| 1.1
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah ditubuhkan
pada 4 September 1957. Sehingga kini, SPR telah mengendalikan sebanyak
sebelas (11) pilihan raya umum bermula dengan pilihan raya umum
yang pertama pada tahun 1959 dan yang terbaru iaitu pilihan raya
umum yang kesebelas pada tahun 2004.
1.2
Setiap kali pilihan raya diadakan sama ada pilihan raya umum ataupun
pilihan raya kecil, SPR memerlukan khidmat beribu-ribu orang petugas
pilihan raya. Amat penting bagi petugas-petugas pilihan raya berkenaan
diberi latihan yang khusus untuk memberikan pengetahuan dan pendedahan
yang cukup berhubung dengan undang-undang, peraturan-peraturan dan
prosedur-prosedur tentang urusan pilihan raya. Melalui proses latihan
ini, SPR berharap petugas-petugas pilihan raya berkenaan dapat menjalankan
tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan lebih cekap dan berkesan
serta bersikap jujur dan berkecuali. 1.3
Sebelum ini, setiap kali SPR menghadapi pilihan raya umum, program-program
kepada petugas-petugas pilihan raya telah dijalankan secara ad-hoc
tanpa suatu jadual tahunan yang sistematik. Ini kerana SPR tidak
mempunyai kemudahan tempat dan bangunan bagi mengadakan latihan
secara berkala dan berkesan. Justeru itu, kerajaan pada 20 Julai
2005 telah bersetuju dengan cadangan SPR untuk menubuhkan Akademi
Pilihan Raya (APR). Dengan adanya Akademi ini, modul dan program
latihan yang lebih sistematik secara berterusan akan dilaksanakan
bagi melatih petugas-petugas pilihan raya mengenai undang-undang,
peraturan-peraturan serta prosedur-prosedur tentang pengurusan pilihan
raya.
|