Writ pilihan raya
12. (1) Bagi maksud tiap-tiap pilihan raya umum dan sesuatu pilihan
raya kecil, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mengeluarkan writ
yang dialamatkan kepada pegawai pengurus bagi setiap bahagian pilihan
raya yang baginya seorang ahli hendaklah dipilih.
(2) Tiap-tiap writ yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah
mengikut borang yang ditetapkan dan hendaklah dikembalikan kepada
Suruhanjaya Pilihan Raya mengikut cara yang ditetapkan.
(3) Berhubung dengan sesuatu kekosongan yang hendaklah dipenuhi
dalam sesuatu pilihan raya kecil, suatu writ hendaklah dikeluarkan
tidak dahulu daripada empat hari dan tidak lewat dariapda sepuluh
hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlaku oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya.
(4) Apabila menerima suatu writ yang dikelaurkan di bawah subseksyen
(1), pegawai pengurus hendaklah mengambil langkah-langkah bagi mengadakan
suatu pilihan raya mengikut cara yang ditetapkan.
Pemilihan calon
13. (1) Tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta
5], calon bagi sesuatu bahagian pilihan raya yang mendapat bilangan
undi sah yang terbesar daripada pemilih bahagian pilihan raya itu
hendaklah disifatkan sebagai ahli yang dipilih bagi bahagian pilihan
raya itu:
Dengan syarat bahawa –
(a) apabila hanya seorang calon sahaja sah dinamakan dalam mana-mana
bahagian pilihan raya, maka calon yang dinamakan itu hendaklah disifatkan
sebagai ahli yang dipilih bagi bahagian pilihan raya itu; dan
(b) apabila bilangan undi antara mana-mana calon bagi sesuatu bahagian
pilihan raya didapati sama banyaknya, dan penambahan satu undi akan
mengehakkan seorang daripada calon itu dipilih, maka penentuan calon
yang kepadanya satu undi tambahan itu akan disifatkan telah diberikan
hendaklah dibuat dengan jalan cabut undi di hadapan pegawai pengurus
mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan olehnya.
(2) Tiap-tiap orang yang mengundi dalam sesuatu pilihan raya hendaklah
membuang undinya dengan menggunakan sekeping kertas undi yang ditandakan
olehnya bagi menunjuk undinya, dan dimasukkan olehnya ke dalam suatu
peti undi terjamin selamat, yang diperuntukkan bagi maksud itu,
mengikut apa-apa cara yang menjadikan undi itu rahsia:
Dengan syarat bahawa jika mana-mana orang yang mengundi itu buta
atau tidak dapat membaca, maka dia boleh memberikan undinya mengikut
apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan.
Penggunaan sekolah dan bangunan dan premis awam sebagai
tempat mengundi
14. (1) Suruhanjaya Pilihan Raya boleh menggunakan dengan percuma
sebagai tempat mengundi mana-mana sekolah atau mana-mana bahagian
sesuatu sekolah yang menerima bantuan, atau yang berkenaan dengannya
bantuan diberikan, daripada wang yang diperuntukkan oleh mana-mana
Kerajaan dalam Malaysia, atau mana-mana bangunan atau premis awam
yang lain atau mana-mana bahagiannya.
(2) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah membaiki apa-apa kerosakan
yang berlaku pada mana-mana sekolah, bangunan atau premis atau mana-mana
bahagiannya dan membayar apa-apa perbelanjaan yang dilakukan oleh
orang yang mempunyai kawalan ke atasnya oleh sebab ia digunakan
sebagai tempat mengundi.
|