| |
| UNDANG-UNDANG
MALAYSIA
Akta 5
AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA 1954
|
BAHAGIAN IV
EJEN PILIHAN RAYA, BELANJA PILIHAN RAYA DAN
PERBUATAN-PERBUATAN YANG MENYALAHI
UNDANG-UNDANG
|
Penamaan ejen pilihan raya
12. (1) Pada atau sebelum hari penamaan dalam sesuatu pilihan raya,
seorang hendaklah dinamakan secara bertulis oleh atau bagi pihak
setiap calon sebagai ejennya untuk pilihan raya itu.
(2) Seseorang calon boleh menamakan dirinya sendiri sebagai ejen
pilihan raya, dan dengan itu, setakat mana keadaan membenarkan,
dia hendaklah tertakluk kepada Akta ini, sebagai seorang calon dan
sebagai seorang ejen pilihan raya kedua-duanya, dan apa-apa sebutan
dalam Akta ini mengenai seseorang ejen pilihan raya hendaklah ditafsirkan
sebagai sebutan mengenai calon yang bertindak atas sifatnya sebagai
ejen pilihan raya.
(3) Pada atau sebelum hari penamaan, nama dan alamat ejen pilihan
raya bagi setiap calon hendaklah diisytiharkan secara bertulis oleh
calon itu atau oleh seseorang lain bagi pihaknya kepada pegawai
pengurus, dan pegawai pengurus hendaklah segera memberi pemberitahuan
awam mengenai nama dan alamat tiap-tiap ejen pilihan raya yang diisytiharkan
sedemikian dengan menampalkan suatu notis di suatu tempat yang mudah
dilihat di luar pejabatnya.
(4) Hanya seorang ejen pilihan raya sahaja hendaklah dilantik bagi
setiap calon, tetapi perlantikan itu, sama ada ejen pilihan raya
yang dilantik itu adalah calon itu sendiri atau tidak, boleh dibatalkan
dan dalam hal pembatalan sedemikian atau kematian ejen pilihan raya
itu, sama ada hal itu berlaku sebelum, dalam masa atau selepas pilihan
raya itu, maka seorang ejen pilihan raya yang lain hendaklah segera
dilantik, dan nama dan alamatnya diisytiharkan secara bertulis kepada
pegawai pengurus dan pegawai pengurus itu hendaklah segera memberi
notis awam mengenainya mengikut cara yang tersebut dahulu.
(5) Jika tiada nama dan alamat seseorang telah diisytiharkan sebagaimana
yang dikehendaki oleh subseksyen (3), maka calon itu hendaklah disifatkan
pada masa itu sebagai telah menamakan dirinya sendiri sebagai ejen
pilihan raya dan sebagai telah membatalkan apa-apa perlantikan seorang
lain sebagai ejen pilihan rayanya.
(5A) Sehingga nama dan alamat seorang ejen pilihan raya yang lain
telah diisytiharkan sebagaimana yang dikehendaki oleh subseksyen
(4), calon itu hendaklah disifatkan, dari masa pembatalan perlantikan
ejen pilihan raya yang berkenaan itu atau dari masa kematiannya,
sebagai telah melantik dirinya sendiri sebagai ejen pilihan raya.
(6) Tiap-tiap ejen pilihan raya hendaklah mempunyai, dalam bahagian
pilihan raya yang baginya dia ialah seorang ejen pilihan raya, suatu
pejabat yang kepadanya semua tuntutan, notis, writ, saman dan dokumen
boleh dihantar dan alamat pejabat itu hendaklah diisytiharkan pada
masa yang sama dengan pelantikan ejen kepada pegawai pengurus, dan
hendaklah dinyatakan dalam pemberitahuan awam di bawah subseksyen
(3) bersama dengan nama ejen pilihan raya itu dan alamatnya.
(6A) Jika seseorang calon itu disifatkan di bawah subseksyen (5)
atau (5A) sebagai ejen pilihan rayanya sendiri, maka alamat surat-menyurat,
sebagaimana yang dinyatakan dalam kertas penamaannya, hendaklah
disifatkan bagi maksud subseksyen (6) sebagai alamat pejabatnya
sebagai ejen pilihan raya.
Hilang kelayakan untuk dilantik sebagai ejen pilihan raya,
dsb.
13. (1) Tertakluk kepada seksyen 12 (2), seseorang adalah hilang
kelayakan untuk dilantik sebagai seorang ejen pilihan raya, ejen
tempat mengundi atau ejen mengira jika-
(a) dia bukan seorang warganegara;
(b) dia berumur kurang daripada dua puluh satu tahun;
(c) dia telah, dalam tempoh lima tahun sebaik sebelum hari penamaan
dalam pilihan raya itu, disabitkan atas apa-apa kesalahan berkenaan
dengan keganasan atau kecurangan oleh suatu mahkamah undang-undang
di mana-mana bahagian Malaysia dan dia belum mendapat pengampunan
bebas;
(d) dia telah, dalam tempoh lima tahun sebaik sebelum hari penamaan
dalam pilihan raya itu, disabitkan atas apa-apa kesalahan atau
telah dilepaskan dari penjara setelah menjalani hukuman pemenjara
kerana apa-apa kesalahan dibawah Akta ini;
(e) dia adalah seorang yang namanya didaftarkan di bawah Akta
Pencegahan Jenayah 1959 [Akta 297];
(f) dia telah, dalam tempoh lima tahun sebaik sebelum sahaja hari
penamaan dalam pilihan raya itu, disabitkan atas sesuatu kesalahan
di bawah seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335], atau
di bawah peruntukan yang bersamaan dalam mana-mana undang-undang
lain berhubungan dengan pertubuhan yang berkuat kuasa, dalam hal
pilihan raya di Sabah dan Sarawak, di mana-mana bahagian Malaysia,
dan mengenai sesuatu pilihan raya di Semenanjung Malaysia, di
mana-mana bahagian Malaysia atau Republik Singapura;
(g) dia ialah seorang yang mengenainya suatu perintah telah dibuat
di bawah seksyen 66(4) Akta Pertubuhan 1966, atau di bawah peruntukan
yang bersamaan dalam mana-mana undang-undang lain berhubungan
dengan pertubuhan yang berkuat kuasa, dalam hal sesuatu pilihan
raya di Sabah dan Sarawak, di mana-mana bahagian Malaysia atau,
mengenai sesuatu pilihan raya di Semenanjung Malaysia, di mana-mana
bahagian Malaysia atau Republik Singapura; atau
(h) dia adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan.
(1A) Dalam subseksyen (1) (c), (f) dan (g), "bahagian Malaysia"
ertinya mana-mana tempat yang menjadi sebahagian daripada Malaysia,
atau yang pada tarikh sabitan atau perintah yang tersebut dalamnya
itu menjadi sebahagian daripada Malaysia.
(2) Tiada pun pegawai, kerani, jurubahasa atau orang lain yang
mempunyai apa-apa tugas untuk dilakukan menurut mana-mana undang-undang
bertulis berhubungan dengan mana-mana pilihan raya boleh dilantik
sebagai seorang ejen pilihan raya atau bertindak sebagai seorang
ejen calon dalam menjalankan atau menguruskan mana-mana pilihan
raya.
Membuat pelantikan dan kontrak melalui ejen pilihan raya
14. (1) Ejen pilihan raya seseorang calon hendaklah dalam sesuatu
pilihan raya-
(a) melantik tiap-tiap ejen tempat mengundi, ejen mengira,
kerani dan pengutus yang diambil bekerja, sama ada dengan bayaran
atau tidak, bagi pihak calon itu;
(b) menyewa tiap-tiap bilik jawatankuasa yang disewa bagi pihak
calon itu;
(c) memberitahu ketua tempat mengundi di setiap tempat mengundi
secara bertulis nama dan alamat –
(i) ejen atau ejen-ejen tempat mengundi yang dilantik untuk bertugas
di tempat itu; dan
(ii) ejen atau ejen-ejen mengira yang dilantik untuk menghadiri
pengiraan undi di tempat itu; dan
(d) memberitahu pegawai pengurus bagi bahagian pilihan raya atau
kawasan pilihan raya yang berkenaan secara bertulis akan nama
dan alamat ejen atau ejen-ejen mengira yang dilantik untuk menghadiri
pengiraan undi pengundi pos dan penjumlahan rasmi undi.
(1A) Tiap-tiap ejen tempat mengundi atau ejen mengira seseorang
calon yang dilantik di bawah subseksyen (1) hendaklah bertugas
atau hadir di tempat mengundi atau hendaklah menghadiri pengiraan
undi di tempat mengundi itu sekurang-kurangnya selama dua jam
dan penggantinya hanya boleh masuk ke tempat mengundi itu apabila
tamat tempoh dua jam itu.
(2) Sesuatu kontrak yang menurutnya apa-apa belanja adalah dilakukan
kerana atau berkenaan dengan penjalanan atau pengurusan sesuatu
pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan terhadap seseorang calon
dalam pilihan raya itu, melainkan jika kontrak itu dibuat oleh
calon itu sendiri atau oleh ejen pilihan rayanya:
Dengan syarat bahawa ketidakbolehan dibawah seksyen ini untuk
menguatkuasakan kontrak itu terhadap calon itu tidak boleh melepaskan
calon itu daripada akibat apa-apa perbuatan rasuah atau apa-apa
perbuatan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh ejennya.
Pembayaran belanja melalui ejen pilihan raya
15. (1) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan oleh atau pada menurut
Akta ini, tiada apa-apa pembayaran dan tiada apa-apa pendahuluan
atau deposit boleh dibuat oleh seseorang calon dalam sesuatu pilihan
raya, atau oleh mana-mana orang lain pada bila-bila masa, sama ada
sebelum, semasa, atau selepas pilihan raya itu, mengenai apa-apa
belanja yang dilakukan kerana atau berkenaan dengan penjalanan atau
pengurusan pilihan raya itu melainkan oleh atau melalui ejen pilihan
raya calon itu; dan segala wang yang diperuntukkan oleh mana-mana
orang, selain daripada calon itu, bagi apa-apa belanja yang dilakukan
kerana atau berkenaan dengan penjalanan atau pengurusan pilihan
raya itu, sama ada sebagai pemberian, pinjaman, pendahuluan, atau
deposit, hendaklah dibayar kepada calon itu atau ejen pilihan raya
dan tidak selainnya:
Dengan syarat bahawa subseksyen ini tidak boleh disifatkan sebagai
dipakai bagi apa-apa pembayaran yang dibuat oleh pegawai pengurus
atau bagi apa-apa jumlah wang dibayar oleh mana-mana orang daripada
wangnya sendiri bagi apa-apa belanja kecil yang dilakukan dengan
sah di sisi undang-undang olehnya sendiri, jika jumlah wang itu
tidak dibayar balik kepadanya.
(2) Seseorang yang membuat apa-apa pembayaran, pendahuluan, atau
deposit berlanggaran dengan seksyen ini atau yang membayar berlanggaran
dengan seksyen ini apa-apa wang yang diperuntukkan sebagaimana tersebut
terdahulu adalah bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Larangan mengenai belanja tertentu semasa tempoh berkempen
15A. (1) Tiada apa-apa belanja boleh, dengan tujuan untuk menganjur
atau mendapatkan seseorang calon dipilih, dilakukan semasa tempoh
berkempen, oleh mana-mana orang selain calon itu, ejen pilihan rayanya
dan orang yang dibenarkan secara bertulis oleh ejen pilihan raya
itu kerana-
(a) mengadakan, memanggil atau menganjurkan apa-apa
perjumpaan awam terbuka, perhimpuanan awam terbuka atau hiburan
awam terbuka, atau memberikan ucapan atau syarahan awam terbuka;
(b) mencetak atau mengeluarkan iklan-iklan, pekeliling atau terbitan;
atau
(c) selainnya mengemukakan calon itu atau pendapat-pendapatnya
atau takat atau jenis penyokongannya, atau mencaci seorang calon
lain, kepada pemilih-pemilih:
Dengan syarat bahawa perenggan ini tidak boleh
(i) menyekat penerbitan dalam sesuatu akhbar atau
majalah berkala yang lain mengenai apa-apa perkara berhubungan
dengan pilihan raya itu;
(ii) dipakai bagi belanja yang dilakukan oleh mana-mana orang
kerana perjalanan atau kerana tidak tinggal di rumahnya, atau
bagi belanja sendiri yang seumpamanya.
(2) Jika seseorang melakukan apa-apa belanja yang dikehendaki dibenarkan
oleh seseorang ejen pilihan raya di bawah subseksyen (1), dia hendaklah
dalam tempoh empat belas hari selepas keputusan pilihan raya itu
disiarkan dalam Warta, menghantar sesuatu penyata kepada ejen pilihan
raya itu, disertai dengan suatu akuan yang dibuat olehnya (atau
dalam hal sesuatu persatuan atau kumpulan orang, oleh pengarah,
pengurus besar, setiausaha atau pegawai lain yang seumpamanya persatuan
atau kumpulan orang itu) yang mengesahkan penyata itu memberi butir-butir
mengenai perkara yang baginya belanja itu telah dilakukan:
Dengan syarat bahawa subseksyen ini tidak boleh terpakai bagi mana-mana
orang yang diambil bertugas atau diambil kerja dengan bayaran atau
dengan janji akan diberi bayaran oleh calon itu atau ejen pilihan
rayanya.
(3) Belanja yang ditunjukkan dalam penyata yang tersebut dalam subseksyen
(2) hendaklah dimasukkan ke dalam penyata yang dibuat oleh ejen
pilihan raya itu mengikut seksyen 23 (1), dan kebenaran yang diterima
daripada ejen pilihan raya itu hendaklah dilampirkan kepada penyata
itu dan disifatkan sebagai menjadi sebahagian daripadanya.
(4) Mana-mana orang yang melakukan apa-apa belanja berlanggaran
dengan seksyen ini, atau yang membuat apa-apa akuan yang dikehendaki
oleh subseksyen (2) yang palsu dan yang dia sama ada ketahui atau
percayai sebagai palsu atau tidak percaya sebagai benar, adalah
bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Tempoh bagi menghantar tuntutan dan membuat pembayaran bagi
belanja pilihan raya
16. (1) Tiap-tiap pembayaran yang dibuat oleh seseorang ejen pilihan
raya berkenaan dengan apa-apa belanja yang dilakukan kerana atau
berkenaan dengan penjalanan dan pengurusan sesuatu pilihan raya
hendaklah diakui dengan suatu bil menyatakan butir-butirnya dan
dengan suatu resit, kecuali jika kurang daripada sepuluh ringgit
atau jika, oleh sebab keadaan hal itu, seperti perjalanan dengan
keret api atau bayaran pos, resit tidak boleh didapati.
(2) Tiap-tiap tuntutan terhadap seseorang calon dalam sesuatu pilihan
raya atau terhadap ejen pilihan rayanya mengenai apa-apa belanja
yang dilakukan kerana atau berkenaan dengan penjalanan atau pengurusan
pilihan raya itu, yang tidak dihantar kepada ejen pilihan raya dalam
masa yang dihadkan oleh Akta ini, adalah dihalang dan tidak boleh
dibayar; dan tertakluk kepada apa-apa kecualian sebagaimana yang
dibenarkan menurut Akta ini, seseorang ejen pilihanraya yang membayar
sesuatu tuntutan berlanggaran dengan seksyen ini adalah bersalah
atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
(3) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan oleh Akta ini, masa yang
dihadkan oleh Akta ini untuk menghantar tuntutan ialah empat belas
hari selepas tarikh keputusan pilihan raya itu disiarkan dalam Warta.
(4) Segala belanja yang dilakukan oleh atau bagi pihak seseorang
calon dalam sesuatu pilihanraya, dan yang dilakukan kerana atau
berkenaan dengan penjalanan atau pengurusan pilihan raya itu, hendaklah
dibayar dalam masa yang dihadkan oleh Akta ini; dan,tertakluk kepada
apa-apa kecualian sebagaimana yang dibenarkan menurut Akta ini,
seseorang ejen pilihan raya yang membuat sesuatu pembayaran berlanggaran
dengan peruntukan ini adalah bersalah atas suatu perbuatan yang
menyalahi undang-undang.
(5) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan oleh Akta ini, masa yang
dihadkan oleh Akta ini untuk membayar belanja yang disebut trdahulu
ialah dua puluh lapan hari selepas tarikh keputusan pilihan raya
itu disiarkan dalam Warta.
(6) Jika telah dibuktikan oleh seseorang calon dengan memuaskan
hati Hakim Pilihan raya bahawa apa-apa pembayaran yang dibuat olch
seseorang ejen pilihan raya berlanggaran dengan seksyen ini telah
dibuat tanpa persetujuan atau pembiaran calon itu, maka pemilihan
calon itu tidak boleh terbatal dan juga calon itu tidak boleh tertakluk
kepada apa-apa ketidakupayaan di bawah Akta ini semata-mata oleh
sebab pembayaran itu telah dibuat berlanggaran dengan seksyen ini.
(7) Jika mengenai apa-apa tuntutan yang dihantar kepada ejen pilihan
raya dalam masa yang dihadkan oleh Akta ini, ejen Pilihan raya itu
mempertikaikan tuntutan itu, atau enggan atau tidak membayarya dalam
tempoh dua puluh lapan hari yang tersebut itu, maka tuntutan itu
hendaklah disifatkan sebagai suatu tuntutan yang dipertikaikan.
(8) Pihak menuntut itu boleh, jika difikirkannya patut, membawa
suatu tindakan mengenai sesuatu tuntutan yang dipertikaikan dalam
mana-mana mahkamah yang berwibawa; dan apa-apa jumlah wang yang
dibayar oleh calon itu atau ejennya menurut penghakiman atau perintah
mahkamah itu hendaklah disifatkan sebagai dibayar dalam masa yang
dihadkan oleh Akta ini, dan sebagai suatu kecualian daripada peruntukan
Akta ini, yang menghendaki supaya tuntutan dibayar oleh ejen pilihan
raya.
(9) Apabila ditunjukkan sebab dengan memuaskan hati seseorang Hakim
Mahkamah Tinggi, Hakim itu boleh, atas permohonan yang dibuat oleh
pihak menuntut atau oleh calon itu atau ejen pilihan rayanya, dengan
perintah memberi kebenaran supaya sesuatu tuntutan untuk apa-apa
belanja yang disebut terdahulu dibayar oleh seseorang calon atau
ejen pilihan rayanya, walaupun tuntutan itu dihantar selepas masa
yang disebutkan dalam seksyen ini bagi menghantar tuntutan, atau
walaupun tuntutan itu telah dihantar kepada calon itu dan tidak
kepada ejen pilihan raya.
(10) Apa-apa jumlah wang yang dinyatakan dalam perintah kebenaran
itu boleh dibayar olch calon itu atau ejen pilihan rayanya; dan
apabila dibayar menurut kebenaran itu jumlah wang itu hendaklah
disifatkan sebagai dibayar dalam masa yang dihadkan oleh Akta ini.
Saraan ejen pilihan raya
17. Setakat mana hal keadaan membenarkan, Akta ini hendaklah dipakai
bagi sesuatu tuntutan saraan oleh seseorang ejen pilihan raya dan
bagi pembayaran tuntutan itu mengikut cara yang sama seolah-olah
dia adalah seseorang pemiutang lain, dan jika timbul apa-apa perbezaan
berkenaan dengan jumlah wang tuntutan itu, maka tuntutan itu hendaklah
menjadi suatu tuntutan yang dipertikaikan mengikut pengertian Akta
ini, dan hendaklah diuruskan dengan sewajarnya.
18. (Dipotong oleh Akta A5).
Belanja yang lebih daripada maksimum ialah perbuatan yang
menyalahi undang-undang
19. (1) Tertakluk kepada apa-apa kekecualian sebagaimana yang dibenarkan
menurut Akta ini, tiada wang yang boleh dibayar dan tiada belanja
boleh dilakukan oleh seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya
atau oleh ejen pilihan rayanya, selepas tarikh notis mengenai pilihan
raya itu disiarkan dalam Warta, semasa atau selepas sesuatu pilihan
raya, kerana atau berkenaan dengan penjalanan atau pengurusan pilihan
raya itu, yang lebih daripada-
(a) dua ratus ribu ringgit dalam hal sesuatu pilihan
raya bagi Dewan Rakyat;
(b) satu ratus ribu ringgit dalam hal sesuatu pilihan raya bagi
sesuatu Dewan Undangan;
(c) sepuluh ribu ringgit dalam hal sesuatu pilihan raya bagi sesuatu
pihak berkuasa tempatan selain sesuatu majlis tempatan;
(d) tiga ribu ringgit dalam hal sesuatu pilihanraya bagi sesuatu
majlis tempatan:
Dengan syarat bahawa perenggan (c) dan (d) tidak boleh terpakai
bagi Sabah dan Sarawak.
(2) Mana-mana calon atau ejen pilihan raya yang dengan diketahuinya
bertindak berlanggaran dengan seksyen ini adalah bersalah atas suatu
perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Belanja tertentu ialah perbuatan yang menyalahi undang-undang
20. (1) Tiada pembayaran atau kontrak untuk pembayaran boleh, bagi
maksud menganjur atau mendapatkan seseorang calon dipilih dalam
mana-mana pilihan raya, dibuat-
(a) kerana mengangkut pemilih atau pengundi ke atau
dari tempat mengundi, sama ada bagi menyewa kenderaan, vesel atau
apa-apa jua jenis binatang pengangkutan, atau bagi tambang keret
api, atau selainnya; atau
(b) kepada atau dengan seseorang pemilih atau pengundi kerana
menggunakan mana-mana rumah, tanah, bangunan, atau premis untuk
mempamerkan apa-apa alamat, bil, atau notis, atau kerana mempamerkan
apa-apa alamat bil atau notis.
(2) Tertakluk kepada apa-apa kekecualian sebagaimana yang dibenarkan
menurut Akta ini, jika sesuatu pembayaran atau kontrak pembayaran
adalah dengan diketahui dibuat berlanggaran dengan seksyen ini sama
ada sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya, maka orang
yang membuat pembayaran atau kontrak itu adalah bersalah atas suatu
perbuatan yang menyalahi undang-undang, dan mana-mana orang yang
menerima pembayaran itu atau yang menjadi suatu pihak dalam mana-mana
kontrak itu, dengan mengetahuinya sebagai berlanggaran dengan seksyen
ini, adalah juga bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
(3) Seseorang tidak boleh, bagi maksud mengangkut pemilih atau pengundi
ke atau dari tempat mengundi, menyewakan, meminjamkan atau menggunakan
apa-apa kenderaan, vesel atau apa-apa jua jenis binatang pengangkutan
yang disimpan atau digunakan olehnya bagi maksud untuk disewakan,
dan jika dia menyewakan, meminjamkan atau menggunakan kenderaan,
vesel atau binatang pengangkutan itu dengan mengetahui bahawa ia
adalah dimaksud untuk digunakan bagi mengangkut pemilih atau pengundi
ke atau dari tempat mengundi, maka orang itu adalah bersalah atas
suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
(4) Seseorang tidak boleh, bagi maksud mengangkut pemilih atau pengundi
ke atau dari tempat mengundi, menyewa, meminjam atau mengguna sesuatu
kenderaan, vesel atau apa-apa jua jenis binatang pengangkutan yang
dia ketahui bahawa pemunyanya adalah dilarang oleh subseksyen (3)
daripada menyewa, meminjamkan atau menggunakannya bagi maksud itu,
dan jika dia demikian, maka dia adalah bersalah atas suatu perbuatan
yang menyalahi undang-undang.
(5) Tiada apa-apa jua dalam subseksyen (3) atau (4) boleh menghalang
sesuatu kenderaan, vesel atau apa-apa jenis binatang pengangkutan
daripada disewakan, atau disewa, dipakai, atau digunakan oleh seseorang
pemilih atau beberapa orang pemilih atau pengundi atas perbelanjaan
mereka bersama bagi maksud diangkut ke tempat atau dari tempat mengundi.
(6) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam peruntukan yang
terdahulu dalam seksyen ini-
(a) jika menjadi urusan biasa seseorang pemilih atau pengundi sebagai
seorang ejen iklan mempamerkan bil-bil dan iklan-iklan untuk pembayaran,
maka sesuatu pembayaran kepada atau sesuatu kontrak, dengan pemilih
atau pengundi itu, jika dibuat dalam perjalanan biasa urusan, tidaklah
boleh disifatkan sebagai suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang
mengikut pengertian seksyen ini;
(b) jika dalam sesuatu pilihan raya pemilih atau pengundi tidak
dapat sampai ke tempat mengundi mereka dari tempat mengundi mereka
tanpa menyeberangi laut atau sesuatu cabang atau aluran laut atau
sungai, cara-cara bolehlah diadakan bagi mengangkut pemilih atau
pengundi itu ke tempat mengundi mereka atau untuk membolehkan mereka
menyeberangi sungai itu supaya dapat sampai ke tempat mengundi mereka
dan jumlah bayaran bagi cara-cara pengangkutan itu boleh menjadi
tambahan kepada amaun maksimum belanja yang dibenarkan oleh Akta
ini:
Dengan syarat sentiasa bahawa cara-cara pengangkutan itu hendaklah
diadakan sama rata bagi semua pemilih atau pengundi yang hendak
menggunakannya.
Pengambilan kerja tertentu adalah menyalahi undang-undang
21. (1) Tiada seorang pun boleh, bagi maksud menganjur atau mendapatkan
seseorang calon dipilih dalam mana-mana pilihan raya, diambil bertugas
atau diambil bekerja dengan bayaran atau janji akan diberi bayaran
bagi apa-apa maksud atau atas apa-apa sifat jua pun, kecuali bagi
maksud atau atas sifat yang berikut:
(a) seorang ejen pilihan raya dan tidak lebih daripada
itu;
(b) tidak lebih daripada seorang ejen tempat mengundi pada sesuatu
masa bagi setiap kawasan mengundi atau daerah mengundi:
Dengan syarat bahawa jika lebih daripada satu tempat mengundi
diadakan di mana-mana kawasan mengundi atau daerah mengundi, seorang
lagi ejen tempat mengundi boleh diambil bekerja bagi setiap tempat
mengundi; dan
(c) sebilangan yang munasabah kerani dan pengutus memandang kepada
luasnya bahagian pilihan raya atau kawasan pilihan raya dan kepada
bilangan pemilih dalam daftar atau senarai pemilih bagi bahagian
pilihan raya atau kawasan pilihan raya itu.
(2) Tertakluk kepada apa-apa kekecualian yang dibenarkan menurut
Akta ini, jika mana-mana orang diambil bertugas atau diambil bekerja
berlanggaran dengan seksyen ini, sama ada seblum, semasa, atau selepas
sesuatu pilihan raya, orang yang mengambil bertugas atau mengambil
bekerja orang itu adalah bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi
undang-undang.
Kecualian bagi pemiutang
22. Peruntukan Akta ini yang melarang pembayaran dan kontrak untuk
pembayaran tertentu, dan pembayaran apa-apa wang, dan perlakuan
belanja yang melebihi maksimum yang tertentu, tidak boleh menyentuh
hak mana-mana pemiutang yang, tatkala kontrak itu dibuat atau tatkala
belanja itu dilakukan, tidak tahu yang demikian itu sebagai berlanggaran
dengan Akta ini.
Pengecualian daripada duti setem
22A. Apa-apa surat cara yang dibuat atas sumpah atau ikrar menurut
seksyen 5 atau 23 dalam mana-mana borang yang dinyatakan dalam Jadual
Pertama adalah dikecualikan daripada pembayaran duti setem di bawah
mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuatkuasa
berhubungan dengan duti setem.
Penyata dan akuan berkenaan dengan belanja pilihan raya
23. (1) Dalam tempoh tiga puluh satu hari selepas tarikh keputusan
sesuatu pilihan raya disiarkan dalam Warta, ejen pilihan raya hendaklah
menyerahkan suatu penyata yang benar, dalam Akta ini disebut "penyata
berkenaan dengan belanja pilihan raya," dalam Borang B dalam
Jadual Pertama, mengandungi pernyataan terperindi berkenaan dengan
calon itu mengenai-
(a) (Dipotong oleh akta A5);
(b) (Dipotong oleh akta A5);
(c) tuntutan yang dipertikaikan setakat mana yang diketahui oleh
calon itu atau ejen pilihan raya itu;
(d) semua tuntutan yang belum dibayar, jika ada, yang diketahui
oleh calon itu atau ejen pilihan rayanya dan yang mengenainya
permohonan telah atau akan dibuat kepada Hakim Pilihan Raya atau
Hakim Mahkamah Tinggi;
(e) semua wang, jaminan dan balasan bernilai yang diterima oleh
atau dijanjikan kepada calon itu atau ejen pilihan rayanya daripada
atau oleh mana-mana calon atau orang lain bagi maksud belanja
yang dilakukan kerana atau berkenaan dengan pengurusan pilihan
raya itu, dengan menyebutkan nama tiap-tiap orang daripadanya
wang itu mungkin telah diterima atau yang olehnya wang itu mungkin
telah
dijanjikan, dengan menunjukkan mengenai setiap jumlah wang itu
sama ada ia telah diterima sebagai sumbangan, pinjaman, deposit
atau selainnya;
(f) amaun belanja, jika ada, yang dilakukan oleh mana-mana orang
yang dibenarkan oleh calon itu atau ejen pilihan raya di bawah
subseksyen 15A (1).
(2) Penyata berkenaan dengan belanja pilihan raya hendaklah ditandatangani
oleh calon atau ejen pilihan raya dan hendaklah disertai dengan
suatu pernyataan yang dibuat oleh calon itu dan ejen pilihanrayanya,
yang masing-masingnya hendaklah dibuat dalam Borang C dan D dalam
Jadual Pertama dan pernyataan itu hendaklah dibuat atas sumpah di
hadapan Pengerusi atau seorang ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang
Majistret, Jaksa Pendamai, Pesuruhjaya Sumpah, atau Pegawai Pilihan
Raya Negeri:
Dengan syarat bahawa jika calon itu telah menamakan dirinya sebagai
ejen pilihan raya di bawah seksyen 12 (2), maka pernyataan itu hendaklah
dibuat hanya dalam Borang C dalam Jadual Pertama.
(3) Jika penyata dan pernyataan tersebut tidak dihantar sebelum
tamat masa yang dihadkan bagi maksud itu, calon itu tidak boleh,
selepas tamat masa itu bersidang atau mengundi sehingga penyata
dan pernyataan itu telah dihantarkan ataupun sehingga tarikh yang
dibenarkan bagi apa-apa maaf yang dibenarkan kerana tidak menghantarnya
sebagaimana yang tersebut dalam Akta ini, dan jika dia
bersidang atau mengundi berlanggaran dengan Akta ini, maka dia boleh,
apabila disabitkan, dikenakan penalti sebanyak satu ribu ringgit
bagi tiap-tiap hari dia bersidang atau mengundi sedemikian.
(4) Jika mana-mana calon atau ejen pilihan raya tidak mematuhi kehendak
subseksyen (1) atau (2) dia adalah bersalah atas suatu perbuatan
yang menyalahi undang-undang dan seksyen ini adalah tambahan kepada
dan tidak mengurangkan kuasa seksyen 11.
Penyiaran penyerahan penyata, dsb.
24. (1) Apabila apa-apa penyata berkenaan dengan belanja pilihan
raya dan pernyataan dibuat berkenaan dengannya telah diterima oleh,
Pegawai Pilihan Raya Negeri, dia hendaklah, dengan seberapa segera
yang boleh, menyebabkan suatu notis mengenai tarikh penyata dan
pernyataan yang berkenaan telah diterima olehnya dan mengenai masa
dan tempat di mana penyata dan pernyataan itu boleh diperiksa, ditampalkan
di suatu tempat yang mudah dilihat dalam pejabatnya dan
disiarkan dalam Warta.
(2) Pegawai Pilihan Raya Negeri itu hendaklah memelihara semua penyata
dan pernyataan itu bersama dengan bil dan baucar yang berhubung
dengannya dan hendaklah pada setiap masa yang munasabah dalam masa
enam bulan yang berikut selepas notis yang disebutkan dalam seksyen
ini disiarkan dalam Warta membenarkan mana-mana orang untuk memeriksanya
dan membuat cabutan daripadanya dengan bayaran sebanyak sepuluh
ringgit dan hendaklah, dengan bayaran sebanyak dua ringgit bagi
setiap folio yang mengandungi seratus perkataan, memberi satu atau
salinan-salinan mana-mana bahagian penyata dan pernyataan itu; dan
selepas tamat tempoh enam bulan tersebut dokumen tersebut bolehlah
dimusnahkan atau dipulangkan kepada calon itu jika permohonan supaya
dokumen dipulangkan dibuat oleh calon itu sebelum dokumen itu dimusnahkan.
Batasan diayah politik pada hari penamaan
24A. (1) Tiada seorang pun boleh, pada hari atau hari-hari penamaan-
(a) memberikan atau membekalkan apa-apa alat muzik atau
pembesar suara kepada mana-mana orang dengan tujuan supaya alat
muzik atau pembesar suara itu digunakan oleh mana-mana orang dengan
apa-apa vesel, binatang, motokar, trak atau kenderaan lain; atau
(b) menggunakan sendiri atau menggunakan di dalam atau di atas
apa-apa vesel, binatang, motokar, trak atau kenderaan lain mana-mana
alat muzik atau pembesar suara itu, sebagai, atau bagi maksud,
diayah politik.
(2) Tiada seorang pun boleh, pada hari atau hari-hari penamaan,
menunggu atau berdiri-diri dalam jarak lima puluh meter dari sempadan
mana-mana tempat penamaan.
(3) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan seksyen
ini boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit
atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.
Kempen pilihan raya dan batasan mengenainya
24B. (1) Tertaluk kepada peruntukan Akta ini, seseorang calon atau
ejen pilihan rayanya boleh mengadakan kempen pilihan raya semasa
tempoh berkempen.
(2) Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh
berkempen, membuka atau menubuhkan atau menyenggarakan pejabat-pejabat
di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding
bagi maksud kempennya dalam sesuatu pilihan raya.
(3) Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh
berkempen-
(a) mengadakan, memanggil atau mengaturkan apa-apa perjumpaan awam
terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka; atau
(b) memberikan apa-apa ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka,
di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding
tetapi hanya jika dia memegang suatu permit untuk berbuat demikian
yang dikeluarkan kepadanya oleh pegawai polis yang menjaga daerah
di mana perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan itu hendak
diadakan atau ucapan atau syarahan itu hendak diberikan.
(4) seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh
berkempen, mempamerkan, memberikan atau mengedarkan bahan kempen
pilihan raya kepada orang ramai di dalam bahagian pilihan raya kepada
orang ramai di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu
bertanding tetapi hanya jika dia-
(a) memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang
dikeluarkan kepadanya oleh Pegawai Pilihan Raya Negeri, tertakluk
kepada apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Pegawai Pilihan
Raya Negeri itu; dan
(b) telah membayar kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri itu deposit
sebanyak lima ribu ringgit dalam hal suatu pemilihan ke Dewan
Rakyat dan tiga ribu ringgit dalam hal suatu pemilihan ke Dewan
Undangan Negeri.
(5) Apabila diterima deposit di bawah subseksyen (4), Pegawai Pilihan
Raya Negeri hendaklah memperlakukan wang yang dibayar sedemikian
mengikut peraturan kewangan Kerajaan yang semasa.
(6) Tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa
tempatan, bahan kempen pilihan raya termasuklah apa-apa iklan, risalah,
brosur, bendera, panji-panji, sepanduk, tetunggul, poster, pelekat,
surat sebaran, label atau apa-apa bentuk papan iklan sementara.
(7) Tiada seorang pun boleh, semasa tempoh berkempen, mempamerkan
atau melekatkan apa-apa bahan kempen pilihan raya dalam jarak lima
puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi.
(8) Apa-apa bahan kempen piihan raya yang dipamerkan atau dilekatkan
hendaklah dibersihkan oleh seseorang calon atau ejen piihan rayanya
dalam masa empat belas hari selepas hari mengundi dan jika calon
itu atau ejen pilihan rayanya tidak mematuhi subseksyen ini-
(a) deposit yang dibayar menurut subseksyen (4) hendaklah
dilucuthakkan dan dibayar kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan;
dan
(b) Pegawai Pilihan Raya Negeri hendaklah menyebabkan dibersihkan
segala bahan itu dalam masa yang munasabah dan kos pembersihan
bahan itu hendaklah dibayar daripada jumlah wang yang dilucuthakkan
di bawan perenggan (a).
(9) Jika kos pemberishan bahan yang disebut dalam perenggan (8)
(b) melebihi depesit yang dilucuthakkan di bawah perenggan (8) (a),
perbezaannya hendaklah menjadi hutang yang kena dibayar oleh calon
itu kepada Kerajaan Persekutuan dan boleh didapatkan daripada calon
itu dengan sewajarnya.
(10) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (3), (4) atau (7)
boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi
satu tahun atau didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan
dan didenda kedua-duanya.
(11) Sesuatu kesalahan di bawah seksyen ini ialah kesalahan boleh
tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.
Majikan hendaklah membenarkan tempoh yang munasabah bagi
pekerja mengundi
25. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi, membenarkan
suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja
dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan
daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan
ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab
dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.
(2) Seksyen ini hendaklah meliputi pekerja syarikat pengganti sebagaimana
yang ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta Keretapi (Syarikat Pengganti)
1991 [Akta 464] dan pekerja-pekerja Keretapi Sabah kecuali mana-mana
pekerja yang sebenarnya bertugas mengendalikan keretapi dan yang
baginya masa itu tidak boleh dibenarkan tanpa mengganggu bilangan
orang yang diperlukan bagi mengendalikan keretapi itu; dan Pengurus
Besar hendaklah, dalam setiap hal itu, disifatkan sebagai majikan
bagi pekerja itu.
(3) Mana-mana majikan yang, secara langsung atau tidak langsung,
enggan memberi, atau dengan intimidasi, dengan pengaruh tak wajar,
atau dengan apa-apa cara lain, mengganggu pemberian suatu tempoh
yang berpatutan untuk mana-mana pemilih yang bekerja dengannya mengundi,
sebagaimana yang diperuntukan dalam seksyen ini, boleh apabila disabitkan
secara terus dikenakan denda sebanyak lima ribu ringgit atau dipenjarakan
selama satu tahun.
(4) Seksyen ini tidak meliputi mana-mana kategori pekerja yang ditetapkan
dari semasa kesemasa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya melalui pemberitahuan
dalam Warta.
(5) Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan setiap negeri adalah terikat
kepada seksyen ini.
(6) Dalam seksyen ini, “majikan” mempunyai erti yang
sama seperti dalam Akta Kerja 1955 [Akta 265].
Batasan pada hari mengundi
26. (1) Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi-
(a) mengadakan, memnaggil atau mengaturkan di mana-mana
tempat apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau
hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan sama
ada atau tidak perjumpaan, perhimpuan, pertunjukan, hiburan, ucapan
atau syarahan itu terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau
selainnya;
(b) memberi atau membekalkan apa-apa alat muzik atau pembesar
suara kepada mana-mana orang dengan tujuan supaya alat muzik atau
pembesar suara itu digunakan oleh mana-mana orang dengan apa-apa
cara atau digunakan didalam atau apa-apa vesel, binatang, motokar,
trak, atau kenderaan lain mana-mana alat muzik atau pembesar suara
itu;
(c) membuka atau menubuhkan atau menyenggarakan suatu pejabat
atau barung di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon
itu bertanding bagi apa-apa maksud yang berkaitan dengan sesuatu
pilihan raya selain pejabat yang dibuka atau ditubuhkan atau disenggarakan
menurut subseksyen 24B(2) atau bilik jawatankuasa yang disewa
menurut perenggan 14(1)(b);
(d) menggunakan mana-mana rumah kediaman, rumah kedai, pondok,
dewan atau mana-mana premis lain sebagai pejabat atau pusat mana-mana
parti politik di dalam bahagian pilihan raya itu;
(e) dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat
mengundi-
(i) cuba menentukan identiti mana-mana orang yang
memasuki sesuatu tempat mengundi;
(ii) menyemak dalam mana-mana senarai nama mana-mana orang yang
memasuki atau meninggalkan sesuatu tempat mengundi;
(iii) merayu-rayu atau memujuk atau cuba memujuk mana-mana orang
supaya tidak mengundi dalam pilihan raya itu, atau supaya mengundi
atau tidak mengundi mana-mana calon dalam pilihan raya itu;
(iv) menunggu atau berdiri-diri kecuali bagi maksud membolehkannya
masuk ke tempat mengundi untuk membuang undinya tetapi tiada
apa-apa jua dalam perenggan ini boleh menghalang pegawai yang
hak atau mana-mana orang yang dibenarkan oleh pegawai yang hak
itu daripada menjalankan tugasnya berhubung dengan penjalanan
sesuatu pilihan raya;
(f) bagi pihak mana-mana calon, merayu undi pemilih
di dalam mana-mana bahagian pilihan raya bagi menyokong atau menentang
mana-mana calon atau parti politik dalam sesuatu pilihan raya
dengan apa-apa cara jua termasuk melawat pemilih di rumah atau
di tempat kerja mereka atau menemu ramah orang ramai; atau
(g) dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat
mengundi dan dalam tempat mengundi, memakai, memegang, atau membawa
apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan,
roset, botol air atau payung yang padanya tercetak atau tertera
nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.
(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen
(1) boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi satu tahun atau
didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda
kedua-duanya.
(3) Suatu kesalahan di bawah subseksyen (1) ialah kesalahan boleh
tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.
Barung hendaklah diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
26A. (1) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, pada hari mengundi,
mengadakan apa-apa bilangan barung yang terletak di mana-mana tempat
yang difikirkannya perlu bagi maksud membantu pemilih menentukan
nombor piihan raya mereka dalam daftar pemilih.
(2) Ejen pilihan raya seseorang calon hendaklah melantik tidak lebih
daripada empat orang untuk bertindak sebgai pemerhati barung bagi
pihak calon itu, dan hendaklah, sebelum permulaan pengundian, memberitahu
ketua tempat mengundi di setiap tempat mengundi secara bertulis
nama dan alamat pemerhti barung yang dilantik untuk hadir di barung
berkenaan dengan tempat mengundi itu.
(3) Tiap-tiap pemerhati barung seseorang calon yang dilantik di
bawah subseksyen (2) hendaklah hadir di barung itu sekurang-kurangnya
selama dua jam dan penggantinya hanya boleh masuk ke barung itu
apabila tamat tempoh dua jam itu.
26B. (Dipotong oleh Akta A1177).
Hukuman bagi sabitan kerana perbuatan yang menyalahi undang-undang
27. (1) Tiap-tiap orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang menyalahi
undang-undang boleh, apabila disabitkan oleh sesuatu Mahkamah Sesyen,
dikenakan denda sebanyak lima ribu ringgit dan, tertakluk kepada
mana-mana peruntukan tertentu yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang
bertulis berhubungan dengan mana-mana pilihan raya, dia tidak boleh,
oleh sebab sabitan itu didaftar atau disenaraikan sebagai seorang
pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya di bawah Akta
ini atau dipilih dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat lima
tahun dari sabitan itu, dan jika pada tarikh itu dia telah pun dipilih
dalam mana-mana pilihan raya, maka kerusinya hendaklah dikosongkan
dari tarikh sabitan itu.
(2) Pendakwaan bagi sesuatu perbuatan yang menyalahi undang-undang
tidak boleh diambil tanpa saksi Pendakwa Raya.
|
| |
| |
| |
|