| |
| UNDANG-UNDANG
MALAYSIA
Akta 5
AKTA KESALAHAN PILIHANRAYA 1954
|
|
BAHAGIAN V
MAAF KERANA PERBUATAN RASUAH ATAU
PERBUATAN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG
|
Laporan yang membebaskan calon dalam perbuatan rasuah dan perbuatan
yang menyalahi undang-undang tertentu yang dilakukan oleh ejen
28.
Jika, selepas perbicaraan sesuatu petisyen pilihan raya berkenaan
dengan sesuatu pilihan raya, Hakim Pilihan Raya melaporkan bahawa
seseorang calon pilihan raya itu telah bersalah melalui ejennya
atas kesalahan menjamu atau pengaruh tidak wajar atau atas apa-apa
perbuatan rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang
yang lain berhubungan dengan pilihan raya itu, dan Hakim Pilihan
Raya itu selanjutnya melaporkan, selepas memberi Peguam Negara,
atau dalam hal sesuatu pilihan raya bagi Dewan Undangan di Sabah
dan Sarawak, Peguam Besar Negeri, peluang untuk didengar, bahawa
calon itu telah membuktikan kepada Mahkamah-
(a)
bahawa tiada apa-apa perbuatan rasuah atau perbuatan yang
menyalahi undang-undang telah dilakukan dalam pilihan raya
itu oleh calon itu atau oleh ejen pilihan rayanya dan kesalahan
yang disebutkan dalam laporan tersebut telah dilakukan berlawanan
dengan perintah dan tanpa persetujuan atau pembiaran calon
itu atau ejen pilihan rayanya;
(b) bahawa calon itu atau ejen pilihan rayanya telah mengambil
segala langkah yang munasabah bagi mencegah berlakunya perbuatan
rasuah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang dalam pilihan
raya itu;
(c) bahawa kesalahan yang disebutkan dalam laporan tersebut
adalah daripada jenis remeh, tidak penting dan terhad; dan
(d) bahawa dalam segala perkara lain pilihan raya itu telah
bebas daripada apa-apa perbuatan rasuah atau perbuatan yang
menyalahi undang-undang di pihak calon itu dan ejennya,
maka pemilihan
calon itu tidaklah terbatal oleh sebab kesalahan yang disebut
dalam laporan itu dan juga calon itu tidaklah tertakluk kepada
apa-apa ketidakupayaan di bawah Akta ini.
Kuasa bagi mengecualikan perbuatan tidak salah daripada
menjadi perbuatan yang
menyalahi undang-undang, dsb.
29. Jika, atas permohonan yang dibuat, dibuktikan kepada seseorang
Hakim Pilihan Raya atau kepada seorang Hakim Mahkamah Tinggi
dengan apa-apa keterangan yang difikirkan memadai oleh Hakim
itu-
(a) bahawa
apa-apa perbuatan atau peninggalan seseorang calon dalam mana-mana
pilihan raya, atau di pihak ejen pilihan rayanya atau mana-mana
ejen atau orang lain, akan, oleh kerana pembayaran sejumlah
wang atau pelakuan belanja lebih daripada amaun maksimum yang
dibenarkan oleh Akta ini, atau oleh sebab pembayaran, pengambilan
bertugas, pengambilan kerja, atau kontrak berlanggaran dengan
Akta ini, atau oleh kerana selainnya berlanggaran dengan mana-mana
peruntukan Akta ini, menjadi, jika tidak kerana seksyen ini,
suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang; dan
(b) bahawa mana-mana perbuatan atau peninggalan itu telah
terbit daripada ketidaksengajaan atau daripada salah kiraan
yang tidak sengaja atau daripada sesuatu sebab lain yang munasabah
yang seumpamanya, dan, dalam apa-apa hal, tidak terbit daripada
apa-apa ketiadaan suci hati,
dan dalam hal keadaan
yang pada pendapat Hakim itu, selepas memberi calon-calon, pegawai
pengurus, dan mana-mana pemilih di dalam bahagian pilihan raya
atau kawasan pilihan raya itu peluang untuk didengar adalah
patut supaya calon yang berkenaan dan pilihan raya tersebut
dan ejen dan orang lain, atau mana-mana, daripada mereka, tidak
tertakluk kepada mana-mana daripada akibat di bawah Akta ini
akan perbuatan atau peninggalan tersebut, maka Hakim itu bolehlah
membuat suatu perintah membenarkan perbuatan atau peninggalan
itu sebagai suatu kecualian daripada peruntukan Akta ini yang
akan, jika tidak, menjadikannya suatu perbuatan, pembayaran,
pengambilan kerja atau penyewaan yang menyalahi undang-undang,
dan dengan itu calon, ejen atau orang itu tidaklah tertakluk
kepada mana-mana akibat di bawah Akta ini bagi perbuatan atau
peninggalan tersebut.
Maaf yang dibenarkan kerana tidak mematuhi peruntukan
tentang penyata dan akuan berkenaan dengan belanja pilihan raya
30. (1) Jika penyata dan pernyataan berkenaan dengan belanja
pilihan raya seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya tidak
dihantar sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta ini, atau jika
dihantar tetapi mengandungi sesuatu kesilapan atau pernyataan
palsu, maka-
(a) jika calon itu memohon kepada seorang Hakim
Pilihan Raya atau seorang Hakim Mahkamah Tinggi dan menunjukkan
bahawa kegagalan menghantar penyata dan akuan-akuan itu, atau
mana-mana daripadanya, atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa
kesilapan atau pernyataan palsu di dalamnya, telah terbit
oleh kerana dia sakit, atau oleh kerana ejen pilihan rayanya
atau mana-mana kerani atau pegawai ejen itu tidak ada, mati,
sakit, cuai atau salah laku, atau oleh sebab ketidaksengajaan
atau apa-apa sebab munasabah yang seumpamanya, dan tidak oleh
sebab ketiadaan suci hati di pihak pemohon itu; atau
(b) jika ejen pilihan raya calon itu memohon kepada seorang
Hakim Pilihan Raya atau seorang Hakim Mahkamah Tinggi dan
menunjukkan bahawa kegagalan menghantar penyata dan pernyataan
yang dikehendaki dihantar olehnya itu, atau mana-mana bahagiannya,
atau apa-apa kesilapan atau pernyataan palsu di dalamnya,
telah terbit oleh kerana dia sakit atau oleh sebab seseorang
ejen pilihan raya yang dahulu bagi calon itu mati, sakit,
cuai atau salah laku, atau oleh sebab mana-mana kerani atau
Pegawai ejen pilihan raya bagi calon itu tidak ada, mati,
sakit atau salah laku atau oleh sebab ketidaksengajaan atau
apa-apa sebab munasabah yang seumpamanya, dan tidak oleh sebab
ketiadaan suci hati pada pihak pemohon itu.
maka Hakim itu bolehlah, selepas notis mengenai permohonan itu,
dan selepas dikemukakan apa-apa keterangan mengenai alasan-alasan
yang dinyatakan dalam permohonan itu dan mengenai ketulusan
permohonan itu, dan selainnya, sebagaimana yang difikirkan patut
oleh Hakim itu, dan selepas memberi lain-lain calon, Pegawai
Pilihan Raya Negeri dan mana-mana pemilih dalam bahagian pilihan
raya atau kawasan pilihan raya itu peluang untuk didengar, membuat
sesuatu perintah memberi maaf yang dibenarkan kerana kegagalan
menghantar penyata dan pernyataan itu, atau kerana sesuatu kesilapan
atau pernyataan palsu di dalam penyata dan -pernyataan itu,
sebagaimana yang difikirkan adil oleh Hakim itu.
(2) Jika pada hemat Hakim itu mana-mana orang, yang merupakan
seorang ejen pilihan raya atau seorang yang telah menjadi ejen
pilihan raya, telah enggan atau tidak membuat sesuatu penyata
atau memberi apa-apa butir yang membolehkan calon itu dan ejen
pilihan rayanya mematuhi peruntukan Akta ini tentang penyata
dan pernyataan berkenaan dengan belanja pilihan raya, Hakim
itu sebelum membuat suatu perintah memberi maaf sebagaimana
disebutkan dalam seksyen ini bendaklah memerintahkan orang itu
supaya hadir di hadapan Hakim itu, dan hendaklah, melainkan
jika dia hadir dan menunjukkan sebab-sebab sebaliknya, memerintahkannya
supaya membuat penyata dan pernyataan itu, atau supaya menyerahkan
suatu penyataan mengenai butir-butir yang dikehendaki dinyatakan
di dalam penyata itu, sebagaimana yang difikirkan adil oleh
Hakim, dan supaya mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan
oleh Hakim itu, atau Hakim itu boleh memerintahkan supaya dia
diperiksa berkenaan dengan butir-butir itu, dan jika sekiranya
mana-mana perintah itu tidak dipatuhi, maka orang itu adalah
bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
(3) Perintah itu boleh menjadikan pemberian maaf itu tersyarat
kepada pembuatan penyata dan pernyataan di dalam bentuk yang
diubahsuai atau dalam masa yang dilanjutkan, dan kepada pematuhan
apa-apa syarat lain yang pada pendapat Hakim itu dikira paling
baik untuk melaksanakan tujuan Akta ini, dan suatu perintah
memberi maaf yang dibenarkan adalah melepaskan,pemohon perintah
itu daripada apa-apa liabiliti atau -akibat di bawah Akta ini
berkenaan dengan perkara yang dimaafkan oleh perintah itu; dan
jika calon itu membuktikan kepada Hakim itu bahawa apa-apa perbuatan
atau peninggalan di pihak ejen pilihan raya berhubungan dengan
penyata dan pernyataan berkenaan dengan belanja pilihan raya
telah berlaku tanpa saksi atau pembiaran oleh calon itu, dan
bahawa calon itu telah mengambil segala langkah yang munasabah
bagi mencegah perbuatan atau ketinggalan itu, Hakim itu hendaklah
melepaskan calon itu daripada akibat perbuatan atau peninggalan
di pihak ejen pilihan rayanya.
(4) Tarikh perintah itu, atau, jika syarat dan terma dikehendaki
dipatuhi, tarikh pemohon itu mematuhi syarat dan terma itu dengan
sepenuhnya adalah disebutkan dalam Akta ini sebagai tarikh pemberian
maaf itu.
Tempoh pembuatan permohonan untuk mendapatkan maaf
30A. Sesuatu permohonan untuk mendapatkan maaf yang dibenarkan
di bawah seksyen 30 hendaklah dibuat sebelum tamat tempoh tiga
puluh satu hari yang dinyatakan dalam seksyen 23 dan suatu salinan
permohonan itu hendaklah disampaikan kepada Pegawai Pilihan
Raya Negeri.
|
| |
| |
| |
|