Kuala Lumpur
: Kira-kira 4.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi masih
belum mendaftar sebagai pemilih, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Rahman.
Sambil melahirkan kekecewaannya, beliau berkata, daripada jumlah
itu, di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikesan hampir sejuta rakyat
belum mendaftar, manakala di Johor Bharu membabitkan 170,000 individu.
”Setakat ini, hanya 300,000 rakyat Malaysia daripada 4.9
juta tampil mendaftar selepas pelancaran Gerakan Perdana Pendaftaran
Pemilih peringkat pusat pada 16 April lalu.
”Kami kecewa kerana ramai lagi belum mendaftar. Kebanyakannya
di bandar besar, sebaliknya kawasan luar bandar menunjukkan kesedaran
tinggi untuk mendaftar sebagai pemilih.
”Setiap tahun, seramai 250,000 pemilih baru bertambah dan
jika ditambah jumlah mereka yang enggan mendaftar, jumlahnya akan
menjadi lebih besar,” katanya selepas majlis konvokesyen
ketiga Kumpulan Kolej Legenda, disini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerja Raya dan Pembanguanan
Usahawan Negeri Sembilan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Bertindak Pelajaran Bahagian
Sekolah Menengah dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Ismail Lasim,
Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Legenda, Datuk Azizah Abdul Samad
dan Presiden merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kolej Legenda,
Raymond Ooi.
Ismail yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri
Mohamad Hasan, turut membacakan teks ucapan Mohamad dan menyampaikan
diploma serta sijil kepada graduan.
Abdul Rashid berkata, SPR melakukan pelbagai cara, termasuk memasuki
institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta cara lain untuk
menyedarkan mereka belum mendaftar.
”Orang politik pun terbabit sama. Umno contohnya aktif melipat
gandakan usaha untuk mendapatkan ramai ahlinya untuk menjalakan
urusan pendaftar secara sepenuh masa,” katanya.