapor pilihan atau pemilihan atas alasan itu boleh dikemukakan.
(3) Bagi maksud seksyen ini, jika ada maaf yang dibenarkan kerana
gagal membuat dan menghantar penyata dan pernyataan berkenaan dengan
belanja pilihan raya, tarikh pemberian maaf itu atau, jika ada kegagalan
tentang dua atau lebih butir dan maaf itu telah diberi pada masa
yang berlainan, maka tarikh pemberian maaf yang terakhir itu hendaklah
menggantikan tarikh penyiaran notis yang disebutkan dalam proviso
kepada perenggan (1) (b).
Larangan mengenai pendedahan undi
39. Tiada seorang pun pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana
pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan
pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.
Undi hendaklah dipotong dalam suatu tafahus
40. (1) Atas sesuatu tafahus dalam perbicaraan sesuatu petisyen
pilihan raya hanya undi yang berikut sahaja boleh dipotong:
(a) undi mana-mana orang yang namanya tidak ada dalam
daftar atau dalam senarai pemilih yang diuntukkan bagi tempat
mengundi di mana undi itu telah direkodkan atau yang telah tidak
dibenarkan mengundi di tempat mengundi itu;
(b) undi mana-mana orang yang undinya telah diperolehi melalui
penyogokan, penjamuan atau pengaruh tak wajar;
(c) undi mana-mana eorang yang telah melakukan atau mendapatkan
pelakuan menyamar dalam pilihan raya itu;
(d) jika pilihan raya itu adalah suatu pilihan raya biasa, undi
mana-mana orang yang telah dibuktikan sebagai telah mengundi dalam
pilihan raya biasa itu dalam lebih daripada satu bahagian pilihan
raya atau kawasan pilihan raya;
(e) undi mana-mana orang yang tidak boleh mengundi dalam pilihan
raya itu oleh sebab suatu sabitan atas perbuatan rasuah atau perbuatan
yang menyalahi undang-undang atau oleh sebab laporan seorang Hakim
Pilihan Raya atau Pendaftar Mahkamah Persekutuan atau oleh sebab
sabitan bagi sesuatu kesalahan di bawah seksyen 3; dan
(f) undi yang diberikan untuk seseorang calon yang hilang kelayakan
oleh seseorang pengundi yang mengetahui bahawa calon itu telah
hilang kelayakan atau fakta yang menyebabkan hilang kelayakan
itu, atau selepas notis awam yang memadai mengenai hilang kelayakan
itu atau fakta-fakta yang menyebabkannya adalah nyata diketahui
ramai.
(2) Undi seseorang pengundi berdaftar tidak boleh, kecuali dalam
hal yang dinyatakan dalam subseksyen (1)(e), dipotong dalam sesuatu
tafahus semata-mata oleh sebab pengundi itu telah tidak atau adalah
tidak layak mendapatkan namanya dicatatkan dalam daftar atau senarai
pemilih.
(3) (Dipotong oleh Akta A1177).
Penolakan kertas undi oleh pegawai pengurus atau ketua tempat
mengundi adalah muktamad
41. Mengenai sesuatu petisyen pilihan raya, keputusan seseorang
pegawai pengurus atau ketua tempat mengundi, sama ada atau tidak
sesuatu kertas undi hendak ditolak, di bawah mana-mana undang-undang
bertulis berhubungan dengan pilihan raya itu, tidak boleh dipersoalkan.
Tatacara dan amalan mengenai petisyen pilihan raya
42. (1) Tatacara dan amalan mengenai petisyen pilihan raya hendaklah
dikawal selia oleh kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 yang
diperuntukkan dalam Jadual Kedua.
(2) Apabila apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam
Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954, Kaedah-Kaedah Mahkamah
Tinggi 1980, [P.U.(A)50/1980] hendaklah terpakai.