PUTRAJAYA:
Pengundi berdaftar diseluruh negara kini berjumlah 10,322,956
selepas Daftar Pemilih Induk 2006 dicantumkan dengan Rang Daftar
Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2007 yang diperakui Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) 29 Mei lalu dan diwartakan hari ini.
Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac
lalu itu mengandungi 172,127 pemilih, iaitu 141,553 permohonan
pemilih baru dan 30,574 permohonan tukar alamat.
Pada masa sama, SPR mengeluarkan 68,671 pemilih daripada rekod
pemilih berdaftar atas pelbagai sebab seperti bertukar alamat,
meninggal dunia dan dilucutkan hak kewarganegaraan.
Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam satu kenyataan
semalam, berkata 29,450 lagi permohonan baru dan bertukar alamat
yang diterima tidak dapat diselesaikan dan terpaksa dibawa ke
suku tahun kedua kerana terbabit dengan urusan tuntutan serta
bantahan.
Tuntutan itu membabitkan kawasan Parlimen P19 Tumpat, P22 Pasir
Mas, P23 Rantau Panjang, P26 Ketereh, P30 Jeli, dan P31 Kuala
Krai, semuanya di Kelantan.
Kawasan Parlimen terbabit dengan bantahan ialah P87 Kuala Krau
di Pahang serta P19 Tumpat, P21 Kota Baru, P22 Pasir Mas, P23
Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian, P25 Bachok, P26 Ketereh, P27
Tanah Merah, P28 Pasir Putih, P29 Machang, P30 Jeli dan P31 Kuala
Krai di Kelantan.
Empat kawasan Parlimen di Terengganu – P36 Kuala Terengganu,
P38 Hulu Terengganu, P39 Dungun dan P40 Kemaman, turut terbabit
dengan bantahan.
Sabri juga mengingatkan waris pemilih yang meninggal dunia supaya
menghantar salinan sijil kematian untuk membersihkan daftar pemilih.
Dokumen itu boleh dikirim secara pos, faks atau dihantar sendiri
ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Ibu Pejabat SPR di sini.