KUALA
LUMPUR 27 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberi kuasa
tambahan untuk memindahkan senarai nama pemilih ke kawasan mengundi
yang sepatutnya bagi membersihkan kira-kira 14,000 pengundi misteri.
Setiausaha SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata,
dengan kuasa berkenaan, senarai nama itu akan dipindahkan ke kawasan
membuang undi mengikut alamat yang tertera dalam kad pengenalan
masing-masing. "Selagi kita tidak ada kuasa itu, SPR hanya
boleh menerima aduan dan siasat secara pentadbiran untuk mengesahkan
status pemilih sama ada betul atau tidak," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Semalam, Wan
Ahmad berkata, badan itu masih berusaha membersihkan saki baki
14,000 pengundi misteri sebelum menggunakan Sistem Pendaftaran
Pemilih Sepanjang Tahun yang diperkenalkan pada 19 Julai tahun
llau. Katanya, SPR tidak memiliki kuasa memadam sebarang nama
dalam senarai itu kerana ia akan menghalang hak setiap rakyat
untuk mengundi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara.
"Pada waktu ini, SPR bertindak atas laporan, maklumat dan
aduan yang diterima," katanya.