| |
| UNDANG-UNDANG
MALAYSIA
Akta 5
AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA 1954
|
BAHAGIAN IVA
PASUKAN PENGUAT KUASA
|
Tafsiran
berhubung dengan Bahagian ini
27A. Dalam Bahagian ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna
yang lain-
“calon” termasuklah ejen pilihan raya seseorang calon
dan mana-mana orang yang dilantik oleh calon atau ejen pilihan rayanya;
“kawasan kawalan”, berhubung dengan pasukan penguat
kuasa, ertinya kawasan yang disebut dalam seksyen 27D;
“wakil parti politik” ertinya wakil sesuatu parti politik
yang mengambil bahagian dalam pilihan raya itu, yang dilantik oleh
calon atau ejen pilihan rayanya untuk menganggotai pasukan penguat
kuasa di bawah perenggan 27C(1)(d) dan termasuklah penggantinya
yang dilantik di bawah subseksyen 27 F(4).
Penubuhan pasukan penguat kuasa
27B. Suruhanjaya Pilihan Raya boleh, jika difikirkan perlu oleh
Suruhanjaya itu, menubuhkan suatu pasukan penguat kuasa atau apa-apa
bilangan pasukan penguat kuasa bagi maksud memantau dan mengawal
aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.
Keanggotaan pasukan penguat kuasa
27C. (1) Pasukan penguat kuasa hendaklah terdiri daripada-
(a) pegawai penguat kuasa yang dilantik di bawah perenggan
3(d) Akta Pilihan Raya 1958;
(b) seorang wakil, yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor,
Pegawai Pemerintah bagi daerah polis dalam kawasan kawalan, atau
jika kawsan kawalan meliputi lebih daripada satu daerah polis,
Pegawai Pemerintah bagi setiap daerah polis itu;
(c) seorang wakil pihak berkuasa tempatan dalam kawasan kawalan,
atau jika kawasan kawalan meliputi lebih daripada satu kawasan
pihak berkuasa tempatan, setiap pihak berkuasa tempatan itu; dan
(d) seorang wakil parti politik yang dilantik secara bertulis
oleh calon atau ejen pilihan rayanya.
(2) Pegawai penguat kuasa yang disebut dalam perenggan (1)(a) hendaklah
menjadi ketua pasukan penguat kuasa.
Kawasan kawalan pasukan penguat kuasa
27D. Sesuatu pasukan penguat kuasa hendaklah melaksanakan fungsinya
dalam bahagian piihan raya Parlimen yang baginya pasukan itu ditubuhkan,
termasuklah bahagian pilihan raya Negeri dalam bahagian pilihan
raya Parlimen itu.
Fungsi pasukan penguat kuasa
27E. Fungsi pasukan penguat kuasa ialah-
(a) membuat rondaan, dan memantau aktiviti calon, dalam
kawasan kawalannya untuk memastikan bahawa undang-undang bertulis
yang berhubungan dengan pilihan raya dipatuhi;
(b) menurunkan atau menyebabkan supaya diturunkan dengan serta-merta
apa-apa bahan kempen dalam kawasan kawalannya yang melanggar atau
tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan
dengan pilihan raya;
(c) memberhentikan atau menyebabkan supaya diberhentikan apa-apa
ucapan atau syarahan awam terbuka yang diadakan dalam kawasan
kawalannya yang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana undang-undang
bertulis yang berhubungan dengan pilihan raya, dan, jika perlu
untuk menahan mana-mana orang yang terlibat dengan ucapan atau
syarahan awam terbuka itu, meminta pegawai polis menahan orang
itu; dan
(d) mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan mana-mana aktiviti
berkempen yang dinyatakan dalam mana-mana undang-undang bertulis
yang berhubungan dengan pilihan raya dalam kawasan kawalannya.
Pelantikan wakil parti politik
27F. (1) Bagi maksud perenggan 27C(1)(d), seseorang calon atau ejen
pilihan rayanya hendaklah memberitahunkan secara bertulis nama wakil
parti politik yang dilantik olehnya atau ejen pilihan rayanya kepada
pengurus pada hari penamaan.
(2) Tertakluk kepada subseksyen (4), orang yang dilantik sebagai
wakil parti politik hendaklah kekal sebagai wakil sedemikian sepanjang
tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.
(3) Pegawai pengurus hendaklah memberikan notis bertulis kepada
tiap-tiap wakil parti yang dilantik untuk memberitahunya supaya
hadir pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam notis itu untuk
menjalankan tugasnya sebagai anggota pasukan penguat kuasa itu.
(4) Jika orang yang dilantik sebagai wakil parti politik itu mati,
sakit atau oleh apa-apa sebab lain tidak berupaya untuk menjalankan
tugasnya sebagai anggota pasukan penguat kuasa, calon itu atau ejen
pilihan rayanya boleh melantik seorang lain untuk menggantikan orang
yang mula-mula disebut itu sebagai wakil parti politik dan hendaklah
dengan segera memberitahukan nama pengganti itu kepada pegawai pengurus.
(5) Jika seseorang wakil parti politik tidak hadir pada masa dan
di tempat yang dinyatakan dalam notis yang diberikan oleh pegawai
pengurus di bawah subseksyen (3), pasukan penguat kuasa hendaklah
terus melaksanakan fungsinya tanpa kehadiran wakil itu dan apa-apa
keputusan yang dibuat oleh anggota pasukan penguat kuasa yang hadir
hendaklah disifatkan telah dipersetujui oleh anggota yang tidak
hadir itu.
Keputusan pasukan penguat kuasa
27G. (1) Tiap-tiap keputusan atau tindakan yang hendak dibuat oleh
pasukan penguat kuasa dalam melaksanakan fungsinya hendaklah dibuat
secara persetujuan bersama di kalangan semua anggota pasukan penguat
kuasa yang hadir.
(2) Jika suatu persetujuan bersama tidak boleh didapatkan di kalangan
semua anggota pasukan penguat kuasa yang hadir, maka ketua pasukan
penguat kuasa hendaklah mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa keputusan
atau untuk mengarahkan supaya apa-apa tindakan diambil oleh pasukan
penguat kuasa itu.
(3) Sebelum membuat apa-apa keputusan atau mengeluarkan apa-apa
arahan di bawah subseksyen (2), ketua pasukan penguat kuasa hendaklah
terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada Pegawai Pilihan Raya
Negeri, atau jika Pegawai Piihan Raya Negeri tiada, daripada pegawai
pengurus.
(4) Keputusan atau arahan ketua pasukan penguat kuasa adalah muktamad
dan mengikat semua anggota pasukan penguat kuasa.
(5) Tiada keputusan atau tindakan yang dibuat oleh pasukan penguat
kuasa boleh dipersoalkan atas alasan bahawa terdapatnya ketidakhadiran
mana-mana anggota pasukan penguat kuasa.
Aduan kepada pegawai pengurus
27H. (1) Tertakluk kepada subseksyen (2), mana-mana orang atau parti
politik boleh membuat apa-apa aduan mengenai aktiviti seseorang
calon semasa tempoh berkempen kepada pegawai pengurus.
(2) Pegawai pengurus itu hendaklah mengarahkan pasukan penguat kuasa
supaya membuat rondaan dalam kawasan yang berkenaan dengannya aduan
itu dibuat bagi maksud memastikan bahawa undang-undang bertulis
yang berhubungan dengan piihan raya dipatuhi.
|
| |
| |
| |
|