| |
| UNDANG-UNDANG
MALAYSIA
Akta 5
AKTA KESALAHAN PILIHANRAYA 1954
|
BAHAGIAN II
KESALAHAN-KESALAHAN PILIHAN RAYA
|
Kesalahan oleh mana-mana orang
3. (1) Mana-mana orang yang-
(a)
dengan diketahuinya membuat apa-apa pernyataan palsu dalam atau
berkaitan dengan apa-apa permohonan supaya dimasukkan ke dalam
mana-mana daftar pemilih;
(b) memalsukan atau secara fraud mencacatkan atau secara fraud
memusnahkan mana-mana kertas penamaan, atau menyerahkan kepada
seseorang pegawai pengurus mana-mana kertas penamaan itu telah
dipalsukan;
(c) memalsukan atau melancung atau secara fraud mencacatkan atau
secara fraud memusnahkan mana-mana kertas undi atau tanda rasmi
dalam mana-mana kertas undi;
(d) tanpa kuasa yang sewajarnya membekalkan mana-mana kertas undi
kepada mana-mana orang;
(e) menjual atau menawar untuk menjual mana-mana kertas undi kepada
mana-mana orang atau menawarkan untuk membeli mana-mana kertas
undi daripada mana-mana orang;
(f) bukan orang yang berhak memiliki mana-mana kertas undi yang
telah ditandakan dengan apa-apa tanda yang dibenarkan ada mana-mana
kertas undi itu dalam miliknya;
(g) memasukkan ke dalam mana-mana peti undi apa-apa jua, selain
daripada kertas undi yang dibenarkan oleh undang-undang untuk
dimasukkan olehnya;
(h) tanpa kuasa yang sewajarya membawa keluar dari tempat mengundi
mana-mana kertas undi atau didapati ada memiliki mana-mana kertas
undi di luar sesuatu tempat mengundi;
(i) tanpa kuasa yang sewajarnya memusnahkan, mengambil, membuka
atau dengan cara lain mengganggu mana-mana peti undi, kertas undi
atau bungkusan kertas undi yang digunakan atau dimaksud untuk
digunakan bagi maksud sesuatu pilihan raya;
(j) tanpa kuasa yang sewajarnya mencetak mana-mana kertas undi
atau apa yang berupa atau yang boleh digunakan sebagai kertas
undi dalam sesuatu pilihan raya;
(k) bagi maksud sesuatu pilihan raya, membuat, membina, mengimport,
memiliki, membekal atau menggunakan, atau menyebabkan supaya dibuat,
dibina, diimport, dibekal atau digunakan, apa-apa perkakas, alat
atau pesawat yang melaluinya sesuatu kertas undi boleh dicabut,
dimudarat atau dimanipulasikan selepas dimasukkan ke dalam suatu
peti undi dalam masa mengundi dalam sesuatu pilihan raya;
(l) mengundi dalam mana-mana pilihan raya sedangkan dia tidak
berhak mengundi dalam pilihan raya itu;
(m) mencetak apa-apa iklan, surat sebaran, pelekad atau poster
berkenaan dengan sesuatu pilihan raya dan yang mengandungi sesuatu
salinan kertas undi, atau salinan apa yang berupa sebagai suatu
kertas undi, atau salinan apa yang berupa sebagai suatu kertas
undi, untuk digunakan atau mungkin digunakan dalam pilihan raya
itu;
(n) menggalang atau menghalang seseorang pengundi yang selainnya
berhak untuk mengundi daripada mengundi dalam sesuatu pilihan
raya; atau
(o) mengundi dalam sesuatu piilihan raya di lebih daripada satu
tempat mengundi di dalam bahagian pilihan raya yang sama atau
bahagian pilihan raya yang berlainan, boleh, apabila disabitkan,
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda
tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara dan didenda kedua-duanya
dan, tertakluk kepada apa-apa peruntukan yang berlawanan dalam
mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan mana-mana
pilihan raya, dia tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai
seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya atau
dipilih dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima
tahun dari sabitan itu, dan jika pada tarikh itu dia telahpun
dipilih dalam mana-mana pilihan raya, maka kerusinya hendaklah
dikosongkan dari tarikh sabitan itu:
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua pun dalam perenggan (m)
boleh disifatkan sebagai melarang, semasa tempoh berkempen, pencetakan
nama atau simbol seseorang calon sahaja dalam mana-mana iklan,
surat sebaran, pelekad atau poster itu berserta dengan salinan
sesuatu tanda pangkah atau tanda lain yang menunjukkan persetujuan
terhadap mana-mana nama atau simbol itu.
(2) Mana-mana
orang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah subseksyen
4 (1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15], yang merupakan kesalahan oleh
sebab perenggan 3 (1) (f) Akta itu tidaklah boleh dipilih dalam
mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari sabitan
itu, dan jika pada tarikh sabitan itu dia telah pun dipilih dalam
mana-mana pilihan raya, maka kerusinya hendaklah dikosongkan dari
tarikh itu.
Kesalahan oleh pegawai pilihan raya
4. Mana-mana pegawai, kerani, jurubahasa atau orang lain yang mempunyai
apa-apa tugas untuk dilakukan menurut mana-mana undang-undang bertulis
berhubungan dengan mana-mana pilihan raya dan yang-
(a)
membuat, dalam apa-apa rekod, penyata atau dokumen lain yang dikehendaki
supaya disimpan atau dibuat olehnya di bawah undang-undang bertulis
itu, apa-apa catatan yang diketahuinya atau yang dia ada sebab
yang munasabah untuk percaya sebagai palsu, atau yang dia tidak
percaya sebagai benar;
(b) membenarkan mana-mana orang yang diketahui atau yang dia ada
sebab yang munasabah untuk percaya sebagai bukan seorang buta
atau bukan seorang tidak berdaya untuk mengundi mengikut cara
yang diperuntukkan bagi orang buta atau orang tidak berdaya, mengikut
mana-mana yang berkenaan;
(c) enggan membenarkan mana-mana orang yang diketahuinya atau
yang dia ada sebab yang munasabah untuk percaya sebagai seorang
buta atau seorang tidak berdaya untuk mengundi mengikut cara yang
diperuntukkan bagi orang buta atau orang tidak berdaya, mengikut
mana-mana yang berkenaan;
(d) dengan sengaja menghalang mana-mana orang daripada mengundi
di tempat mengundi yang diketahuinya atau yang dia ada sebab yang
munasabah untuk percaya bahawa orang itu berhak mengundi;
(e) dengan sengaja menolak atau enggan mengira mana-mana kertas
undi yang diketahuinya atau yang dia ada sebab yang munasabah
untuk percaya telah dibuang dengan sah untuk mana-mana calon mengikut
peruntukan undang-undang bertulis itu;
(f) dengan sengaja mengira mana-mana kertas undi sebagai dibuang
untuk mana-mana calon, yang diketahuinya atau yang dia ada sebab
yang munasabah untuk percaya telah tidak dibuang dengan sah untuk
calon itu; atau
(g) tanpa sebab yang munasabah melakukan apa-apa perbuatan atau
peninggalan yang berlanggaran dengan tugas rasminya, boleh, apabila
disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun
atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara dan
didenda kedua-duanya dan, tertakluk kepada apa-apa peruntukan
tertentu yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis
berhubungan dengan mana-mana pilihan raya, dia tidak boleh didaftarkan
atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam
mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari sabitan
itu, dan jika pada tarikh itu dia telah pun dipilih dalam mana-mana
pilihanraya, maka kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh
sabitan itu.
Kesalahan
mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan
4A. (1) Mana-mana orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu
pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri
atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, melakukan apa-apa
perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan dengan tujuan atau dengan
kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati
atau pemusuhan antara orang yang terdiri daripada kaum yang sama
atau kaum yang berlainan atau daripada golongan yang sama atau golongan
yang berlainan pendudukan Malaysia untuk mendorong mana-mana pemilih
atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi dalam sesuatu
pilihan raya atau untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan
mana-mana orang dipilih boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh
ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.
(2) Tertaluk kepada apa-apa peruntukan tertentu yang berlawanan
dalam mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan sesuatu
piihan raya, mana-mana orang yang disabitkan atas suatu kesalahan
di bawah seksyen ini tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai
seorang pemilih atau mengundi dalam sesuatu pilihan raya atau dipilih
dalam sesuatu pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari
sabitan itu, dan jika pada tarikh itu dia telah pun dipilih dalam
sesuatu pilihan raya, maka kerusinya hendaklah dikosongkan dari
tarikh sabitan itu.
Memelihara kerahsiaan dalam pilihan raya
5. (1) Tiap-tiap pegawai, kerani, jurubahasa, calon, ejen dan mana-mana
orang lain (kemudian daripada ini disebut "orang yang dibenarkan"
dalam seksyen ini) yang dibenarkan hadir dalam mana-mana urusan
yang berkaitan dengan pengeluaran atau penerimaan kertas undi pos,
atau di sesuatu tempat mengundi, atau pada masa pengiraan undi-undi,
hendaklah, sebelum hadir sedemikian, mengangkat sumpah kerahsiaan
yang pada keseluruhannya mengikut Borang A dalam Jadual Pertama.
(2) Tiap-tiap pegawai, kerani, jurubahasa, calon, ejen dan orang
yang dibenarkan dan yang turut hadir di sesuatu tempat mengundi
hendaklah memelihara, dan membantu dalam memelihara, kerahsiaan
pengundian di tempat mengundi itu, dan tidak boleh menyampaikan,
kecuali bagi sesuatu maksud yang dibenarkan oleh undang-undang,
sebelum pengundian itu ditutup, kepada seseorang apa-apa maklumat
mengenai nama atau nombor seseorang pemilih dalam daftar pemilih
yang telah atau belum meminta kertas undi atau yang telah atau belum
mengundi di tempat itu, atau mengenai tanda rasmi, tetapi jumlah
bilangan pengundi yang telah mengundi di mana-mana tempat mengundi
pada bila-bila masa sebelum pengundian ditutup boleh, menurut budi
bicara ketua tempat mengundi, dizahirkan kepada seseorang calon
atau ejennya atau seseorang pegawai polis yang dibenarkan hadir
atau yang bertugas di tempat mengundi itu.
(3) Tiada seseorang pegawai, kerani, jurubahasa, calon, ejen, pegawai
polis atau orang yang dibenarkan itu dan tiada seseorang jua pun
boleh di tempat mengundi cuba mendapatkan maklumat mengenai calon
yang akan atau telah mengundi di tempat itu, atau pada bila-bila
masa menyampaikan apa-apa maklumat yang didapati di sesuatu tempat
mengundi tentang calon yang akan atau telah diundi oleh mana-mana
pengundi di tempat itu kepada mana-mana orang, atau tentang nombor
kertas undi yang diberikan kepada mana-mana pengundi di tempat itu.
(4) Tiap-tiap pegawai, kerani, jurubahasa, calon, ejen, pegawai
polis dan orang yang dibenarkan, yang hadir pada masa pengiraan
undi hendaklah memelihara, dan membantu dalam memelihara, kerahsiaan
pengundian itu, dan tidaklah boleh cuba menyampaikan apa-apa maklumat
yang didapati dalam pengiraan itu tentang calon yang baginya apa-apa
diberikan oleh mana-mana kertas undi tertentu.
(5) Tidak seorang pun, kecuali ketua tempat mengundi yang bertindak
bagi sesuatu maksud yang dibenarkan oleh mana-mana undang-undang
bertulis berhubungan dengan mana-mana pilihan raya atau seseorang
yang dibenarkan oleh ketua tempat mengundi dan yang bertindak bagi
maksud yang tersebut terdahulu, boleh berhubung atau cuba berhubung
dengan mana-mana pengundi selepas pengundi itu menerima suatu kertas
undi dan sebelum dia memasukkannya ke dalam peti undi.
(6) Tiap-tiap orang yang menghadiri mana-mana urusan berkenaan dengan
pengeluaran atau penerimaan kertas-kertas undi untuk orang yang
mengundi melalui pos hendaklah memelihara, dan membantu dalam memelihara,
kerahsiaan pengundian itu dan tidaklah boleh tanpa sebab yang sah-
(a) menyampaikan apa-apa maklumat yang didapati dalam urusan itu
tentang apa-apa pertindikan, cap atau tanda rasmi yang akan digunakan
berkenaan dengan mana-mana kertas undi kepada mana-mana orang sebelum
pengundian ditutup;
(b) menyampaikan kepada mana-mana orang apa-apa maklumat yang didapati
dalam urusan itu tentang nombor kertas undi yang dihantar kepada
mana-mana orang pada bila-bila masa;
(c) cuba menentukan dalam urusan berkenaan dengan penerimaan kertas
undi nombor pada mana-mana kertas undi; atau
(d) cuba menentukan dalam urusan berkenaan dengan penerimaan kertas
undi calon yang baginya apa-apa undi telah diberi dalam mana-mana
kertas undi tertentu atau menyampaikan apa-apa maklumat berkenaan
dengannya yang didapati dalam urusan itu.
(7) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan seksyen
ini boleh dipenjarakan tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda
tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara dan didenda kedua-duanya.
Kesalahan terhadap bahagian ini
6. (1) Tiap-tiap orang yang menyubahati pelakuan atau yang cuba
melakukan sesuatu kesalahan yang dinyatakan dalam Bahagian ini boleh,
apabila disabitkan, dikenakan hukuman dan hilang kelayakan yang
ditetapkan bagi kesalahan itu.
(2) Tiap-tiap kesalahan di bawah Bahagian ini ialah kesalahan boleh
ditangkap mengikut pengertian Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593].
(3) Dalam sesuatu pendakwaan bagi sesuatu kesalahan berhubungan
dengan kertas penamaan, peti undi, kertas undi atau alat penanda
dalam sesuatu pilihan raya, hak pemunyaan terhadap kertas penamaan,
peti undi, kertas undi atau alat penanda itu, dan juga hak pepunyaan
terhadap kaunterfoil mana-mana kertas undi, bolehlah dikatakan sebagai
ada pada pegawai pengurus dalam pilihan raya itu.
(4) Pendakwaan bagi sesuatu kesalahan di bawah Bahagian ini tidak
boleh diambil tanpa saksi Pendakwa Raya. |
| |
| |
| |
|